Remaja ketagih dadah akibat perasaan rendah diri antara klien MRT AADK


  • Primer
  • Khamis, 05 Sep 2024

Hafidah Maasom (Gambar kecil) berkata, pelaksanaan MRT AADK bertujuan membawa rawatan pemulihan ke komuniti setempat atau lebih tepat lagi ke terus rumah.

RAWATAN Pemulihan Bergerak (MRT) ditubuhkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai usaha meluaskan capaian dan objektif untuk memberikan khidmat merawat dan memulihkan penagih dadah khususnya di luar bandar.

Dengan menggunakan frasa 'AADK Kepada Anda' sebagai slogan, saluran perkhidmatan yang diperkenalkan itu menjadi salah satu alternatif terbaik kepada program rawatan sedia ada.

Program sejak 2022 itu disediakan kepada kumpulan khusus yang mempunyai kekangan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan narkotik di fasiliti atau pejabat AADK daerah serta pusat pemulihan narkotik (Puspen).

BACA LAGI : [VIDEO] Terjebak dadah akibat 'buta' cinta, anak jati Sandakan tekad capai kemerdekaan sebenar

BACA LAGI : Lebih 3 dekad berdendam, anak angkat 'mummy' kelab malam jadi hamba dadah sejak usia 10 tahun

Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti) Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Hafidah Maasom berkata, pelaksanaan MRT bertujuan membawa rawatan pemulihan ke komuniti setempat atau lebih tepat lagi ke terus rumah.

Menurutnya, perkhidmatan itu juga menyediakan rawatan secara bio atau perubatan, psikososial dan spiritual dari pejabat AADK terus kepada kumpulan sasar.

Katanya, sejak dilancarkan, banyak kes penagihan dadah berjaya dikesan dan dibantu tanpa kumpulan sasar perlu menjalani program khusus di pusat pemulihan.

"Antara kes diterima termasuk melibatkan remaja yang mengambil dadah untuk membolehkan dia berjaga kerana belajar di saat akhir sebelum peperiksaan, ada juga berdepan masalah keluarga dan inferiority complex.

"Ada remaja yang marahkan ibu bapanya kerana menganggap dirinya tidak disayangi dan kes di mana remaja merasakan hidupnya tidak bermakna tanpa kemewahan.

"Semua kes ini menunjukkan penagihan dadah adalah masalah kompleks yang memerlukan pendekatan holistik," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Majoriti.

2887934

Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti) Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Hafidah Maasom.

Untuk rekod, inferiority complex atau perasaan rendah diri yang melampau boleh menyebabkan seseorang itu kurang keyakinan diri dan lebih gemar menyendiri.

Bercerita lanjut, Hafidah mendedahkan, pihaknya pernah berhadapan dengan klien remaja yang mengalami masalah inferiority complex daripada keluarga kurang mampu yang mengimpikan kehidupan mewah.

"Remaja itu percaya dengan memiliki harta dan wang, dirinya akan dihormati masyarakat dan situasi itu mendorong dirinya untuk mengambil bahan terlarang.

"Dia terpaksa meminjam atau mencuri wang untuk menampung gaya hidup tersebut. Keadaan ini berlaku kerana berasa rendah diri dan tidak dapat menerima kenyataan hidup dalam kemiskinan sehingga terjebak dengan dadah.

"Tetapi akhirnya dia tersedar bahaya penggunaan dadah dan berhenti mengambil bahan terlarang," katanya sambil menambah sokongan teman lelakinya banyak membantu remaja berkenaan untuk balik ke pangkal jalan.

Interviu klien AADK. — AZLINA ABDULLAH/The Star

AADK menilai tahap risiko dan menyediakan rawatan sesuai yang dinilai secara berkala untuk memastikan keberkesanan terhadap klien.

Guna dadah sintetik untuk belajar saat akhir

Tambahnya lagi, situasi di mana pelajar mengambil dadah jenis sintetik seperti syabu sebagai bahan untuk membantu belajar juga merisaukan dan ia dikesan ibu bapa apabila mendapati perubahan tingkah laku anak mereka.

"Bukan sahaja pelajar, melalui program MRT kami turut menerima panggilan daripada mereka yang bekerja dan mengalami tekanan.

"Mereka merasakan diri tidak mampu menghadapi tekanan kerja tanpa bantuan bahan terlarang. Ada yang sukar menjalankan tugas dengan baik, sering dimarahi atau di pandang rendah sehingga merasakan dadah sebagai satu-satunya penyelesaian.

"Namun, kesedaran timbul apabila mereka mengalami kesan negatif akibat pengambilan bahan terlarang," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai proses pemulihan penyalahgunaan dadah ini, Hafidah berkata, bagi golongan remaja, proses pemulihan tidak jauh beza berbanding golongan dewasa.

"Tempoh rawatan bergantung kepada kesedaran individu untuk mengikuti program.

"AADK menilai tahap risiko dan menyediakan rawatan sesuai yang dinilai secara berkala untuk memastikan keberkesanannya. Pada masa sama, sokongan keluarga dan persekitaran positif penting dalam proses pemulihan ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram