PINDAAN Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang dibentang di Parlimen tidak memberi kuasa sepenuhnya kepada pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tanpa penglibatan peranan pegawai perubatan berdaftar.
Bekas Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, sebaliknya kuasa itu hanya bagi kes-kes rawatan dan pemulihan sukarela yang bertujuan mempercepatkan proses merawat pulih mereka yang terlibat dengan penagihan atau penyalah guna dadah serta bahan.
BACA LAGI: DSK sokong pindaan RUU untuk penagih dadah
BACA LAGI: 39 ahli Parlimen beri respons RUU Penagihan Dadah 2024
“Sebenarnya masih sama peranan pegawai perubatan seperti akta asal kecuali dalam perakuan untuk kes sukarela sahaja bertujuan mempercepatkan proses rawatan dan pemulihan.
"Ini bertepatan kerana pegawai pemulihan mempunyai kompetensi yang sesuai melalui latihan dan pensijilan khusus yang mereka perlu lalui,” katanya dalam satu hantaran dalam akaun Facebook miliknya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan pindaan RUU berkenaan tidak membabitkan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan juga adalah sangat tidak wajar dan tidak tepat.
“Juga tidak tepat jika dikatakan tiada libat urus dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Semasa saya menjadi Ketua Pengarah AADK lebih empat tahun dahulu, kita telah memulakan libat urus dengan agensi-agensi lain dan NGO yang saya difahamkan telah berjaya merealisasikan penambahbaikan dalam draf terkini.
“Saya secara peribadi berpendapat usaha melengah-lengahkan pelaksanaan akta ini tidak sihat dan boleh merencatkan pencapaian dasar Dadah Terkawal 2025,” tegasnya.
Beliau menambah, cadangan pindaan RUU itu juga secara umumnya tiada lagi sistem keadilan jenayah khususnya pemenjaraan terhadap penagih atau penyalah guna dadah serta bahan.
“Sebaliknya penagih dan penyalah guna dadah akan dirawat pulih berdasarkan tahap keparahan di fasiliti AADK kecuali bagi kes langgar syarat,” jelasnya.
Terdahulu, RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.
Rang undang-undang itu antara lain bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram