PENUBUHAN Autism Cafe Project yang beroperasi di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor adalah berlandaskan kasih sayang seorang bapa yang inginkan persediaan awal untuk anak autisme, berdikari dalam menjalani kehidupan.
Meskipun pada awalnya pahit untuk ditelan, Mohd Adli Yahya, 60, perlahan-lahan menerima ketentuan Tuhan yang menganugerahkan anak istimewa, Muhammad Luqman Shariff, 25, di bawah titipannya.
Menerima ketentuan bahawa anak keduanya disahkan menghidap sindrom autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD), bapa berusia 60 tahun itu reda dan mencari solusi terbaik buat anak kesayangan meniti hari-harinya dengan penuh makna.
BACA LAGI: Farina sanggup tinggalkan kerjaya wartawan demi pendidikan anak Sabah
Bagi Mohd Adli, 25 tahun lalu, pengertiannya tentang autisme tidaklah seperti hari ini. Pelbagai persepsi yang bermain dalam fikirannya, lantaran itu sukar untuk si bapa menerima takdir yang tertulis untuk puteranya.
"Anak saya membesar dengan pelik. Dia gemar mengibas tangan, berpusing setempat dan tingkah laku tidak sama seperti kanak-kanak seusia. Jadi, apabila doktor mengesahkan dia autisme sukar untuk saya terima.
"Saya memaksanya untuk belajar seperti kanak-kanak normal dan saya sendiri pernah hilang sabar dalam proses tersebut, hingga akhirnya dia takut untuk mendekati saya.
"Sampai satu tahap tiba-tiba saya tersedar bahawa pendekatan yang diterapkan adalah salah dan tindakan tersebut hanya menjauhkan hubungan kami. Bermula detik itu, saya mengambil keputusan berhenti kerja pada tahun 2016 dan memberi sepenuh perhatian kepada anak," ujar bekas kakitangan di sebuah syarikat kewangan itu.
Kata Mohd Adli, anaknya yang juga autism non-functional tidak mampu bertutur dan hanya mengikut satu-satu arahan pada suatu masa. Selain itu, kemahiran halus juga kurang berbanding kanak-kanak normal seusianya.
Muhammad Luqman Shariff juga didedahkan dengan sukatan membuat biskut. — Instagram/autismcafeproject
Di Autism Cafe Project, anaknya tidak diberikan jawatan tinggi berbanding anak-anak autisme lain, sebaliknya Muhammad Luqman Shariff ditugaskan untuk mencuci pinggan kerana bermain air adalah aktiviti kegemarannya.
"Anak saya boleh mencuci pinggan sehingga bersih. Kemudian, untuk tugasan berulang dia mula didedahkan dengan sukatan membuat biskut.
"Hari ini, anak-anak autisme di kafe berjaya membuat biskut coklat dan butter untuk dijual kepada orang ramai. Tempahan diterima juga amat memberangsangkan," jelasnya yang turut menyediakan menu katering di kafe berkenaan.
Selain itu, Mohd Adli juga mengajar anaknya membuat gelang tangan dan dijual sebagai sumber pendapatan tambahan.
Akuinya, usaha itu pada mulanya agak sukar kerana kemahiran motor halus Muhammad Luqman Shariff lemah dan memerlukan masa mengawal pergerakan jari. Bahkan, dia juga tidak tahu kegunaan gelang tangan.
"Selepas beberapa tahun, dia akhirnya mampu menghasilkan corak gelang tangan sendiri dan menjualnya di bazar hujung minggu," jelasnya.
Mengasingkan manik mengikut warna juga menjadi antara salah satu terapi buat Muhammad Luqman Shariff. — Instagram/autismcafeproject
Didik anak autisme berdikari
Akui Mohd Adli, ibu bapa seharusnya lebih kreatif dengan mendalami anak-anak autisme dan jangan cepat berputus asa kerana mereka juga memiliki kebolehan tersendiri.
Pun demikian, ia memerlukan bimbingan dan kesabaran.
Sehingga hari ini lebih 60 anak-anak autisme yang pernah bekerja di kafe tersebut telah diberi peluang pekerjaan di restoran lain.
"Untuk anak-anak ini menjadi tahap normal mungkin tidak, tetapi sekurang-kurangnya mereka didedahkan dengan masyarakat dan bersosial.
"Di Autism Cafe Project, ibu bapa tidak digalakkan menghantar anak mereka terus ke kafe, sebaliknya disarankan anak-anak menaiki tren sendiri," jelas dia yang turut membawa anak-anak autisme di kafe itu keluar ke lima lokasi berniaga pada setiap bulan.
Muhammad Luqman Shariff juga ditugaskan untuk mencuci pinggan kerana bermain air adalah aktiviti kegemarannya. — Instagram/autismcafeproject
Menyentuh tentang perancangan masa depan, Mohd Adli sedang mengumpul dana bagi menyewa sebuah banglo untuk dijadikan tempat penginapan anak-anak autisme yang bekerja di kafe.
"Jadi, mereka boleh tinggal di sana (banglo) selepas waktu bekerja. Saya juga merancang menjalankan operasi kafe di kawasan sama.
"Selain itu, saya ingin meluaskan perkhidmatan masakan dan minuman yang ditawarkan di kafe, tetapi memerlukan perancangan strategik bersesuaian dengan kemampuan anak-anak autisme," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram