'Rus adalah nama ibu saya', anak jati Kota Bharu gapai impian martabat industri kraf


  • Bizz
  • Khamis, 12 Sep 2024

Nik Faiz berhasrat untuk menjadi pelopor gerakan dalam industri batik di negara ini. — Instagram/ruzzgahara

SEJAK umurnya 12 tahun, Nik Faiz Nik Amin sudah bercita-cita untuk memiliki jenamanya sendiri. Memilih nama Ruzz Gahara, siapa sangka impian anak kecil itu berjaya direalisasikan seiring dengan kedewasaannya.

Menginjak usia 39 tahun, selain mengasaskan Ruzz Gahara, satu jenama semakin mendapat tempat di arena antarabangsa, beliau turut diberi kepercayaan menggalas jawatan sebagai Presiden Majlis Kraf Malaysia (MCC) yang bertanggungjawab memartabatkan artisan dalam industri kraf di negara ini.

Nik Faiz berkata, beliau mengakui minat mendalam terhadap kesenian batik membuatkannya berusaha menggapai impian itu.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

Snapinsta.app_365553736_18380284024047753_790897340264320559_n_1080

Cetak kain dengan rona ombre memberikan elemen segar dan elegan pada si pemakai. — Instagram/ruzzgahara

“Sebenarnya sejak kecil, saya suka melihat benda-benda yang cantik. Apatah lagi, dilahirkan dalam keluarga menjalankan bisnes kesenian batik ia umpama batu loncatan untuk melakar kejayaan.

“Malah, nama Ruzz Gahara itu saya pilih sebagai simbolik kerana Rus adalah nama ibu manakala Gahara pula bermaksud anak raja keturunan permaisuri.

“Pun demikian, itu tidak bermakna ibu saya anak raja. Ia hanyalah simbolik terhadap batik perusahaan keluarga. Cuma, saya tidak menamakan Ruzz Gahara Batik kerana enggan menyempitkan ruang lingkup jenama ini kepada kesenian batik semata-mata.

“Bagaimanapun, saya berazam untuk melebarkan jenama ini merangkumi pelbagai bidang kesenian kraf yang ada,” jelas graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor itu.

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu sememangnya pemuda berwawasan tinggi. Ketika masih menuntut di UIAM, usahawan kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sudah memulakan perniagaan enterprise atau milikan tunggal sebagai usahawan batik pada umur 22 tahun.

Untitled design (11)

Rumah Gahara yang berpangkalan di Kelantan turut menawarkan kemahiran membuat batik. — Instagram/ruzzgahara

Jual batik

“Saya ambil rekaan batik daripada beberapa bapa saudara yang menjalankan perniagaan mencanting batik dan menjualnya di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, sambutan diterima ketika itu sangat menggalakkan. Boleh dikatakan momen itu merupakan masa terbaik saya sebagai ahli perniagaan.

“Selepas tamat belajar saya bekerja seketika untuk mencari pengalaman sebelum menyambung pengajian peringkat Master Pengurusan Strategik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

“Saya mula menjalankan perniagaan sepenuh masa usai menamatkan pengajian,” tutur bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Pada 2011, beliau mula membuka Rumah Gahara berpangkalan di Kelantan iaitu platform yang menawarkan kemahiran membuat batik dan peluang pekerjaan buat para artisan.

Snapinsta.app_441006996_453214630617917_3785353112898161908_n_1080

Nik Faiz (tiga dari kiri) ketika menerima Anugerah Inspirasi Madani yang disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali (tiga dari kanan). — Instagram/ruzzgahara

Menurut Nik Faiz, hasratnya adalah menjadi pelopor gerakan dalam industri batik di negara ini.

“Dengan adanya Rumah Gahara dan studio jualan di Hartamas, Kuala Lumpur, saya melihat penerimaan positif masyarakat terhadap jenama batik tempatan.

“Justeru, saya membuat penyelidikan dari 2009 hingga 2011. Dalam tempoh itu, saya melihat barangan berjenama seperti Gucci, LV, Burberry dan Berkin Hermes memiliki identiti tersendiri.

“Sudah nampak ‘susuk’ rupanya. Dalam erti kata lain, orang tengok sahaja sudah tahu itu adalah jenama tertentu. Inilah yang mendorong saya menghasilkan rekaan atau motif bagi membolehkan konsumer mengenali itu adalah signatur jenama Ruzz Gahara,” jelas penerima Anugerah Inspirasi Madani pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 (AHIN 2024), April lalu.

Sebagai pereka, Nik Faiz menjadikan arkitek dan pereka dari Amerika Syarikat, Frank Lloyd Wright yang terkenal pada era konvensional dan arkitek kelahiran Iraq-British, Zara Hadid yang popular pada zaman moden sebagai idola.

“Saya suka meneroka sesuatu yang baharu dan menjadi pengasas sesuatu aliran. Macam buat rekaan rumah dalam seni bina pun, saya akan mengetuai segmen rekaan,” jelasnya.

Snapinsta.app_431270227_18421332646047753_181651370182905107_n_1080

Nik Faiz mengakui, mula melihat penerimaan positif masyarakat terhadap jenama batik tempatan.

Berbicara mengenai peranannya dalam MCC, Nik Faiz memberitahu, selepas melihat kejayaan Ruzz Gahara, beliau percaya dirinya berkeupayaan melakukan sesuatu yang terbaik untuk negara.

“Macam di Kampung Penambang, Kota Bharu, Kelantan kawasan itu memang didiami para artisan yang menghasilkan kraftangan termasuk batik.

“Kampung itu juga diiktiraf Zon Warisan Budaya Negeri Kelantan. Dari situlah saya kembangkan dengan perbincangan bersama beberapa orang dalam industri, sekali gus mengasaskan MCC pada 2019 berbekalkan visi menyampaikan hasrat rakyat melalui suara para artisan.

“Melalui pertubuhan ini banyak kapasiti boleh dilakukan termasuk menjadi orang tengah antara agensi kerajaan dan artisan kampung. Selain itu, mengambil golongan artisan bekerja, mereka diajar menghasilkan batik dengan rekaan sendiri,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram