Lebih 3 dekad berdendam, anak angkat 'mummy' kelab malam jadi hamba dadah sejak usia 10 tahun


  • Massa
  • Isnin, 02 Sep 2024

Anis dijangka akan keluar daripada Puspen Dengkil pada 2026.

SETIAP insan ditakdirkan hidup dengan jalan cerita yang berbeza.

Ada yang dilahirkan dalam sebuah keluarga sempurna, ada yang dibesarkan tanpa ayahanda dan bonda di sisinya.

Tidak kurang juga yang ditinggalkan keluarga hingga terpaksa menumpang kasih dengan orang lain.

BACA LAGI: [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar

BACA LAGI: Dadah tak kenal mangsa, ayuh bangkit 'merdekakan' Malaysia

Begitulah yang terjadi ke atas seorang klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Dengkil, Selangor, apabila kegembiraan zaman kanak-kanaknya bagaikan diragut selepas menjadi anak angkat kepada ‘wanita kelab malam’.

Saat itu bermulalah episod hitam dalam kehidupan klien yang hanya mahu dikenali sebagai Anis itu.

Hidup sebumbung bersama ibu angkat yang memiliki enam anak lelaki, sama sekali bukanlah kehidupan berkeluarga yang dibayangkan Anis.

Jika kanak-kanak lain pada usia 10 tahun asyik bermain anak patung sambil rambut dibelai oleh ibu kesayangan, Anis dipaksa dua abang angkatnya untuk 'bermain' dengan dadah jenis heroin.

“Ibu bukannya 24 jam ada di rumah, jadi saya tinggal dengan abang-abang.

"Di rumah saya dilayan tidak ubah seperti orang gaji. Saya kena masak dan basuh baju untuk abang-abang.

"Abang kedua dan ketiga pula hisap dadah. Jadi kedua-duanya akan arahkan saya untuk bakar dan suntik (dadah) untuk mereka," katanya yang ditemui dalam satu temu bual khas bersama Majoriti baru-baru ini.

IMG_20240807_145432

Kelas jahitan antara kemahiran yang diberikan di Puspen Dengkil untuk klien wanita.

Tindakan itu lama-kelamaan menyebabkan dia sendiri mulai gian dan ketika kanak-kanak lain bersekolah di Tahun 5, Anis pula sudah mahir menyuntik dadah.

“Saya hanyalah kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa. Jika tidak pandai bakar atau tolong suntik dadah, saya kena pukul, disepak dan terajang," kongsinya.

Cerita Anis lagi, tidak cukup dengan itu, dirinya juga menjadi hamba seks abang angkatnya selama beberapa tahun, sehinggalah anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu memutuskan untuk melarikan diri daripada keluarga itu pada umur 11 tahun.

Walaupun hidup sebagai kutu liar dan bergaul dengan penagih dadah di sekitar ibu kota Johor Bahru, Anis mengakui dia berasa lebih selamat bersama golongan itu berbanding di rumah yang sama sekali tidak layak dianggap ‘rumahku syurgaku’.

Malah, kehidupan jalanan yang dilabel jijik oleh sesetengah orang itu sebenarnya mengubah kehidupan Anis menjadi lebih baik walaupun perlu menjadi tokan dadah bagi menyambung hidup dan melupakan masa lalunya.

dalamm

Klien wanita di Puspen Dengkil juga pernah mengikuti majlis khatam Al-Quran.

“Sejak umur 10 tahun saya dah ambil heroin dan apabila 17 tahun pula saya ambil syabu sebelum cuba ecstasy dan paip.

“Bila teringat kehidupan lampau, saya selalu sedih dan murung. Saya nak rasa gembira walaupun banyak masalah.

"Jadi untuk kembalikan semangat, saya terpaksa ambil dadah dan sampai sekarang dah 34 tahun saya menagih. Pernah berhenti tapi selalu gagal. Saya tak boleh stres, sedih," jelasnya.

Tutur wanita itu lagi, pengalaman lampau dan kesedihan itu seringkali menghantuinya terutama saat dia bersendirian.

Meskipun pernah mengikuti sesi kaunseling, Anis tetap sukar untuk melepaskan bebanan yang dialaminya.

"Dia (kaunselor) kata saya ini berdendam dan minta saya lepaskan (perasaan itu), tapi saya tak tahu macam mana nak buang kerana dugaan ini terlalu berat bagi saya.

"Apabila saya dirogol, saya persoalkan kenapa saya? Kenapa saya yang dah sememangnya hidup terumbang-ambing, dengan layanan keluarga yang macam itu, kenapa saya perlu ditimpa ujian sebegini lagi?" soalnya dalam nada sayu.

puspen puspen

Antara klien di Puspen Dengkil.

Enggan terus hanyut, Anis menjadikan dua anaknya sebagai motivasi untuk berubah dan berharap agar dia dapat melupakan kenangan pahit masa silam bagi meneruskan kehidupan fasa baharu bersama keluarga.

Anis yang kini sudah berusia 43 tahun berharap akan jumpa seseorang yang ikhlas untuk membantunya meneruskan kehidupan selepas perkahwinan pertamanya gagal, sekali gus memerdekakan diri daripada kehidupan lampau.

“Sebelum tutup mata, saya nak jumpa keluarga kandung. Saya juga nak berkumpul dengan anak-anak, nak merdekakan diri saya.

“Merdeka daripada jiwa saya sendiri dan buang apa yang tersembunyi. Saya nak lepaskan beban yang ada dalam diri saya.

“Jika keadaan saya okay, dah ada semangat baru. Mungkin dadah ini bila-bila masa saya boleh buang,” katanya yang dijangka akan keluar daripada Puspen Dengkil pada 2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram