Dadah ibarat penjajah, tapi setiap penagih masih berpeluang merdekakan diri — Abang Long


  • Massa
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Abang Long (berdiri tengah) berkata, dadah bukan sahaja merampas kebebasan berfikir, tetapi juga kebebasan fizikal dan sosial.

KEMERDEKAAN sering kali ditafsirkan dalam konteks sejarah, iaitu pembebasan diri daripada cengkaman penjajah yang menguasai negara dan bangsa.

Bagaimanapun, erti sebenar kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan bangsa luar, sebaliknya lebih daripada itu.

Kemerdekaan juga boleh membawa maksud usaha membebaskan diri daripada segala bentuk masalah yang menghalang kita daripada menikmati kehidupan penuh makna.

BACA LAGI: Anak jadi runner dadah geng kongsi gelap, ibu sentiasa ketakutan di rumah

BACA LAGI: [VIDEO] Terjebak dadah akibat 'buta' cinta, anak jati Sandakan tekad capai kemerdekaan sebenar

Bagi Suzaidy Sulaiman, konteks merdeka dalam kamus hidup seorang bekas penagih dadah sepertinya, adalah bebas daripada cengkaman dadah yang mengikat hidupnya.

Membebaskan diri daripada penyalahgunaan dadah adalah kemerdekaan sebenar bagi golongan berkenaan.

"Selama 15 tahun saya bergelumang dengan dadah, hidup 'ditemani' heroin. Pada ketika itu saya rasa diri ini sudah tiada hala tuju.

"Malah saya hilang semua yang dimiliki termasuk keluarga. Saya buang keluarga, tinggalkan rumah begitu sahaja hanya kerana bahan terlarang itu," katanya dalam satu temu bual khas bersama Majoriti baru-baru ini.

363844580_1947365595619260_6038105012801241706_n

Abang Long pernah melalui pengalaman pahit membuktikan penagih dadah boleh memerdekakan diri daripada belenggu ketagihan.

Mendedahkan betapa besarnya kesan dadah dalam kehidupan seseorang, Suzaidy yang lebih dikenali sebagai Abang Long berkata, dadah bukan sahaja merampas kebebasan berfikir, tetapi juga kebebasan fizikal dan sosial.

"Seorang penagih dadah akan mendapati dirinya terperangkap dalam kitaran ketagihan yang sukar untuk dilepaskan, umpama terperangkap di bawah cengkaman penjajah suatu ketika dahulu.

"Dadah bukan sahaja menjajah minda, tetapi juga tubuh badan. Setiap tindakan dan langkah, semuanya bergantung kepada dadah. Hidup seolah-olah tidak lagi bermakna tanpa kehadiran bahan terlarang ini.

"Apa sahaja yang dilakukan, sama ada untuk bekerja, menghadiri majlis atau melawat orang sakit, semuanya perlu dimulai dengan mengambil dadah. Ketagihan ini menjadikan penagih seperti boneka, tidak bebas untuk membuat keputusan sendiri atau hidup tenang," tegasnya.

Namun, kemerdekaan sebenar boleh dicapai dan bagi Abang Long yang pernah melalui pengalaman pahit telah membuktikan bahawa penagih dadah boleh memerdekakan diri daripada belenggu ketagihan.

Katanya, semuanya terpulang kepada diri sendiri dan melalui rawatan seperti di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang dikendalikan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), penagih dadah di seluruh Malaysia berpeluang mendapat sokongan serta kemahiran untuk kembali membina kehidupan baharu.

"Kerajaan turut memainkan peranan penting dengan membuat pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, untuk membantu mereka yang terjebak dalam ketagihan keluar dari cengkaman dadah.

"Dengan bantuan dan bimbingan yang betul, setiap penagih dadah mempunyai peluang untuk mencapai kemerdekaan sebenar dan membina kehidupan lebih baik.

"Dalam erti kata sebenar, kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga kebebasan daripada segala bentuk belenggu yang menghalang kita daripada menikmati kehidupan bermakna," katanya.

454655918_2183106898711794_7642864022355061_n

Abang Long gariskan tiga perkara penting untuk pulih daripada dadah iaitu matlamat, harapan dan usaha.

Justeru itu, dia yang juga pengasas Diari Survivor Kepulihan (DSK) turut berharap semua penagih dan bekas penagih yang ingin memerdekakan diri daripada dadah menggunakan peluang yang tersedia.

"Merdekakan diri daripada dadah adalah satu perjuangan yang memerlukan usaha dan sokongan, tetapi ia bukan mustahil

"Proses pemulihan adalah sepanjang hayat, selagi kita mengikuti jalan yang betul," katanya.

Tegas anak jati Selangor itu lagi, untuk melepaskan diri dari jerat dadah bukanlah mudah dan memerlukan masa yang lama.

"Tanpa sokongan yang konsisten dari segi emosi dan rohani, risiko untuk meneruskan tabiat lama cukup tinggi, namun semuanya terpulang kepada diri sendiri.

Sehubungan itu, Abang Long gariskan tiga perkara penting untuk pulih daripada dadah iaitu matlamat, harapan dan usaha.

"Bagi seorang yang mahu betul-betul pulih, dia perlu tetapkan matlamat kerana ia adalah elemen yang perlu ada dalam setiap individu yang mahu keluar daripada jerat penagihan dadah.

"Yang keduanya harapan, kita kena fikir apa harapan untuk berhenti ambil dadah, boleh jadi harapan itu untuk jadi insan yang lebih baik, menyumbang kepada keluarga atau masyarakat.

"Usaha berterusan adalah perkara ketiga untuk memulihkan dirinya daripada terus hanyut kerana ia mengambil masa lama," tuturnya dengan tegas.

Katanya, setiap penagih dadah harus bangkit daripada kelalaian sendiri dan bina semula apa yang telah hancur selama ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram