Beri kesan euphoria hingga ketagihan, ketum perlu dikawal — AADK


  • Primer
  • Khamis, 25 Jul 2024

Kajian AADK bersama dua universiti melibatkan kajian penyalahgunaan daun ketum serta kesan sosioekonomi dan persekitaran ke atas penanaman ketum.

KETUM perlu dikawal kerana penyalahgunaan bahan itu boleh memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria (khayal) menyebabkan ketagihan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan terlarang lain seperti dadah.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berkata, perkara itu disokong dengan data dan kajian dijalankan pihaknya bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaya (UM) melibatkan kajian penyalahgunaan daun ketum serta kesan sosioekonomi dan persekitaran ke atas penanaman ketum di Malaysia.

BACA LAGI: Penggunaan dadah meningkat selepas Covid-19 khususnya ubat kuat lelaki, kandungan cecair vape

BACA LAGI: Industri vape bakal terkubur angkara peraturan ketat KKM?

“Hasil dapatan kajian pada 2013 dan 2014 bersama UUM mendapati, terdapat hubungan signifikan pengambilan air daun ketum dengan perubahan tingkah laku pelajar dan belia yang menjadikan mereka lebih agresif serta mengalami simptom ketagihan bagi menghilangkan tekanan.

“Dapatan kajian pada 2020 bersama UM pula terbukti wujudnya jangkaan negatif terhadap ketum dalam kalangan kumpulan petani dan orang awam, iaitu konteks sosial yang mengambil kira faktor kesihatan penyalahgunaan ketum.

“Pun begitu, dalam aspek ekonomi, ada antara mereka yang berkepentingan bersetuju menghalalkan penanaman ketum boleh menjana pendapatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut agensi berkenaan, meskipun dari satu sudut ketum mempunyai nilai perubatan untuk digunakan, namun wujud kebimbangan mengenai kemudaratannya yang boleh mengakibatkan penyalahgunaan.

aadk

Menurut AADK, wujud kebimbangan mengenai kemudaratan ketum yang boleh mengakibatkan penyalahgunaan.

Penyalahgunaan ketum akan menyebabkan gejala ketagihan menjadi punca kepada polemik yang berterusan khususnya penagihan dan penyalahgunaan bahan terlarang lain seperti dadah dan bahan lain.

AADK mengulas lanjut berhubung kenyataan daripada Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) berkenaan artikal bertajuk ‘Pindaan Akta Penagih Dadah ‘mangsakan’ pengguna ketum’.

Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan, Darshan Singh Mahinder, berkata, ini kerana ada peruntukan dalam RUU itu yang mengancam penggunaan ketum.

Pada 18 Julai Dewan Rakyat meluluskan RUU Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 sebulat suara selepas kali terakhir ia dipinda 20 tahun lalu.

Pindaan RUU itu antara lain mencadangkan perluasan Akta Penagih Dadah supaya turut merangkumi penagih bahan dan penyalahgunaan dadah atau bahan, serta skop rawatan dan pemulihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram