[VIDEO] Hentak cermin Myvi rupanya pesakit mental, dihantar ke Hospital Bahagia — Polis Ipoh


  • 112
  • Isnin, 19 Ogos 2024

Tangkap layar seorang lelaki yang dirakam menghentak cermin sebuah kereta jenis Perodua Myvi menggunakan kepingan atap genting dalam kejadian di Taman Wing Onn, Ipoh baru-baru ini.

SEORANG lelaki yang dirakam menghentak cermin sebuah kereta jenis Perodua Myvi menggunakan kepingan atap genting dalam kejadian di Taman Wing Onn dekat Ipoh, Perak merupakan pesakit mental.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditangkap pada Khamis lalu susulan laporan polis dibuat mangsa pada Rabu.

“Polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa kereta miliknya yang diletak di tepi jalan telah dibaling dan diketuk suspek menggunakan atap genting.

BACA LAGI: [VIDEO] Tragedi mandi tasik di Kempas, ibu menangis sayu lihat jasad anak lemas diusung keluar

BACA LAGI: [VIDEO] Mayat wanita berulat ditemukan tidak berpakaian lengkap, polis Shah Alam klasifikasi kes mati mengejut

“Bertindak atas maklumat itu, tangkapan dibuat ke atas lelaki tersebut yang juga tinggal di perumahan sama untuk membantu siasatan,” katanya pada dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, siasatan terhadap suspek mendapati lelaki itu merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental.

Katanya, hasil semakan rekod jenayah pula mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

“Suspek telah pun dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini, kita sedang melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

"Sebaik sahaja siasatan lengkap, kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk cadangan pertuduhan,” katanya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan lelaki berkenaan tidak berbaju menghentak cermin kereta jirannya.

Semasa kejadian, kereta tersebut diletakkan di tepi rumah mangsa sebelum lelaki terbabit tiba-tiba bertindak sedemikian.

Namun, dia terus beredar dari tempat kejadian selepas menyedari tindakannya itu dirakam pemilik kenderaan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram