KISAH cinta monyet mungkin dianggap remeh tetapi apabila ia berakhir dengan kesan hitam tentu sekali menjadi peristiwa yang tidak akan dilupakan seorang remaja lelaki sepanjang hidupnya.
Manakan tidak, remaja yang mahu dikenali sebagai Nabil itu mula berjinak dengan najis dadah hanya kerana ingin kurus demi memikat hati gadis yang menambat hatinya walaupun ketika itu usianya baru mencecah 13 tahun.
Mungkin kedengaran tidak masuk akal, namun remaja yang berasal dari Kedah itu mengakui mengambil jalan singkat selepas terpengaruh dengan abang rakannya.
BACA LAGI: [VIDEO] Terjebak dadah akibat 'buta' cinta, anak jati Sandakan tekad capai kemerdekaan sebenar
BACA LAGI: [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar
Niatnya untuk mengambil dadah semakin membuak selepas kononnya perasaan cinta terhadap gadis pujaan hatinya itu ditolak hanya kerana dia berbadan gempal.
Perasaan kecewa dan rendah diri sekali gus membuatkan Nabil mencari jalan untuk menguruskan badan dengan cepat dan di sinilah rakan-rakannya mula 'cucuk jarum'.
"Saya pernah meluahkan perasaan kepada seorang pelajar perempuan di sekolah tapi ditolak, dia kata saya gemuk.
"Saya nekad nak kuruskan badan dengan cepat dan kebetulan abang kawan saya kata kalau ambil syabu boleh cepat kurus.
"Sejak peristiwa itulah saya mula berjinak-jinak dengan dadah," katanya dengan nada penuh kesal ketika sesi temubual khas bersama Majoriti di Puspen Seri Iskandar di Perak.
Perasaan kecewa dan rendah diri sekali gus membuatkan Nabil mencari jalan untuk menguruskan badan dengan cepat. — Gambar Hiasan/Agensi
Tambah Nabil yang pernah belajar di sekolah berasrama penuh itu, walaupun dia berjaya turunkan berat badan, namun cara yang dipilihnya telah 'memusnahkan' dirinya, malah turut menghancurkan hubungan dengan keluarga.
"Saya akui berat badan memang turun dari 100-kilogram (kg) kepada 59 kg dalam masa beberapa bulan sahaja.
"Namun, seiring dengan penurunan berat badan, datang masalah lebih besar iaitu ketagihan yang sukar dikawal.
"Saya mula ketagih dadah, sampai hilang kawalan dan ia semakin memuncak bila saya di tingkatan tiga," katanya.
Meskipun pernah berusaha untuk berhenti, ketagihan yang kuat dan 'godaan' rakan-rakan menyebabkan Nabil terjerumus kembali dalam kegiatan tidak bermoral itu.
[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]
Nabil berharap usahanya untuk bangkit semula akan menjadi contoh pada rakan-rakan yang lain di Puspen bagi mereka yang ingin meninggalkan ketagihan dadah
Kehidupan sosial Nabil turut terjejas kerana remaja itu hanya cenderung untuk berkawan dengan penagih dadah sahaja.
"Bila kita sudah bergelumang dengan dadah, kita tak nak bersosial dengan orang lain walaupun keluarga sendiri.
"Saya nak berkawan hanya dengan kelompok yang hisap dadah, fikir nak ambil barang sahaja.
"Sampai satu tahap masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19, saya pernah redah hutan semata-mata nak beli dadah.
Remaja yang mahu dikenali sebagai Nabil itu mula berjinak dengan najis dadah hanya kerana ingin kurus demi memikat hati gadis yang menambat hatinya walaupun ketika itu usianya baru mencecah 13 tahun.
Baca artikel penuh: https://t.co/A2t1q5FCTP pic.twitter.com/NR2N31Nr7f
— Majoriti (@majoritionline) September 3, 2024
Bagaimanapun, penyesalan mula timbul selepas berfikir tentang segala kesalahan yang telah dilakukan, terutama kepada ibunya. Malahan, Nabil turut mengimbau saat-saat ibunya menangis dan merayu agar dia berhenti menagih dadah.
"Bila kita mula ambil dadah ini, perasaan dalam diri kita 'mati' sebab tidak fikirkan orang lain. Sanggup mencuri, jadi 'runner' jual dadah sebab nak upah.
"Ada ketika saya khayal benda pelik-pelik dan dengar orang berbisik. Saya mengamuk di rumah sebab tak ada duit nak beli dadah," cerita Nabil tanpa dapat menghalang air matanya mengalir.
Kejar semula cita-cita jadi doktor
Nabil (kiri) berharap dapat menggapai kembali cita-citanya menjadi seorang doktor.
Kini, sebagai penghuni Puspen dan gigih menanam cita-cita, Nabil menasihati remaja yang 'bebas' dadah supaya menjauhkan diri daripada terjebak dengan bahan terlarang itu.
"Pesanan saya untuk rakan-rakan di luar sana, jangan terlibat dengan dadah. Yang mana dah terlibat, cuba tinggalkan dadah sebab tak ke mana pun kalau kita hisap dadah.
"Masa depan kita akan gelap," kata Nabil dengan penuh keinsafan.
Walaupun pernah memilih berada di jalan yang gelap, penghuni setahun Puspen Seri Iskandar berharap dapat menggapai kembali cita-citanya menjadi seorang doktor.
"Saya bukan mandatori (ditahan) tetapi datang secara sukarela untuk mendapatkan rawatan disini demi masa depan yang lebih baik.
"Di sini (Puspen) banyak yang saya belajar dari segi agama, pelajaran dan sahsiah sendiri. Saya juga diberi peluang menduduki semula Sijil Pelajaran Malaysia.
"Saya nak capai semula cita-cita menjadi seorang doktor dan membantu masyarakat pada masa depan katanya.
Tambah Nabil lagi, dia berharap usahanya untuk bangkit semula akan menjadi contoh pada rakan-rakan yang lain di Puspen bagi mereka yang ingin meninggalkan ketagihan dadah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram