Anak jadi runner dadah geng kongsi gelap, ibu sentiasa ketakutan di rumah  


  • Massa
  • Isnin, 02 Sep 2024

Tidak pernah terlintas dalam fikiran Normala (bukan nama sebenar) anak bongsu lelakinya itu akan terjerumus ke dalam lembah hitam.

HATI ibu mana tidak luluh melihat anak yang ditatang bagai minyak yang penuh, kini terjebak dengan najis dadah.

Setiap titisan air mata yang mengalir adalah lambang kasih sayang yang tak pernah pudar, meskipun derita terus menggigit jiwa.

Tidak pernah terlintas dalam fikiran Normala (bukan nama sebenar) anak bongsu lelakinya itu akan terjerumus ke dalam lembah hitam.

BACA LAGI : [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar

BACA LAGI : [VIDEO] Kenal syabu ketika usia 12 tahun, detik kawan mati ketika tengah 'high' ubah diri Iskandar

Apatah lagi, badan remaja yang berusia 19 tahun itu dulunya berisi kini semakin kurus dan matanya dilihat berbeda, seakan-akan melihat dunia yang tidak nyata.

Bicara Normala, anaknya mula menunjukkan tanda-tanda perubahan yang ketara selepas bergaul dengan 'golongan tertentu'.

"Saya akui Amir memang suka berkawan dan dia mudah bergaul, mungkin dia tersilap berkawan sehingga menyebabkan dia menjadi begitu (ketagih dadah).

"Pada mulanya saya tidak kisah dia berkawan tapi lama-kelamaan dia mula berubah dan lebih beremosi.

"Amir sering marah dan menyebut ada orang yang ingin membunuhnya atau mengejarnya, walhal tiada siapa pun," katanya dalam satu temu bual khas bersama Majoriti.

Interviu klien AADK. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Normala menghantar Amir ke Puspen di Seri Iskandar, Perak untuk menerima rawatan buat kali kedua.

Menurut ibu tunggal kepada anak dua itu lagi, dia dan bekas suami menghantar Amir ke sebuah pusat pemulihan swasta selepas keadaan semakin tidak terkawal pada awal tahun lalu.

"Saya jadi takut dan risau setiap kali dia keluar. Nasihat supaya berhenti ambil dadah hanya buatkan dia insaf sekejap sebelum buat lagi.

"Ada ketikanya dia jadi ganas, pecahkan rumah dan harta benda, tetapi tidak pukul saya. Mood dia berubah-ubah, kadang-kadang marah, kadang-kadang baik," katanya.

Tambahnya, Amir menunjukkan perubahan positif kira-kira tiga atau empat bulan mendapat rawatan di pusat pemulihan swasta.

"Namun, selepas keluar dari pusat pemulihan itu, dia mula berkawan semula dengan kumpulan yang tidak baik. Saya perasan ada kereta yang sering ambil dia. Bila saya tanya, dia kata itu kawan-kawannya," ujarnya.

tdr_gc_goingcountry_clean_master_prores422hq.mov.00_44_16_21.still036_edit-mr

Amir dipaksa dipaksa menjadi runner kongsi gelap selepas terlibat dengan dadah. — Gambar Hiasan/Agensi

Amir yang dahulu sentiasa menjadi kebanggaan keluarga, seorang anak yang rajin dan pandai, sekali lagi berubah menjadi khayal dan sesat dalam hidup angkara dadah.

Apatah lagi perbuatannya itu sendiri menjerat dirinya sehingga terlibat dalam urusniaga dadah.

Normala yang berasal dari Perak tidak pernah menyangka nasib anaknya sedemikian hingga dipaksa menjadi runner kongsi gelap.

"Jujur saya akui, saya bersama anak hidup dalam ketakutan sebab ada kereta yang akan lalu lalang dan berhenti di depan rumah kami.

"Melihat keadaan menjadi semakin meruncing, saya dan bekas suami berbincang sekali lagi untuk menghantar Amir ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dekat Seri Iskandar, Perak untuk menerima rawatan buat kali kedua.

"Alhamdulillah, Amir sendiri setuju dan ingin kembali ke pangkal jalan. Dia juga ada nyatakan hasrat nak ambil semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memandangkan dia dahulu berhenti belajar di tingkatan tiga," tuturnya dengan nada sayu, namun tetap kuat berdepan dugaan itu.

Normala juga yakin anaknya mampu berubah dan kembali mendalami pelajaran di peringkat sekolah menengah yang sudah lama dia tinggalkan.

"Saya nak dia ambil SPM supaya dia boleh berjaya dalam hidup. Saya nak anak saya buktikan kepada semua orang yang dia boleh berjaya. Saya risau kalau dia berada di luar, dia tak boleh belajar dan fokus," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram