SEORANG pelajar kolej vokasional dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangnya digilis sebuah kenderaan berat di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kemalangan kira-kira pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berusia 18 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan melibatkan dua buah motosikal dan sebuah kenderaan berat yang masih belum dikenal pasti.
BACA LAGI: [VIDEO] Degil berlumba di 'litar haram', 2 penunggang termasuk remaja bawah umur maut di Klang
BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan potong ayam, penduduk kampung di Indonesia kaget rupanya ‘kawan makan kawan’
Rezy Akmal Ismail merupakan pelajar Teknologi Pemesinan Industri dari Kolej Vokasional Klang.
"Kedua-dua motosikal terbabit datang dari arah bertentangan bergerak dan secara lurus sebelum bertembung di tengah-tengah jalan.
"Akibat daripada pertembungan itu, mangsa tercampak di atas jalan raya dan digilis sebuah kenderaan berat.
"Sementara seorang lagi penunggang motosikal berusia 20 tahun yang mengalami cedera parah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu katanya, pihak polis masih mengesan kenderaan berat terlibat yang pemandunya dipercayai tidak menyedari menggilis mangsa.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi Balai Polis Trafik Klang Selatan di talian 03-33722222," katanya.
Dalam pada itu, abang mangsa yang maut dalam kejadian itu turut memohon agar mana-mana saksi tampil bagi membantu siasatan berhubung nahas yang berlaku di sekitar Jambatan Putih Telok Gong.
Difahamkan mangsa, Rezy Akmal Ismail merupakan pelajar Teknologi Pemesinan Industri dari Kolej Vokasional Klang.
"Nak minta kerjasama semua pihak yang ada bukti dashcam (kamera papan pemuka kenderaan) atau CCTV (kamera litar tertutup) kilang yang boleh nampak lokasi kemalangan minta mesej saya, untuk bantu serba sedikit bukti kejadian," katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Sementara itu, perkhabaran duka itu turut dikongsikan Kolej Vokasional Klang menerusi hantaran di Facebook.
"Mendapat perkhabaran sedih atas kehilangan pelajar yang kami kasihi, seorang yang baik, bijak dan sentiasa menghormati guru. Rezy Akmal Ismail yang telah pergi meninggalkan kita pada hari ini (Selasa).
"Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Kami akan sentiasa mendoakan Rezy," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram