'The only one in Malaysia?', bekas pengurus iklan tak sangka minat kumpul piring hitam P. Ramlee, koleksi 'blues' bertukar jadi bisnes


  • Bizz
  • Sabtu, 07 Sep 2024

Selain minat membaiki kulit album piring hitam, Rusli juga ingin menghargai reka bentuk yang bagus dan menggembirakan orang ramai dengan hasil kerjanya.

RUSLI Hashim, 69, tidak menyangka inisiatif membaik pulih kulit koleksi album piring hitam lama miliknya pada lapan tahun lalu, mendorong peminat tegar muzik itu menerokai bidang perniagaan sehingga kini.

Beberapa kulit album piring hitam seniman legenda seperti P. Ramlee, Saloma dan Kartina Dahari yang sudah rosak itu membawanya kepada satu penyelesaian yang lebih kreatif.

Dengan bantuan anak perempuannya yang ketika itu merupakan pelajar jurusan Seni Reka Grafik di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Shah Alam, pesara itu berjaya memulihkan dan mencipta kulit baharu, bagi koleksi yang sudah rosak.

BACA LAGI: Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

Photos of Encik Rusli Hashim, a 68 year old man who restores album covers as a hobby. —SAMUEL ONG/The Star

Rusli mempunyai ratusan album rekod yang dikumpulnya sejak zaman remaja.

"Saya memintanya untuk membuat karya seni itu dan saya mencetaknya," katanya.

Tidak pernah terlintas di fikiran bekas pengurus pengiklanan dan pemasaran itu bahawa usahanya mencipta kulit album rekod bakal membawa kepada satu permulaan yang unik.

“Membuat kulit album rekod tidak pernah saya lakukan dengan tujuan untuk menjalankan perniagaan.

"Namun beberapa rakan baharu saya yang memang berminat mendengar album rekod melihat kulit depan dan kagum dengannya. Tiada orang lain yang melakukannya,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Rusli memberitahu, salah seorang rakannya dari Singapura mengupahnya untuk menghasilkan kulit album beberapa kumpulan rock Melayu seperti Search, Lefthanded dan Sweet Charity.

Tidak lama sebelum berita tentangnya tersebar dan usahawan tersebut menerima lebih banyak pesanan.

Difahamkan, Rusli merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang membuat bisnes penggantian kulit album rekod baharu.

“Saya melakukannya atas dasar minat, selain mahu menghargai reka bentuk yang bagus dan menggembirakan orang ramai dengan kerja yang dilakukan.

"Ia adalah perniagaan kecil, terlalu membosankan dan tidak menarik minat orang lain dan kebanyakannya hanya membiarkan saya ‘memonopoli’ perniagaan ini,” seloroh Rusli.

Rusli is not a graphic designer, but design is not alien to him as he worked in the advertising and marketing field for decades.

Meski bukan seorang pereka grafik, reka bentuk bukan asing bagi pesara itu yang pernah bekerja dalam bidang pengiklanan dan pemasaran selama beberapa dekad.

Nilai sentimental vinil

Perjalanan anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan dalam bidang membaik pulih kulit album bermula dengan kecintaan yang mendalam terhadap muzik sejak tahun 1960-an dan 70-an.

Mengimbau semula era piring hitam, Rusli bercerita, zaman remajanya dihiasi dengan alunan irama daripada vinil.

Kongsinya, rekod daripada kumpulan seperti Santana, Deep Purple dan Grand Funk Railroad serta koleksi blues oleh Muddy Waters, Johnny Winter dan Freddie King antara lagu yang sering didengarnya dan rakan-rakan.

“Pada masa itu, tidak ada cakera padat. Apabila cakera padat datang ke pasaran pada tahun 1980-an, ramai orang berhenti mendengar rekod.

“Tetapi mujurlah, sesetengah pencinta muzik menyimpan vinil atas faktor nilai sentimental dan juga kerana kulitnya yang masih bagus.

“Sangat menarik apabila melihat vinil sudah membuat kemunculan semula sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana orang ramai menyedari bunyi analog daripada rekod adalah lebih hebat,” bicaranya lanjut.

Rusli checking his artwork online. Learning new skills is key to staying relevant and engaged, Rusli says.

Rusli mengakui bisnes itu dilakukan atas dasar minat dan sebagai platform untuk menyalurkan kreativitinya.

Rusli mengakui bahawa latar belakangnya dalam pengiklanan dan pemasaran, digabungkan dengan kemahiran reka bentuk, membantunya mendalami proses penglibatan dalam mencipta kulit album.

Ujarnya, selain bekerja dalam bidang pengiklanan dan pemasaran selama beberapa dekad, dia juga seorang penganjur seni dan penerbit buku seni pada satu ketika dahulu.

"Saya bukan pereka grafik, tetapi reka bentuk sememangnya tidak asing bagi saya.

“Jadi, dengan pendedahan yang dimiliki, saya tahu bagaimana untuk menyelesaikan kerja yang diberi," kongsinya lagi.

Ditanya cabaran dalam menyiapkan kulit album tersebut, Rusli berkata, kesukaran adalah terletak pada penyediaan karya seni.

Tidak dinafikan, proses mencari gambar sebagai rujukan boleh menjadi satu cabaran besar kerana beberapa imej tersebut berusia lebih 50 tahun.

Selain itu, kebanyakan imej memerlukan sentuhan semula atau menggunakan aplikasi suntingan gambar kerana foto asal mungkin mempunyai kualiti yang tidak baik,” ujarnya sambil memberitahu dia turut dibantu anak-anaknya pada hujung minggu.

(Pls use)Rusli creates new designs, notably for gramophone records and Malay cassettes. — RUSLI HASHIM

Rusli turut menghasilkan reka bentuk baharu, terutamanya untuk rekod gramofon dan kaset Melayu.

Meja makan jadi stesen kerja

Kulit rekod Rusli merangkumi dua jenis kraf. Yang pertama mencerminkan keaslian, berfungsi sebagai pengganti kulit vinil yang berusia lebih 50 tahun mahupun yang rosak disebabkan kelembapan atau gegat.

Sementara yang kedua menyaksikan dia tampil dengan reka bentuk baharu, terutamanya untuk rekod gramofon dan kaset Melayu.

Menyentuh tentang penciptaan semula kulit album baharu, dia akan memastikan setiap kulit rekod mempunyai nama dan foto artis serta senarai lagu pada album itu.

"Setiap kulit album direka dengan teliti untuk menyampaikan mesej album secara visual.

"Saya bekerjasama dengan anak-anak untuk meneroka tema, skema warna dan pilihan tipografi, memastikan setiap reka bentuk mencerminkan muzik yang bermakna.

"Meja makan dijadikan stesen kerja untuk dia mencipta karya agungnya. Alatan yang wajib ada termasuk tikar pemotong, gunting, pembaris, gam dan pisau utiliti," ujarnya.

Selama bertahun-tahun, Rusli telah mengumpulkan lebih 7,000 karya seni kulit rekod Melayu, Inggeris, Cina, Hindi dan Tamil.

Dia turut berbangga kerana berupaya menghasilkan kulit album berkualiti tinggi.

Proses percetakan memerlukan bukan hanya peralatan profesional, tetapi juga kepakaran.

Rusli menyusun tempahan diterima dan menghantarnya ke pencetak seminggu sekali. Selepas mencetak, langkah terakhir adalah melibatkan lipatan dan gam kulitnya secara manual. Dia mengambil masa kira-kira sejam untuk menyiapkan satu kulit album rekod.

Rusli tidak didorong oleh keuntungan dalam menjalankan perniagaan rumahnya. Dia berpendapat bahawa harganya berpatutan: RM20 untuk LP (sarung rekod 12 inci long play) dan RM10 untuk EP (sarung rekod tujuh inci extended play).

“Saya tak untung banyak kerana melakukannya atas dasar minat terhadap seni dan juga sebagai platform untuk menyalurkan kreativiti.

"Saya tidak mempromosikan (bisnes). (Sebaliknya) Pelanggan yang gembira dan berpuas hati sendiri mempromosikannya untuk saya. Jadi ia berkembang melalui mulut ke mulut.

"Saya suka menjadi misteri seperti pembuat pedang Jepun, penenun songket atau pembuat keris. Kami hanya fokus pada kerja dan tidak pernah memikirkan tentang promosi. Itulah ciri-ciri tukang sejati," tuturnya lagi.

(LEAD)Although Rusli is almost 70, he continues to engage in various hobbies like furniture restoration and home repairs, besides working on new album covers. — Photos: SAMUEL ONG/The Star

Walaupun sudah 69 tahun, dia terus terlibat dalam pelbagai hobi seperti membaik pulih perabot dan membaiki rumah, selain menyiapkan kulit album baharu.

Adaptasi teknologi

Berbanding sesetengah warga emas yang memilih untuk berehat semasa bersara, figura kebapaan ini menekankan nilai untuk terus terlibat dalam komuniti.

Dia menambah bahawa warga emas perlu kekal aktif untuk mengekalkan kecergasan mental dan memastikan fasa akhir kehidupan yang memuaskan serta penuh makna.

"Bersara adalah perkataan yang bahaya bagi saya. Saya seperti golongan lama dari tahun 1950-an yang tidak pernah bersara, mereka bekerja sehingga nafas terakhir.

"Walaupun menjengah ke usia 70 tahun, saya terus terlibat dalam pelbagai hobi seperti memulihkan perabot, bermain papan kekunci dan gitar, memancing di laut dalam serta membaiki rumah," kata Rusli.

Dia sangat berpegang kepada prinsip 5F iaitu iman, keluarga, rakan-rakan, kecergasan dan kewangan dalam mengejar kebahagiaan.

Prinsip itu, katanya, harus diterapkan oleh semua individu yang menginginkan kehidupan seimbang.

Rusli holds dear to the 5F principle (faith, family, friends, fitness and finances) for a balanced life.

Dia berpegang kepada prinsip 5F iaitu iman, keluarga, rakan-rakan, kecergasan dan kewangan dalam mengejar kebahagiaan.

Baginya juga, usia bukanlah halangan jika seseorang warga emas mahu meneroka sesuatu secara dalam talian.

"Perkara besar yang sedang kita hadapi ketika ini adalah kemunculan AI dan kita tidak sepatutnya ketinggalan dalam hal ini," ujar Rusli.

Nasihatnya untuk warga emas yang enggan menerima teknologi baharu adalah mudah: "Lakukan sahaja. Dunia sentiasa berubah, mempelajari kemahiran baharu adalah kunci untuk kekal relevan, tanpa mengira usia."

"Mengenai masa depan, saya tidak mempunyai rancangan khusus. Saya hanya menyibukkan diri dengan membuat kulit album rekod, menjual piring hitam secara dalam talian dan membantu rakan mempromosikan restoran makanan lautnya di Bukit Kiara, Kuala Lumpur," tambahnya yang suka berkongsi ilmu dengan golongan anak muda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram