DI Malaysia, penyakit berkaitan jantung menjadi antara penyebab utama kematian rakyat di negara ini sejak tahun 1999.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia 2023 merekodkan penyakit jantung iskemik menjadi penyebab utama kematian di Malaysia pada tahun 2022 dengan 20,322 kematian dicatatkan, atau 16.1 peratus daripada 126,268 kematian disahkan secara perubatan.
Keperluan untuk menjalani pembedahan atau sebarang prosedur perubatan yang invasif sememangnya boleh menimbulkan ketakutan pada ramai.
BACA LAGI: Azizulhasni raih gangsa ke-2 dalam tempoh 24 jam di Jepun
BACA LAGI: Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah sah ke Olimpik Paris 2024
Pesakit boleh dipulihkan seawal satu hingga dua minggu selepas pembedahan.
Kredit: Hospital Pakar Damansara 2 pic.twitter.com/4bV0cjKkA1
— Majoriti (@majoritionline) August 30, 2024
Bagaimanapun, dengan komitmen tanpa henti terhadap inovasi dan penjagaan pesakit, Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) bergerak selangkah ke hadapan dengan menawarkan pembedahan jantung invasif minimum (MIS), bagi mengubah pengalaman dan memperbaiki hasil pesakit dalam penjagaan jantung.
Pakar Perunding Pembedahan Kardiotorasik, Profesor Dr Shahrul Amry Hashim berkata, prosedur MIS berupaya meningkatkan tempoh pemulihan di samping mengurangkan kesan fizikal terhadap pesakit.
Menurutnya, pembedahan itu berbeza dengan pembedahan jantung terbuka konvensional yang memerlukan sternotomi, hirisan besar melalui tulang dada.
"MIS dilakukan melalui hirisan kecil tiga hingga tujuh sentimeter (cm) di antara tulang rusuk, menggunakan teknik endoskopik.
"Ia tidak akan meninggalkan parut seolah-olah berbentuk zip, seperti pembedahan jantung terbuka konvensional, itulah sebabnya MIS dipanggil pembedahan jantung tanpa 'zip'," katanya kepada Majoriti.
Dr Shahrul sudah menjalankan sekitar 400 pembedahan invasif minimum.
Dr Shahrul menjelaskan, perbezaan ketara antara pembedahan tersebut adalah dari segi keperluan untuk memotong tulang dada pesakit (sternum).
Ujarnya, pembedahan invasif minimum kini hanya memerlukan insisi yang lebih kecil di antara tulang rusuk.
“Prosedur untuk mengambil pembuluh darah daripada bahagian badan lain seperti paha bagi tujuan pintasan juga boleh dilakukan melalui insisi kecil dengan bantuan alat endoskopik.
“Pakar bedah kini menggunakan kamera (resolusi) 4K dan endoskopik berdefinisi tinggi yang membolehkan kami melihat organ dalaman dengan jelas tanpa perlu memotong tulang pesakit," katanya.
Beliau turut memaklumkan, MIS yang biasa dilakukan ialah Cantuman Pintasan Arteri Koronari (CABG), Penggantian Injap Mitral (MVR) dan Penggantian Injap Aorta.
"Pendekatan ini dianggap sebagai game-changer kerana ia mengubah persepsi dan penerimaan pesakit terhadap pembedahan jantung.
"Dengan mengelakkan keperluan untuk memotong tulang dada, proses pemulihan dan kualiti hidup pesakit akan bertambah baik secara drastik.
"Berbanding dengan kaedah pemotongan dada konvensional, tulang dada yang patah memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan tempoh untuk sembuh," jelasnya.
Mengulas lanjut tentang impak penggunaan teknik tersebut terhadap pesakit, Dr Shahrul berkata, ekoran tiada keperluan untuk memotong tulang dada, kesakitan selepas pembedahan dapat dikurangkan, seterusnya mempercepat proses pemulihan.
"Pesakit boleh dipulihkan seawal satu hingga dua minggu selepas pembedahan, berbanding empat minggu dalam pembedahan terbuka kerana faktor pengehad seperti sakit dan jangkitan luka, berkurangan disebabkan MIS," ujarnya.
MIS dilakukan melalui hirisan kecil 3 hingga 7cm antara tulang rusuk, menggunakan teknik endoskopik.
Ditanya jumlah pakar yang ada di Malaysia, beliau memberitahu, hanya terdapat dua pakar di negara ini yang mempunyai kemahiran untuk menjalankan pembedahan invasif minimum pintasan jantung dan injap.
Katanya, selain beliau, terdapat seorang lagi pakar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memiliki kelayakan tersebut.
"Prosedur ini memerlukan seorang hingga dua pembantu untuk membantu melancarkan proses pembedahan.
"Setakat ini saya telah menjalankan sekitar 400 pembedahan invasif minimum. Sementara di DSH2 sahaja, hampir 50 MIS telah dilakukan," jelasnya sambil memaklumkan pembedahan jenis itu mula dilaksanakan di negara ini sejak tahun 2014.
Dalam pada itu, Dr Shahrul berkata, prosedur berkenaan dimulakan di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.
"Bagaimanapun sekarang selain Eropah, AS dan Jepun, Thailand juga sudah mula menggunakan teknik pembedahan ini di pusat perubatan mereka," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram