Ada yang melobi, Sultan Ibrahim beri amaran tegas tarik balik penerima darjah kebesaran cemar nama negara


  • Primer
  • Sabtu, 07 Sep 2024

Sultan Ibrahim mendedahkan, ada yang melobi dengan baginda sendiri untuk mendapatkan darjah yang membawa gelaran Tan Sri atau Datuk, namun perkara itu tidak dilayan sama sekali.

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi amaran tegas akan menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terbabit dalam kegiatan jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah.

Baginda bertitah, setiap penerima yang sudah dipilih seharusnya bersifat jujur dan amanah kepada pemerintah, menjaga tingkah laku dan tidak terbabit dalam kegiatan rasuah serta sebarang kesalahan jenayah.

"Sekiranya ada penerima yang mencemarkan nama negara atau melakukan jenayah dan dihukum oleh mahkamah, maka segala darjah dan pingat kebesaran akan ditarik balik.

BACA LAGI : [VIDEO] Mat Jais maut jatuh pokok petai di Kampung Changkat Perah

BACA LAGI : [VIDEO] Ditangkap sekembali tunai umrah, akauntan penghidap HIV tekad diri bebas dadah

"Sehubungan itu, saya sudah arahkan kerajaan untuk menyemak senarai banduan di semua penjara dan mana-mana banduan yang ada darjah kebesaran, maka ia akan ditarik balik.

"Hal ini hanyalah untuk darjah Persekutuan dan Wilayah Persekutuan, darjah negeri lain saya tidak masuk campur," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Sabtu.

Turut berangkat pada istiadat berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Titah baginda lagi, setiap tahun banyak pihak yang berusaha untuk mendapatkan darjah kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, malah ada juga yang telah terpedaya dan ditipu ejen tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Sultan Ibrahim turut mendedahkan, ada juga yang melobi dengan baginda sendiri untuk mendapatkan darjah yang membawa gelaran Tan Sri atau Datuk, namun perkara itu tidak dilayan sama sekali.

"Saya ingin nyatakan setiap pencalonan yang dibawa kerajaan akan saya teliti satu persatu dan pertimbangan dibuat kepada calon yang betul-betul layak, yang berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, masyarakat dan negara," titah baginda. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram