Farina sanggup tinggalkan kerjaya wartawan demi pendidikan anak Sabah


Farina mengajar anak-anak murid subjek Bahasa Melayu di SMK Madai, Kunak.

SEORANG anak jati Sabah sanggup meninggalkan kerjaya popular yang pernah menjadi kebanggaannya demi pendidikan anak-anak Sabah.

Wanita itu, Farina Rauf, kini melangkah masuk dalam bidang perguruan untuk bergelar cikgu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kampung Madai di Sabah setelah sekian lama berkhidmat sebagai pengamal media di Shah Alam, Selangor.

Pernah bertugas sebagai wartawan selama empat tahun, Farina berkata, dia ingin melihat anak-anak di kawasan penempatannya mendapat pendedahan yang meluas dalam bidang digital.

BACA LAGI: Michelle Yeoh beri inspirasi kepada semua — Joe Biden

BACA LAGI: PKP pencetus inspirasi 'wanita jambu' raih RM10,000 sebulan

WhatsApp Image 2024-05-15 at 8.13.40 PM (1)

Farina mengajar anak-anak murid bagi subjek Bahasa Melayu.

"Sekarang Kementerian Pendidikan Malaysia sudah terapkan mengenai transformasi digital, jadi kalau di Semenanjung sudah biasa digital tetapi di Sabah dan Sarawak pendedahan masih kurang diterima.

"Bukan sekadar murid-murid tetapi guru-guru juga," kata wanita jelita berketurunan Bajau itu kepada Majoriti.

Tidak hanya memainkan peranan sebagai guru dalam subjek Bahasa Melayu, Farina juga terpilih sebagai guru yang mengendalikan kelab wartawan cilik.

"Dengan adanya kelab sebegini, moga-moga anak-anak murid di sini lebih celik bidang teknologi maklumat," katanya.

Sebelum ini, gadis berusia 28 tahun itu mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan) di Universiti Putra Malaysia.

Farina mengakui masih cuba menyesuaikan diri sebagai seorang guru sejak memulakan kerjaya itu dua minggu lalu.

"Sebab saya tiada latar belakang pendidikan jadi saya akui alami kejutan budaya sedikit kerana banyak istilah yang perlu dipelajari," katanya.

WhatsApp Image 2024-05-15 at 8.12.41 PM (1)

Farina ketika berkhidmat sebagai wartawan penyiaran di sebuah akhbar tempatan di Selangor.

Bagaimanapun, Farina sentiasa cuba yang terbaik dengan merujuk kepada guru-guru berpengalaman yang sudah lama berkhidmat di sekolah itu.

"Saya banyak bertanya kepada cikgu-cikgu lama macam mana mereka mengajar.

"Guru-guru nasihatkan apabila kita berdepan dengan budak kita perlu ada limitnya supaya mereka lebih berdisiplin," katanya.

Selain itu, Farina juga dalam proses menyeimbangkan karakter tegasnya supaya dapat diterima oleh murid-murid.

"Sebelum ini saya wartawan jadi sikap jenis tegas sebab tugas juga menuntut saya untuk lebih serius tetapi apabila jadi pendidik, saya kena lebih harmoni," katanya.

Bercerita mengenai tawaran mendapat guru, Farina berkata, ibunya menjadi insan yang paling gembira mendengar khabar itu.

"Ibu saya menangis kegembiraan dan juga sujud syukur kerana memang dia mahu saya jadi seorang guru.

"Sebelum ini, ibu saya ada juga suruh memohon sebagai guru tetapi saya tak berapa endahkan kerana masih selesa dengan kerjaya di Semenanjung.

"Jadi bila fikir saya pun sudah hampir 10 tahun berada di Semenanjung, inilah masanya untuk berbakti di negeri sendiri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram