[VIDEO] Lori kontena rempuh Myvi di Bukit Kayu Hitam, polis bantuan alami kerugian RM3,000


  • 112
  • Rabu, 21 Ogos 2024

Kereta milik Mohd Aizat mengalami kerosakan melibatkan pintu, bampar, lampu hadapan, tayar dan rim kereta.

SEORANG polis bantuan dianggarkan mengalami kerugian berjumlah RM3,000 selepas kereta dipandunya dilanggar sebuah lori kontena dalam kejadian di Taman Desa Bayan Emas, Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Isnin lalu.

Mangsa, Mohd Aizat Marzuki, 22, yang meletakkan kenderaan jenis Perodua Myvi di tepi jalan berkata, dia berada di situ bagi menemaninya rakannya, seorang kontraktor, untuk kerja-kerja membuat garisan jalan raya.

"Saya parkir kereta di situ sebab teman kawan, lori tersebut melanggar bahagian kiri kereta saya, dengan kerosakan melibatkan pintu, bampar, lampu hadapan, tayar dan rim kereta.

BACA LAGi: [VIDEO] Mayat wanita berulat ditemukan tidak berpakaian lengkap, polis Shah Alam klasifikasi kes mati mengejut

BACA LAGI: [VIDEO] Tragedi mandi tasik di Kempas, ibu menangis sayu lihat jasad anak lemas diusung keluar

"Namun saya dimaklumkan syarikat kontena sudah berjanji untuk menanggung segala kos kerosakan," katanya kepada Majoriti.

Menurut kakitangan Syarikat Air Darul Aman (SADA) itu, ketika kejadian, rakannya, berada di luar kereta bagi menunggu pekerja lain yang keluar seketika untuk membeli peralatan kerja.

"Saya tak sedar langsung bila lori itu datang, apabila dah makin dekat baru saya sedar. Ia berlaku sangat pantas dan saya jadi macam 'blur' sekejap sehinggalah beberapa ketika baru saya tersedar, kereta saya baru lepas dilanggar.

"Tapi masa itu kami bernasib baik sebab lima lagi rakan pergi membeli gas (untuk tujuan menghasilkan kapur bagi membuat garisan jalan raya).

"Jika gas tak habis, mungkin ramai lagi yang akan terlibat dalam insiden ini," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-08-21 at 09.29.37

Keadaan rumah yang dirempuh lori kontena di Taman Desa Bayan Emas, Bukit Kayu Hitam pada Isnin.

Selepas melanggar kenderaan milik Mohd Aizat, pemandu lori kontena itu juga bertindak merempuh sebuah rumah dipercayai akibat masalah pedal minyak yang tersangkut pada lantai kenderaan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan dilaporkan berkata, hasil siasatan awal mendapati, pemandu lori berusia 59 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam ke Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata, sewaktu menuruni jalan industri Bukit Kayu Hitam-Ladang Rakyat, pemandu kontena warga Thailand itu mendapati pedal minyak tersangkut di lantai kenderaannya.

"Dia cuba untuk memberhentikan kontena dipandunya namun gagal menyebabkan kenderaan itu merempuh sebuah rumah.

"Pemandu lori kontena itu ditahan untuk siasatan lanjut.

"Sewaktu rumah itu dirempuh, penghuni berada di dalam rumah terbabit namun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram