Lebih 30,000 pasangan bertemu jodoh menerusi aplikasi Baituljannah


  • Bizz
  • Khamis, 29 Ogos 2024

Aplikasi Baituljannah.com sebagai salah satu ikhtiar untuk individu bujang beragama Islam mencari jodoh.

KATA orang, jodoh tidak akan datang bergolek begitu saja tanpa ada usaha daripada tuan empunya badan.

Dengan kemunculan era digitalisasi kini, teknologi banyak membantu dalam memudahkan seseorang mencari pasangan hidup.

Melihat peluang itu, Pengarah Urusan Baituljannah Sdn Bhd, Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon mengambil pendekatan untuk memperkenalkan aplikasi Baituljannah.com, sebagai salah satu ikhtiar untuk individu bujang beragama Islam mencari jodoh.

BACA LAGI: Runsing fikir soal jodoh? Ketahui 4 tip cari pasangan di aplikasi agar tak tersilap langkah

BACA LAGI: Farina sanggup tinggalkan kerjaya wartawan demi pendidikan anak Sabah

Dilancarkan pada tahun 2017, sehingga kini, lebih 30,000 pasangan sudah mendirikan rumah tangga selepas berkenalan menerusi aplikasi berkenaan.

Kepada Majoriti, Dr Wan Hasifi Amin berkongsi cerita mengenai kaedah yang digunakan hingga berjaya menyatukan dua jiwa menerusi aplikasi cari jodoh.

2

Bagaimana Baituljannah.com bermula dan berupaya menarik minat golongan bujang mendaftar di platform digital ini?

Kami bermula pada Mei 2017 apabila melihat kakak saya ingin mencari jodoh. Ketika itu belum wujudnya aplikasi fokus dalam mencari jodoh. Justeru, kami nampak peluang tersebut lantas membangunkan aplikasi sedemikian. Pada masa itu kami masih menjalankan bisnes menjual tudung dengan mempunyai 1.1 juta pengikut di Facebook.

Jadi untuk jalankan uji kaji produk baharu ini kami memperkenalkan menerusi platform sedia ada. Bulan pertama diperkenalkan tidak sampai sebulan hampir 20,000 orang mendaftar dan sepasang pasangan berkahwin.

Selepas itu jumlah mendaftar semakin ramai lalu kami buat keputusan menjual syarikat tudung yang diusahakan untuk fokus sepenuhnya kepada Baituljannah.com.

Kewujudan aplikasi ini membantu menyelesaikan masalah dihadapi golongan bujang. Kami memastikan individu berdaftar adalah wujud dan menjaga keselamatan pengguna sepenuhnya. Ini salah satu faktor menarik golongan bujang.

Berdasarkan semakan di laman sesawang lebih sejuta individu berdaftar dengan 20,000 perkahwinan telah berlangsung. Bagaimana platform ini berjaya memadankan mereka hingga ke jenjang pelamin?

WhatsApp Image 2024-08-30 at 20.51.57

Dr Wan Hasifi Amin

Kebanyakan individu mempunyai jadual yang padat dan tiada kelapangan untuk berkenalan dengan orang baharu, selain kitaran berkawan semakin mengecil. Kami fokus kepada perkara asal terlebih dahulu menyelesaikan masalah bagaimana untuk mereka saling berkenalan.

Apabila mendaftar, mereka perlu mengesahkan nombor pas pengesahan transaksi (OTP) di telefon dan juga e-mel untuk memastikan orang itu benar-benar wujud. Kemudian melengkapkan butiran peribadi dan peringkat ini bahagian pentadbiran akan semak satu persatu kesahihan maklumat.

Kalau ada unsur penipuan segera disingkirkan. Jika tiada masalah, proses perkenalan akan bermula yang mana ada ruang sembang disediakan, tetapi mereka tidak berdua-duaan kerana ada pemantau dalam kalangan kami.

Pengguna juga boleh menjemput ahli keluarga turut sama dalam ruang sembang itu. Selain itu, di ruang sama mereka tidak boleh bertukar nombor telefon. Jika dikongsi akan dipadam dan boleh dikenakan penalti sehingga disekat untuk tidak lagi dibenarkan menggunakan platform ini.

Peserta juga dilarang bertukar media sosial supaya mereka mengenali antara satu sama lain dalam ruang sembang terlebih dahulu. Ini disebabkan dalam ruang sembang terdapat meter tahap memahami. Jika mereka saling berbual dan respons, maka meter akan meningkat.

Sebaik sahaja mencecah 100 peratus kami sediakan borang taaruf luar untuk tujuan bertukar nombor telefon. Namun, sebelum itu mereka perlu swafoto bersama MyKad masing-masing bagi kesahihan.

Peranan kami berakhir peringkat tersebut sahaja. Sementara itu, mereka yang berjaya ke jenjang pelamin menghubungi dan tag kami di media sosial sudah mencecah lebih 30,000 pasangan.

Proses ini bergantung pada individu yang mana ada hingga lima tahun, ada sebulan sahaja terus bertaut jodoh. Keputusan untuk meneruskan atau tidak hubungan berkenaan bergantung empunya diri.

WhatsApp Image 2024-08-28 at 17.08.01

Hampir 30,000 pasangan sudah mendirikan rumah tangga selepas berkenalan menerusi aplikasi berkenaan.

Kebiasaannya golongan mana paling ramai mendaftar?

Pengguna Baituljannah.com kini 1.2 juta orang dan sudah merangkumi 12 peratus golongan bujang, Islam dan berusia 20 tahun ke atas. Demografi ini sama dengan komposisi ada di dalam negara. Golongan berusia 24 hingga 34 tahun paling ramai mendaftar.

Bukan golongan bujang sahaja, mereka berstatus duda atau janda juga boleh berdaftar dengan Baituljannah.com.

Bagaimana Dr Wan Hasifi Amin berdepan persepsi negatif dilempar terhadap Baituljannah.com. Mungkin ada pihak gelar penipu dan mengambil kesempatan menjana pendapatan dalam kalangan mereka sedang mencari jodoh?

Tidak dinafikan ada komen negatif, tetapi apabila membuat semakan mereka ini bukan pengguna Baituljannah dan tidak pernah berdaftar. Lazimnya, kami tidak mengabaikan komen sedemikian, sebaliknya mengambil respons bagi tujuan penambahbaikan.

Golongan yang membuat tanggapan negatif ini mungkin membuat andaian dan analisis sendiri. Kami sentiasa menitikberatkan dari sudut kesejahteraan pengguna. Setakat ini menerusi testimoni, boleh lihat berapa ramai telah berkahwin menerusi Baituljannah.com.

Boleh kongsikan misi dan visi Baituljannah.com dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang? Mungkin ingin teroka ke negara Islam yang lain?

Kita masih lagi beroperasi di Malaysia, Brunei dan Singapura. Sejak tahun 2018 kami berhasrat memasuki pasaran Indonesia kerana mempunyai kapasiti umat Islam terbesar.

Tambahan pula, Malaysia dan Indonesia negara serumpun dan memiliki banyak persamaan. Pun begitu polisi negara jiran itu mengekang perancangan kami memulakannya lebih awal. Terdapat pelbagai prosedur perlu dipatuhi seperti lesen operator penyelia elektronik.

Perancangan ada cuma kita masih lagi menangguhkan perancangan kerana memberikan fokus kepada pasaran Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram