MANGSA terakhir tragedi bot karam di Batang Kayan, Kampung Selampit dekat Lundu, Sarawak ditemui pada Khamis.
Jasad Alasma Jitwil, 14, ditemui selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak Selasa lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, mangsa dijumpai terapung di hulu sungai berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Tragedi mandi tasik di Kempas, ibu menangis sayu lihat jasad anak lemas diusung keluar
BACA LAGI: Remaja lelaki mangsa bot karam di Lundu ditemukan lemas, 2 lagi masih hilang
"Jasad mangsa dijumpai pukul 6.38 pagi oleh orang kampung. Mangsa ketiga dijumpai timbul 100-meter dari tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, media melaporkan jasad Vilkie Wilson, 15, ditemui terapung kira-kira 10-meter dari Pusat Kawalan Operasi Bomba sekitar pukul 11.58 pagi, manakala jasad Heleana Fasha Petrus, 16, dijumpai kira-kira satu kilometer ke hilir sungai sekitar pukul 5.30 petang.
Dalam tragedi sekitar pukul 6 pagi Selasa, sebuah bot yang membawa muatan 16 pelajar, tiga orang awam dan seorang jurumudi telah karam.
Seramai 12 pelajar dan empat lagi mangsa telah berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung, manakala empat pelajar dilaporkan hanyut.
Bagaimanapun, seorang daripada pelajar yang hanyut berjaya diselamatkan selepas ditemui berpaut pada kayu tidak jauh dari lokasi kejadian.
Tiga lagi mangsa iaitu Heleana, Vilkie dan Alasma tidak berjaya diselamatkan dan operasi SAR dilancarkan sebaik sahaja laporan berhubung kejadian diterima.
Operasi SAR disertai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu, Polis Gerakan Udara, Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Sarawak Coast Guard, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Persatuan Jetski Sarawak dan penduduk kampung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram