SELAMA empat dekad, Zaleha Tasrib mengabdikan dirinya sebagai jurugambar di Muzium Negara di Kuala Lumpur.
Sepanjang kerjayanya, wanita berusia 62 tahun itu mengembara ke seluruh Malaysia, mengambil gambar dan mendokumentasikannya untuk muzium.
Hari-harinya sentiasa terisi dengan aktiviti demi cintanya terhadap dunia fotografi.
Zaleha mempunyai lebih 50 kotak barangan antik di rumahnya.
Sesetengah warga emas mungkin memilih kehidupan lebih santai selepas bersara, namun berbeza dengan Zaleha yang enggan hanya duduk diam dan berehat di dalam rumah.
Kini walaupun selepas bersara, Zaleha menemui cara terbaik untuk dia mengisi masa lapang dengan melibatkan diri dalam hal-hal lain yang menggembirakannya.
Selain memiliki sebuah kedai buku, Koleksi Bonda Zaleha Enterprise yang terletak di Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi, Kuala Lumpur, dia turut menjual barangan antik di pasar lambak seluruh Lembah Klang.
Zaleha berjaya mengumpul lebih 1,000 buku dan 2,000 barangan antik, yang dikumpulnya sepanjang 40 tahun bekerja di muzium negara.
“Saya mula membeli buku untuk dijadikan rujukan dalam kerja. Tidak hanya itu, bekas ketua pengarah Muzium Negara, Allahyarham Datuk Shahrum Yub juga menggalakkan saya untuk membeli barangan antik.
“Lama kelamaan, saya mempunyai terlalu banyak buku di rumah. Bimbang ia akan dimakan anai-anai dan gegat (atau dipanggil kutu buku), saya memutuskan untuk membuka kedai buku pada tahun 2018 untuk berkongsi koleksi ini dengan orang lain.
"Setiap satu buku dan artifak mempunyai kisah untuk diceritakan. Menjadi misi saya untuk memastikan kisah-kisah ini tidak dilupakan,” kata Zaleha dalam satu temu bual di Petaling Jaya, Selangor.
Peminat buku kerap mengunjungi kedai buku Zaleha kerana ia menawarkan karya merangkumi pelbagai genre.
Kongsi kisah silam
Kedai bukunya bukan sekadar untuk berniaga, malah bagi ibu kepada lima anak itu, ia salah satu cara untuk dirinya menterjemahkan kasih sayang di samping memelihara dan berkongsi kisah silam bersama generasi akan datang.
“Bekerja di muzium mendorong saya agar menyedari kepentingan untuk memelihara warisan kita. Membuka kedai seolah-olah satu perkembangan semula jadi bagi saya," ujarnya.
Buku-buku milik Zaleha (terutamanya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) merangkumi pelbagai genre termasuk sejarah Melayu, tekstil, budaya hingga fiksyen.
Selain itu, disediakan juga ensiklopedia, majalah dan bahan bacaan tentang sejarah Islam, dengan kebanyakan pelanggannya merupakan pelajar universiti dan pengumpul buku vintaj.
“Sesetengah pembeli suka akan naskhah lama yang sukar ditemui. Buku-buku ini mahal, antara RM200 hingga RM1,000.
"Memandangkan diterbitkan sebelum abad ke-20, ia tidak mudah diperoleh,” jelasnya.
Dia turut berkongsi koleksi bukunya menerusi foto di laman Instagram bangigatewaybukusejarah.
Zaleha turut menasihati pesara agar banyakkan membaca untuk memastikan minda berfungsi.
Walaupun tawaran buku elektronik atau e-buku semakin meningkat di pasaran, Zaleha memberitahu, masih ada permintaan untuk buku fizikal vintaj, terutamanya yang sudah tidak dicetak.
“Sementara landskap pembelian buku sedang berkembang, banyak buku lama terus mengekalkan nilai untuk generasi muda dan yang lebih tua.
"Trend ini dicerminkan dalam peningkatan jualan buku-buku yang jarang ditemui, terutamanya yang tidak lagi berada di pasaran.
“Ada juga yang datang ke rumah saya untuk melihat barangan antik dan membelinya,” kata wanita tersebut.
Akui Zaleha yang dilahir dan dibesarkan di Batu Pahat, Johor itu, dia memperoleh kegembiraan ketika menjalankan perniagaan kecilnya, apatah lagi aktiviti berkenaan membuatkan dirinya sibuk meskipun sudah bersara.
"Jika saya tidak aktif dalam tempoh selepas persaraan ini, saya mungkin akan menghabiskan masa untuk tidur.
"Saya tidak mahu sebarang penyakit menimpa saya jadi lebih baik untuk saya kekal aktif," tuturnya sambil tertawa kecil.
Antara barangan antik yang dijual termasuk loyang dan tepak sirih tradisional.
Terokai pelbagai sumber
Untuk menambah stok buku dan barangan antiknya, Zaleha sentiasa menerokai pelbagai sumber termasuk laman grup Facebook dan juga kenalan yang berurusan dengan buku serta barangan antik.
Selain itu, dia turut menerokai buku-buku tempatan dan pameran barangan antik yang dianjurkan.
"Apabila bercakap tentang buku lama, saya akan pastikan ia berada dalam keadaan baik dengan semua halaman dan kulitnya utuh serta bebas daripada pepijat atau kerosakan disebabkan air.
"Untuk barangan antik pula, saya fokus pada barang yang masih berfungsi dengan baik dan kelihatan bagus serta mengelakkan daripada membeli yang palsu.
"Saya cuba dapatkan dengan harga berpatutan berdasarkan keadaan fizikalnya yang baik,” kongsi bekas pelajar SMK Semerah di Batu Pahat, Johor itu lagi.
Dengan buku-bukunya, Zaleha ingin memelihara dan berkongsi kisah silam bersama generasi akan datang.
Enam tahun berniaga di pasar lambak
Zaleha kebiasaannya menjual barangan antik di pasar lambak di sekitar Lembah Klang.
Antara yang dijual termasuk loyang, tepak sirih tradisional (bekas logam tradisional Melayu untuk menyimpan daun sirih), peralatan memasak, tempat lilin dan seterika arang.
Koleksi yang dipamerkan sememangnya mewakili khazanah yang diperoleh dari seluruh Malaysia, iaitu dari Terengganu, Melaka dan Sarawak, dilengkapi dengan barangan terpilih yang diperoleh dari Indonesia serta Kemboja.
“Saya mempunyai lebih 50 kotak barangan antik di rumah yang kebanyakannya dibeli daripada rakan-rakan, sama ada semasa mereka bertugas di luar negeri atau pembelian secara dalam talian.
“Pelanggan saya meliputi pelbagai peringkat umur dengan minat yang berbeza-beza.
"Ramai orang dewasa muda yang tertarik untuk membeli barangan seperti lampu minyak tanah kuno, pengikis kelapa, congkak dan pembawa tiffin. Acuan loyang kuih bahulu juga antara yang paling laris,” tambahnya yang sudah enam tahun berniaga di pasar lambak sekitar Lembah Klang.
Zaleha akan memastikan buku yang dijual berada dalam keadaan baik.
Sentiasa sibukkan diri
Bicara lanjut, Zaleha mengakui dirinya bukan sejenis yang suka membuang masa, lantaran itu dia memilih untuk sentiasa bergerak melakukan pelbagai jenis pekerjaan semata-mata untuk memastikan dirinya sentiasa sibuk.
Sejak 2005 lagi, dia sudah menjalankan perniagaan menjual karipap buatan sendiri yang dihasilkan di rumahnya.
“Saya sentiasa ada perniagaan sampingan walaupun ketika bekerja sepenuh masa di muzium.
"Beberapa tahun lalu, saya bekerja sebagai tukang jahit sambilan, menjahit baju dan langsir. Kemudiannya saya memulakan bisnes menjual pinggan mangkuk.
"Tidak lama selepas itu, saya menceburi bidang perniagaan makanan seperti karipap, biskut dan rendang.
"Sekarang sudah bersara, saya hanya fokus pada tiga perkara iaitu kedai buku, barangan antik dan bisnes karipap,” katanya.
Wanita itu berkata, agak sukar untuk dia banyak berehat dek sudah terbiasa aktif sejak dari dulu lagi.
Malah dirinya juga sudah terbiasa dengan pelbagai rutin dan masanya sering terisi dengan aktiviti yang produktif.
Nenek kepada tiga cucu ini akan memulakan harinya dengan membuat karipap untuk dijual.
"Selepas subuh, saya memulakan hari dengan membuat lebih kurang 1 kilogram (kg) pastri untuk karipap.
"Setelah selesai, saya memasak makanan untuk keluarga, kemudian pergi ke kedai buku dari Isnin hingga Khamis (tutup setiap Jumaat).
"Anak-anak saya menguruskan kedai buku pada hujung minggu. Jika ada program melibatkan barangan antik pada hujung minggu, salah seorang anak perempuan akan menemani saya. Itulah rutin sebagai pesara dan pemilik perniagaan,” kongsi nenek kepada tiga cucu itu.
Dia berpendapat penting bagi warga emas untuk kekal aktif selepas bersara.
“Kekal sihat dengan bersenam. Banyakkan membaca untuk memastikan minda berfungsi.
"Paling penting, lakukan apa yang anda suka untuk kekal bahagia. Cari hobi yang menarik minat, boleh jadi anda suka berkebun.
"Luangkan masa bersama cucu dan anak anda dan kalau boleh pergilah melancong,” ujar Zaleha mengakhiri perbualan. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram