SAMBUTAN Hari Kebangsaan 2024 yang berlangsung dengan meriah di seluruh negara meninggalkan 1,001 kenangan buat rakyat Malaysia.
Pelbagai gelagat dan suasana dirakam ketika menghadiri sambutan di lokasi masing-masing untuk dikongsikan bersama rakan maya melalui media sosial.
Antara yang meraih perhatian ramai adalah video memaparkan seorang wanita dikatakan sarat mengandung, turut hadir ke Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) pada Sabtu.
BACA LAGI: Tugas isteri hanya lahir dan susukan anak? Mufti tegaskan suami ada hak tentukan kewajiban pasangan
BACA LAGI: Mateen Inteam terpaku lihat orang Mesir dengar al-Quran sambil berdiri dalam pengangkutan awam
Menerusi klip berdurasi seminit dua saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok pada Sabtu itu, kelihatan seorang wanita hamil berjalan dalam keadaan kepenatan sambil dibantu suaminya dan seorang anggota polis wanita.
"Sakit nak bersalin. Semoga dipermudahkan urusannya," tulisnya dalam video berkenaan.
Kejadian itu mendapat kritikan daripada warga maya dengan rata-ratanya meninggalkan komen yang kurang senang terhadap tindakan wanita itu yang masih menghadiri acara besar meskipun dalam keadaan sarat mengandung.
Bagaimanapun seorang lelaki tampil menafikan dakwaan mengatakan isterinya sudah mahu bersalin sedangkan usia kandungannya baru mencecah empat bulan.
Dia turut memuat naik hantaran di Facebook melalui page Warga Kuantan Official bagi memberi penjelasan sebenar berhubung kejadian tersebut.
Tangkap layar memaparkan perbualan lelaki tersebut dengan pengendali akaun TikTok yang memuat naik video berkenaan.
"Isteri saya tak sarat hamil, baru empat bulan nikah dan bunting pelamin.
"Semasa kejadian saya lalu betul-betul depan pemilik (aplikasi TikTok) Kuantanbest dan dia buat kapsyen melulu tanpa bertanya atau tahu perkara sebenar.
"Sedangkan boleh lihat jelas isteri saya tak sarat mengandung lagi dan hantaran/kapsyen dia menimbulkan fitnah dan keliru daripada saudara-mara dan kenalan terdekat kerana saya baru berkahwin empat bulan.
"Akibat daripada hantaran itu membuatkan semua buruk sangka (anak luar nikah) dan menimbulkan kekecohan antara saya dan keluarga," katanya.
Berang dengan tindakan tanpa usul periksa pengendali akaun Facebook tersebut, si suami kemudian membuat laporan polis susulan terlalu banyak tohmahan dan persoalan yang diterima daripada orang ramai termasuk kenalan dan keluarga.
"Semasa saya berada di kawasan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, saya ada terlihat satu hantaran yang dibuat oleh TikTok Kuantanbest, yang mana kapsyen tersebut tidak benar dan menimbulkan fitnah kepada diri saya ekoran komen pada hantaran tersebut.
"Untuk makluman, isteri saya sedang hamil empat bulan. Saya menghantar pesanan kepada pengendali akaun tersebut untuk memadam hantaran yang dibuat tetapi tiada maklum balas," katanya menerusi laporan polis yang turut tular di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram