'Pengasuh patut jalani penilaian mental sebelum diambil bekerja di pusat asuhan'


  • Massa
  • Sabtu, 07 Sep 2024

Seorang pengasuh disyaki membunuh seorang bayi lelaki (gambar kecil) di sebuah taska di Taman Kelemak Jaya Utama pada Jumaat.

TINDAKAN seorang pengasuh disyaki membunuh seorang bayi lelaki di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Jaya Utama dekat Alor Gajah, Melaka pada Jumaat mengundang amarah dalam kalangan warga maya.

Manakan tidak, bapa bayi berkenaan, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, mendakwa pengasuh berkenaan dilihat membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka anaknya dengan bantal dalam kejadian tersebut.

Perbuatan pengasuh itu juga berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) taska tersebut.

BACA LAGI : [VIDEO] Ditangkap sekembali tunai umrah, akauntan penghidap HIV tekad diri bebas dadah

BACA LAGI : [VIDEO] Konon mampu beri tenaga, air ketum punca hidup graduan universiti di Selangor musnah

Menurut bapa mangsa lagi, anaknya yang baru dihantar ke taska berkenaan sejak lima hari lalu ditemui dalam keadaan terkulai, mulut berdarah dan muka kebiru-biruan oleh isterinya ketika mengambil anak mereka.

Susulan daripada kejadian itu, seorang warga maya @Deegee4646 menggesa agar kerajaan membuat peraturan baharu dalam penilaian pengambilan pengasuh kanak-kanak.

"Dah banyak dah kes seperti ini. Bayi maut di tangan pengasuh.

"Perlu wajibkan penilaian mental kepada pengasuh sebelum diambil bekerja di pusat asuhan, dan penilaian keadaan mental selepas bekerja juga perlu dibuat pada tempoh tertentu.

"Ramai sakit jiwa sekarang ini walaupun luaran itu nampak elok saja," katanya melalui satu ciapan di laman X (Twitter).

Untuk makluman, suspek wanita berusia 34 tahun telah ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di taska berkenaan pukul 3.30 petang pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak ditahan di lokasi kejadian.

“Permohonan reman dibuat bagi membantu siasatan berhubung kematian bayi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

"Suspek berasal dari Endau, Johor akan direman di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka pagi Sabtu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram