Mamat Exist kena denda RM5,000 akibat dadah, diperintah jalani tempoh pengawasan di AADK


Mamat Exist membayar denda atas kesalahan memiliki dadah di kaunter Kompleks Mahkamah Johor Bahru, Johor pada Isnin.

BEKAS vokalis Exist, Mamat didenda RM4,000 atau penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pada Isnin atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan pada 2019.

Memetik Sinar Harian, Hakim Fatimah Zahari turut memerintahkan Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 47, menjalani tempoh pengawasan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan pindaan yang dibacakan pada Isnin, Mamat didakwa mengambil dadah jenis methamphetamine pada pukul 2 pagi, 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

BACA LAGI: Doktor ulas kes buah pinggang kering dihidapi anak kedua Eyra Hazali

BACA LAGI: Terbang sampai ke Tokyo, suka main 'game' atas talian jadikan anak Siti Nordiana 'guru' Bahasa Inggeris

WhatsApp Image 2024-07-08 at 4.59.12 PM

Mamat Exist mengaku bersalah ambil dadah.

Mamat yang pernah popular dengan kumpulan rock 90-an itu menerusi lagu Untukmu Ibu juga mempunyai kesalahan berulang mengambil dadah pada tahun 2016 dan 2018.

Tuduhan sebelum ini dibuat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil manakala Mamat diwakili peguam bela, Azlina Abdul Aziz.

Mamat kemudian membayar denda yang dikenakan itu.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, Mahkamah Majistret Johor Bahru menjatuhkan hukuman denda RM1,000 selepas Mamat membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.17 gram.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan tersebut dilakukan di Taman Perling pada pukul 11.35 malam, 8 September 2019.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Adriana Azrin manakala Mamat diwakili peguam yang sama.

Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.

Mamat kemudian membayar denda yang dikenakan menerusi peguamnya. — TheStar

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram