ABDUL Mansoor Ibrahim atau Pak Chot antara figura dikenali dalam dunia seni cetak yang kaya dengan warisan kraf.
Meskipun mempunyai pengalaman berdekad lamanya, namun cara pembawaaan dirinya penuh keanggunan, seolah-olah kerumitan dalam pembuatan cetakan sudah menjadi sebahagian daripada diri.
Mula berkecimpung dalam seni cetak sejak usianya mencecah 18 tahun, bagi Pak Chot, ia bukan sekadar kraf, sebaliknya setiap satu daripadanya melambangkan ceritera dalam sebuah kehidupan.
BACA LAGI: Usia 70 tahun bukan penghalang, Pak Ngah mula ubah nasib lepas jadi peserta paling 'otai' IPR INTAN
Penghayatan dan penguasaan seni cetak telah membentuk perjalanan hidup dan identiti Abdul Mansoor.
"Sudah menjadi lumrah untuk saya bangun tidur setiap hari dan mengulangi ritual yang pada akhirnya membentuk rutin seharian kami," katanya dengan tenang.
Dalam temu bual di Chetak 17, sebuah hab seni cetak di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, Abdul Mansoor begitu bersemangat ketika membincangkan perihal pameran solo terbaharunya, Engraving Life, dan banyak lagi.
Di galeri itulah lokasi berkumpul para pembuat cetak, tempat di mana Abdul Mansoor bergaul dan berinteraksi bersama rakan seperjuangannya merangkumi pelbagai peringkat umur.
Di situlah mereka saling bertukar-tukar idea, teknik dan berkongsi pengalaman antara sesama senior dengan pendatang baharu.
Pameran Engraving Life, yang berlangsung sehingga 4 September, menampilkan 38 ukiran kayu Abdul Mansoor yang dihasilkan sejak 12 tahun lalu, termasuk beberapa karya yang membuat penampilan sulung mereka.
Untuk pameran ini, Abdul Mansoor begitu bersemangat untuk berkongsi pandangannya tentang seni cetak dan perjalanan kreatif di sebalik karyanya.
Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam seni cetakan, seni kayu ukir tergolong dalam kategori cetak timbul, yang mana dakwat disapu pada permukaan blok yang ditinggikan dan hanya memerlukan tekanan ringan untuk memindahkan imej kepada helaian kertas.
Walau bagaimanapun, apa yang membezakan ukiran kayu daripada cetakan kayu atau blok kayu adalah bahannya.
Koleksi Mandian Debunga dan Nektar oleh Abdul Mansoor. — Chetak 17
Potongan kayu diukir daripada blok yang dihiris menegak, diambil daripada teras kayu balak, manakala ukiran kayu dibuat dengan teliti daripada blok yang dipotong mendatar, dikenali sebagai bijian hujung, menawarkan permukaan lebih padat dan mencabar untuk mengukir butiran halus.
Memandangkan bentuk dan saiz kayu balak yang unik, Abdul Mansoor sering menggabungkan bentuk semula jadi kayu ke dalam hasil karya terakhirnya, seperti yang dilihat dalam kepingan Pengembara Samudra (Penjelajah Laut).
"Apa yang anda dapat lihat pada bahagian ini? Penyu laut bukan? Cuba lihat sekali lagi dan beritahu saya apa yang anda lihat,” katanya.
Jika anda zum keluar dan melihat garis kasar pada karya tersebut, anda boleh melihatnya berbentuk seperti tengkorak.
"Ia menggambarkan perjuangan hidup di laut dalam," jelasnya.
Ukiran kayu Abdul Mansoor, 'Rumah Haram', adalah antara karya terbesar siri yang menggambarkan ketam bertapa.
Abdul Mansoor lebih gemar menggunakan kayu keras daripada pokok tempatan seperti ciku atau kemuning untuk ukiran kayu kerana ia murah dan mudah diperoleh.
Jelas beliau lagi, kayu pokok ciku dikenali kerana kayunya yang berkualiti, selain bijirinnya yang padat. Dengan pokok ciku juga, anda boleh menghasilkan butiran yang lebih tajam,” kongsinya.
Tentunya, setiap butiran dalam cetakannya begitu teliti, ia merangkumi antaranya pandangan mikroskopik serangga dan pandangan jarak dekat haiwan, sehinggalah kepada isu kemanusiaan yang lebih meluas dan kompleks.
Lebih mengagumkan, beliau dapat merealisasikan butiran yang begitu teliti ketika bekerja dengan cermin.
Untuk cetakan timbul, karyanya perlu diukir secara mirrored supaya ia akan terhasil sebaiknya di atas kertas.
"Ukiran kayu pada dasarnya adalah permainan antara ruang positif dan ruang negatif, itulah bahagian yang rumit.
"Jika tidak biasa, anda mungkin melakukan kesilapan seperti mengukir terlalu banyak. Jadi penting untuk sentiasa meneliti setiap perkembangan kerja yang dijalankan di setiap peringkat,” kata Abdul Mansoor.
'Pengembara Samudra' Abdul Mansoor (ukiran kayu ciku bijian akhir pada kertas beras, 2015), salah satu karya paling dinantikan dalam pamerannya di galeri Chetak 17.
Memulihkan sejarah
Dari segi sejarah, seni cetak memainkan peranan utama dalam pendemokrasian seni halus, kerana ia memungkinkan pengeluaran semula maklumat dan imejan.
Mungkin tidak begitu mengejutkan mengapa Abdul Mansoor memilih seni cetak sebagai jurusannya di Pusat Pengajian Seni dan Reka Bentuk di Institut Teknologi MARA (ITM), yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM), terutamanya jika kita sudah biasa melihat karya seninya cenderung ke arah penyampaian mesej yang secara halus dan mendalam mengenai sosial dan politik.
“Saya mahu membuat cetakan kerana ia berbeza dengan arca dan lukisan (jurusan lain yang ada). Apabila mencipta karya seni, jika ia adalah arca atau lukisan, ia selalunya bersifat one-off. Artis tidak boleh menyimpan apa-apa untuk diri mereka sendiri.
“Tetapi dengan cetakan, jika kita mencetak 10 edisi, artis mendapat salinan, dan begitu juga yang lain. Ia juga merupakan bentuk seni halus yang lebih berpatutan, " katanya.
Pada tahun 1975, Abdul Mansoor turut mengambil bahagian dalam membaiki monumen negara, yang mana beliau membantu memulihkan Tugu Negara, yang dibom oleh komunis.
“Pensyarah seni cetak saya di ITM, Kok Yew Puah, berkawan dengan Christopher Carney, pengukir Australia yang ditugaskan untuk projek pemulihan.
"Carney juga merupakan pensyarah di ITM ketika itu. Jadi dia mengesyorkan ketiga-tiga pelajarnya termasuk saya sendiri untuk mengusahakannya,” ujarnya.
Dari kiri: Abdul Mansoor, Christopher Carney, Mufti Jantan dan Zolkeply Maulana mengadakan pertemuan semula pada tahun lalu di hadapan Tugu Negara.
Di bawah penyeliaan Carney, Abdul Mansoor dan rakan-rakannya iaitu Abdul Mufti Jantan dan Zolkeply Maulana menggunakan pengalaman mereka dalam memahat untuk mencipta corak yang akan digunakan untuk menggantikan bahagian yang rosak akibat pengeboman.
"Ia adalah peluang sekali dalam seumur hidup dan pengalaman yang sangat cemerlang.
"Agak sayang kerana kami terputus hubungan selepas projek itu dan saya juga tidak dapat meneruskan sehingga ke akhir proses pemulihan kerana menerima biasiswa untuk belajar di Perancis," bicara Pak Chot lagi.
Bagaimanapun pada tahun lalu, ketiga-tiga bekas pelajar itu bertemu semula dengan Carney buat kali pertama sejak mereka bekerja bersama.
“Kami membuat keputusan untuk berjumpa semula kerana terdapat segelintir pihak yang tiada kaitan mendakwa mereka yang melakukan pemulihan tersebut.
"Jadi kami mahu menceritakan dan berkongsi semua dokumentasi yang kami simpan mengenai projek itu selepas bertahun-tahun," tambahnya.
Abdul Mansoor menumpukan perhatian sepenuhnya ketika menyiapkan salah satu ukiran kayunya yang agak rumit. — Fauzi Tahir
Selepas menamatkan pengajian diploma di ITM, Abdul Mansoor melanjutkan pelajaran di Ecole Nationale Superieure des Beaux-Art yang berprestij di Paris, Perancis.
Beliau mengakui ia adalah satu perjalanan yang sukar berikutan tidak ramai lagi rakyat Malaysia yang berada di sana pada masa itu.
Justeru beliau lebih banyak bergaul dengan pelbagai latar belakang masyarakat termasuk artis daripada Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan British.
"Saya terus berhubung dengan keluarga saya di Hulu Langat (Selangor) menggunakan Aerogram, yang mengambil masa kira-kira seminggu untuk diterima,” katanya.
Abdul Mansoor ketika itu juga merupakan perantis kepada pembuat cetakan terkenal S.W. Hayter di Atelier 17, sekolah dan studio seni cetak yang berpengaruh, yang mana beliau mempelajari seni percetakan kelikatan, teknik cetakan khusus yang dibangunkan oleh Hayter sendiri.
Sekembalinya ke Malaysia pada tahun 1980, beliau menyertai kolektif seni terkenal, Anak Alam, mendapat diploma untuk mengajar seni dan seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Seni Halus di UiTM, sambil terus menghasilkan karya seni sebagai pencetak.
Mengenang semula perjalanan kariernya itu, Abdul Mansoor berkata, komuniti adalah bahagian penting dalam kehidupan sebagai seorang artis.
Pengunjung hadir menyaksikan hasil karya di pameran di Chetak 17.
“Anda mesti berada dalam komuniti kerana jika bekerja bersendirian, sukar untuk kita masuk dalam pasaran.
"Itulah sebabnya pergaulan dan rangkaian penting, tetapi itu juga keindahan komuniti seni cetak, kita semua disatukan oleh kecintaan kita bersama terhadapnya, " jelas beliau.
Atas sebab inilah dia juga percaya bahawa seni cetakan tidak akan pupus, malah ia juga berupaya untuk berkembang seiring peredaran zaman.
"Walaupun teknik dan format akan berubah, tetapi ia masih akan ada di sini. Hari ini, cetakan digital adalah raja, esok, siapa tahu? Akan sentiasa ada orang yang berminat dan cukup bersemangat untuk meneruskannya," katanya mengakhiri perbualan. — The Star/HANIS MAKETAB
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram