Graduan diploma dari Muar ambil peluang beralih bidang penuhi cita-cita miliki kebun sendiri


  • Bizz
  • Jumaat, 30 Ogos 2024

Ahmad Irfan (gambar kiri) merupakan peserta termuda dalam Projek IPR-INTAN di Putrajaya.

PADA usia 22 tahun, Ahmad Irfan Jauharrasyid bukan sahaja berani mencuba sesuatu yang baru, tetapi turut sudah memiliki cita-cita yang tinggi dalam bidang yang baru diceburinya, iaitu pertanian.

Meskipun beliau merupakan lepasan diploma teknologi elektronik dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Batu Pahat, Johor, minatnya dalam bidang pertanian tidak pernah padam.

Keinginan untuk memiliki kebun sendiri mendorongnya menyertai program Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)-Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) yang membuka peluang buatnya menimba pengalaman dan pengetahuan yang tidak ternilai.

BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain

BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta

"Sejak kecil, saya sering mengikuti ayah ke kebun. Jadi, impian saya memang untuk memiliki kebun sendiri dan bekerja sendiri.

"Apabila kerajaan mengadakan program seperti ini, saya mencuba untuk sertai bagi belajar dan mengumpul pengalaman," katanya, yang merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik.

Ahmad Irfan yang berasal dari Muar, Johor merupakan peserta termuda dalam Projek IPR-INTAN di Putrajaya.

Inisiatif yang digerakkan di bawah Kementerian Ekonomi itu bertujuan bagi membantu membangunkan ekonomi rakyat Malaysia berpendapatan rendah menerusi pertanian.

370068691_887650719396958_4968560606341899745_n

Ahmad Irfan (empat dari kanan) ketika mendengar taklimat di ladang pertanian diuasahakannya di bawah program IPR-INTAN. — Facebook

Di Putrajaya, IPR-INTAN telah menukarkan sebuah tanah terbiar berkeluasan 20 ekar untuk ditransformasikan menjadi kawasan pertanian fertigasi cili.

Difahamkan setakat musim pertama iaitu untuk tempoh enam bulan, kawasan tersebut berjaya mengeluarkan sebanyak 40 tan cili yang bernilai RM480,000.

Meskipun tiada latar belakang pertanian, Ahmad Irfan tidak gentar dengan cabaran kerana yakin dengan bimbingan yang diberikan oleh pakar melalui program tersebut.

Dalam tempoh enam bulan sahaja, dia berjaya menghasilkan 25 tan cili yang bernilai RM25,000, satu pencapaian yang cukup membanggakan bagi seorang yang baru berkecimpung dalam bidang ini.

Kini, dengan semangat dan pengetahuan yang diperoleh, Ahmad Irfan bersedia menjadikan pertanian sebagai kerjaya masa depannya.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang pertanian dan memiliki pendidikan yang tidak berkaitan, Ahmad Irfan berkata, dia tidak perlu terlalu risau kerana mereka akan diberikan panduan dari awal hingga akhir proses penanaman.

Ujarnya, proses pembelajaran itu juga dibantu dan dipantau sepenuhnya oleh guru teknikal yang memiliki kepakaran.

"Mula dari hari pertama, kita akan masuk kursus. Kemudian kita akan diajar daripada A sampai Z. Jadi saya hanya perlu sedia tubuh badan dan disiplin untuk belajar dan ikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Irfan mengakui amat bersyukur kerana menerusi program tersebut, dia akhirnya dapat meningkatkan jumlah pendapatannya berbanding sebelum ini ketika dia bekerja sambilan sebagai juruteknik dengan gaji tidak menentu.

387104995_887650609396969_5242273864787961975_n

Difahamkan setakat musim pertama iaitu untuk tempoh enam bulan, IPR-INTAN Putraya berjaya mengeluarkan sebanyak 40 tan cili yang bernilai RM480,000. — Gambar hiasan

Dalam pada itu, dia turut menyatakan hasratnya menjadikan pertanian sebagai kerjaya selepas keluar daripada program tersebut dengan berbekalkan kemahiran diperoleh daripada program IPR-INTAN.

"Kalau boleh lepas ini memang nak buat sendiri dan jadikan bidang pertanian dan mungkin penternakan sebagai kerjaya. Kalau dah cukup modal, mungkin boleh cuba sewa tanah atau beli tanah sendiri untuk usahakan," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Irfan mengakui masih terdapat banyak pengalaman dan pengetahuan yang perlu dikuasai berbaki beberapa musim pertanian penyertaannya di bawah program berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram