[VIDEO] Degil berlumba di 'litar haram', 2 penunggang termasuk remaja bawah umur maut di Klang


  • 112
  • Isnin, 05 Ogos 2024

Tangkap layar video empat buah motosikal berlanggar sesama sendiri ketika dipercayai menyertai aktiviti lumba motosikal haram Persiaran Raja Muda Musa dekat Klang, Selangor pada Isnin.

DUA lelaki maut selepas motosikal yang mereka tunggang berlanggar sesama sendiri ketika dipercayai menyertai aktiviti perlumbaan motosikal haram di Persiaran Raja Muda Musa dekat Klang, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4.30 pagi tersebut melibatkan empat buah motosikal.

"Dalam kemalangan tersebut, dua daripada penunggang terlibat telah meninggal dunia, seorang lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala seorang remaja berumur 21 tahun meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan potong ayam, penduduk kampung di Indonesia kaget rupanya ‘kawan makan kawan’

BACA LAGI: [VIDEO] Padah bermulut puaka, enggan bayar hutang lelaki maut dibakar rakan di Kemboja

"Kemalangan berlaku apabila beberapa kumpulan penunggang motosikal melakukan aksi tunggangan laju dan berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

"Mereka menunggang dari Kompleks Sukan Pandamaran, Klang menuju ke Pelabuhan Klang dan berpatah balik dengan membuat beberapa pusingan. Salah sebuah motosikal dalam kumpulan tersebut terbabas di atas jalan raya lalu dirempuh oleh beberapa motosikal dari kumpulan lain," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Khairul Nizam melalui telefon 010-2452144.

"Lokasi tersebut sering dijadikan litar lumba haram oleh golongan remaja terutamanya pada malam minggu walaupun sudah beberapa kali operasi dijalankan dan tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

"Ibu bapa atau penjaga harus lebih peka, prihatin, dan mengawal anak-anak agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti lumba haram yang boleh mengancam nyawa mereka serta pengguna jalan raya lain," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram