Pindaan RUU bukan lagi bersifat menghukum tetapi merawat penagihan dadah


  • Massa
  • Sabtu, 06 Jul 2024

Abd Halim berkata, RUU itu adalah sebagai terjemahan kepada komitmen kerajaan untuk melaksanakan amalan terbaik dalam menguruskan pesakit yang mengalami masalah pergantungan kepada bahan terlarang.

PINDAAN Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 disifatkan sebagai membawa semangat jelas dalam usaha menyahjenayah atau dekriminalisasi penagih dan penyalahgunaan dadah serta bahan.

Pakar Kaunseling Penagihan, Datuk Dr. Abd Halim Mohd Hussin berkata, ini kerana, dasar baharu yang di bawah AADK terhadap kumpulan tersebut bukan lagi bersifat menghukum atau pemenjaraan, sebaliknya menyediakan ruang dan peluang seluas-luasnya untuk merawat pulih daripada penagihan atau penyalahgunaan bahan terlarang itu.

Beliau berkata, perkara itu selari dengan prinsip kerajaan dan dunia menerusi United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) yang mengklasifikasikan penagih sebagai pesakit.

BACA LAGI: 39 ahli Parlimen beri respons RUU Penagihan Dadah 2024

BACA LAGI: DSK sokong pindaan RUU untuk penagih dadah

“RUU ini membawa ‘spirit’ yang jelas iaitu menyahjenayah atau usaha pendekriminalisasian agar semua individu yang menyalahgunakan bahan terlarang tidak dihukum penjara tetapi diberi peluang sebagai pesakit untuk mendapat rawatan yang terbaik bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai manusia normal.

“Tambahan pula, inisiatif pindaan RUU ini adalah sebagai terjemahan kepada komitmen kerajaan untuk melaksanakan amalan terbaik dalam menguruskan pesakit yang mengalami masalah pergantungan kepada bahan terlarang.

“Kita merancang untuk melaksana pindaan ini jauh lebih awal lagi, namun proses pemindaan mengambil masa kerana ia membabitkan libat urus yang komprehensif lagi menyeluruh,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Screenshot 2024-07-06 113633

RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dipinda bertujuan untuk meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalahgunaan dadah atau bahan.

Mengulas lanjut, Abd Halim yang juga bekas Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berkata, usaha pendekriminalisasian penagih atau penyalahgunaan dadah dibincangkan sejak 2016 melalui pelbagai platform termasuk siri wacana libat urus, sumbang saran berfokus, penilaian kebolehlaksanaan, kajian lapangan dan forum yang diadakan secara terbuka mahupun tertutup.

“Kita juga telah melaksanakan pelbagai siri simulasi pemakaian undang-undang pindaan ini sejak beberapa tahun lalu,” ujarnya.

Ditanya mengenai kebolehan pegawai pemulihan dalam memikul tanggungjawab sekiranya pindaan RUU ini diluluskan, tegas beliau, tiada keraguan terhadap kemampuan pegawai AADK untuk melaksanakan kerja-kerja rawatan dan pemulihan.

Kata beliau, perlu diketahui bahawa tugas pegawai AADK pada hakikinya ialah melaksanakan tugas mencegah, memulih dan menguatkuasakan undang-undang dalam bidang kuasa mereka.

“Cabaran yang dijangkakan ialah peningkatan klien atau pesakit yang tentunya memerlukan penambahan perjawatan serta naik taraf premis.

“Pindaan RUU ini juga akan menjadi pemangkin kepada pengiktirafan pusat pemulihan dadah persendirian (PPDP) sebagai penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang akan menjadi rakan kongsi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN),” jelasnya.

Sementara itu, beliau berharap agar pindaan RUU tersebut dapat diluluskan segera bagi membolehkan kerajaan menyelamatkan anak bangsa sekali gus menamatkan polemik kriminalisasi dalam kalangan pesakit.

“Setiap inisiatif mesti bermula daripada satu garis titik dan setelah kita melaksanakan, pastinya akan ada penambahbaikan dalam kita membuat pertimbangan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram