KEHADIRAN pemimpin industri dengan sudut pandang dan pengalaman yang luas menawarkan perspektif berharga, melangkaui bacaan buku teks dan pembelajaran di dewan kuliah.
Sebagai suri teladan dan mentor, mereka memberi inspirasi kepada pelajar untuk meletakkan azam lebih tinggi dan menyediakan perkara yang diperlukan dalam menghadapi cabaran.
Usahawan muda dan pemimpin projek sosial, yang dibimbing oleh profesional berpengalaman, kini lebih bersedia untuk memberi sumbangan signifikan kepada komuniti dan ekonomi global.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
BACA LAGI: Farina sanggup tinggalkan kerjaya wartawan demi pendidikan anak Sabah
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer merangkap Ketua Projek 6reen, Abdulla Safar memberi ucapan kepada mentor dan rakan mentee semasa sesi Meet & Pitch, Camp of Leaders tahun ketiga di Taylor's University Lakeside Campus.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Move, Nadia Omer, beliau begitu menekankan kepentingan sikap, kebolehan dan keupayaan untuk mengambil risiko sebagai kualiti penting bagi generasi pemimpin akan datang.
“Sikap melibatkan asas kukuh yang dibina atas integriti, melakukan perkara yang sukar, positiviti dan membuat sesuatu berlaku.
“Aptitud pula adalah tentang memilih untuk melakukan perkara mengikut minat, penuh dengan idea dan terus menambah baik serta membina kepakaran.
"Mengambil risiko bermakna menjadi pelopor, keluar dari landasan dan menganggap setiap langkah adalah penting," katanya.
Merapatkan jurang antara teori dan amalan
Untuk golongan muda, langkah menuju kejayaan menjadi semakin rumit dan kompetitif. Perjalanan boleh menjadi agak menggerunkan jika tiada bimbingan dan sokongan yang betul.
Pementoran memainkan peranan penting dalam merapatkan pembelajaran akademik dan pengalaman dunia sebenar, menawarkan perjalanan transformatif yang memperkasakan individu untuk mencapai potensi penuh mereka.
Menyedari kepentingan mempunyai mentor untuk graduannya, Taylor's University mengambil pendekatan untuk memperkenalkan program Camp of Leaders.
Program bimbingan dinamik yang berlangsung selama enam bulan itu menghubungkan pelajar dan idea permulaan mereka dengan pemimpin industri.
Dengan memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman pemimpin industri, program itu berupaya membangunkan kemahiran insaniah yang juga merupakan aspek penting untuk membina sesebuah perniagaan.
Oleh itu, pelajar dapat memacu inovasi dalam perniagaan dan projek sosial, di samping memberi sumbangan positif kepada komuniti mereka dan meningkatkan kualiti hidup.
Santharuban (kiri) sempat berinteraksi dengan mentee pelajarnya semasa sesi Meet & Pitch.
Sejajar dengan visi Malaysia untuk mara ke hadapan daripada ekonomi berasaskan pembuatan kepada berasaskan pengetahuan, Camp of Leaders memperkasakan golongan muda untuk menjadi pencetus perubahan pada masa hadapan, sekali gus menyumbang pada kemajuan pendidikan negara.
Menginjak ke tahun ketiga, inisiatif itu menghubungkan mentee dengan pemimpin berpengalaman dalam pelbagai industri, termasuk Nadia, Ketua Pegawai Komersial merangkap pengasas bersama Entomal Biotech Sdn Bhd, Yanni Xinyan Ching; Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama B&B Labs, Julius Lim; pengasas Spa Tanamera Tropicana, Mohamad Faisal Ahmad Fadzil dan Pengarah Domaine Architects Sdn Bhd, Norashidah Wahab.
Mentor yang turut kembali bersama pada tahun ini, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Etika Group of Companies, Santharuban Thurai Sundaram; Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Komuniti Tukang Jahit, Yap Sue Yii serta pengarah dan Ketua Pembangunan Perniagaan (permainan) The Walt Disney Company untuk Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Utara, Je Alipio.
Impak pementoran
Camp of Leaders pada musim ini akan menampilkan projek inventif oleh pelajar Taylor's University yang memasang impian untuk menginovasi industri masing-masing.
Projek tersebut termasuk Durian-Tex, kitar semula sisa sekam durian menjadi fabrik mesra alam; Bizzy B, aplikasi teknologi permainan pelancongan; aiskrim vegan, Chicgo; minyak organik untuk kesihatan kulit kepala, Morshedcare; mikrokapsul gel-manik untuk kemampanan dalam produk penjagaan kulit, Aquaglow; produk pengkomposan larva lalat askar hitam, Bugkwa dan penyedia platform untuk individu yang sedang mencari dan menawarkan perkhidmatan, Taskaway.
Sementara itu, mengimbas kembali pengalamannya ketika kali pertama berperanan sebagai mentor, Nadia mengakui dirinya benar-benar terharu dengan semangat dan kreativiti mentee, terdiri daripada golongan anak muda yang ingin membuat perubahan.
“Saya melihat betapa bersemangatnya mereka untuk berhubung dengan profesional bagi mengetahui lebih lanjut dan belajar dengan lebih cepat.
“Sepanjang perjalanan hidup, saya menimba banyak ilmu daripada mentor, guru, pemimpin dan pihak lain yang membantu saya berkembang dan mencapai kejayaan yang tidak pernah saya bayangkan.
"Kini, giliran saya untuk membayar semula dengan membimbing pelajar ini sambil saya juga belajar daripada mereka," kata Nadia.
Nadia mengakui dirinya benar-benar terharu dengan semangat dan kreativiti para mentee.
Dia menambah, peluang bimbingan seperti itu akan membantunya memahami belia pada hari ini dengan lebih baik.
Dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang motivasi dan minat golongan berkenaan, Nadia percaya dia mampu menggunakan pengetahuan yang dimilikinya untuk membawa AirAsia Move ke arah perkhidmatan yang menyediakan pengalaman lebih dekat dengan anak muda.
Nadia ialah mentor projek 6reen dan telah memainkan peranan penting dalam kemajuan pasukannya.
Pendekatan holistik
Taylor’sphere yang dipanggil sebagai nadi kepada sistem pendidikan di Taylor’s ialah sebuah ekosistem percampuran amalan pedagogi untuk penyampaian pendidikan yang cemerlang dan pengalaman yang bermakna, seiring dengan landskap pendidikan yang berevolusi.
Ekosistem memupuk intelek, kreativiti dan kebijaksanaan praktikal pelajar, menggalakkan mereka meneroka minat, bekerjasama dengan rakan sebaya dan industri serta membangunkan kemahiran di luar bilik darjah.
Dengan menghubungkan pelajar dengan pemimpin industri, institusi itu berjaya merapatkan jurang antara teori akademik dan aplikasi praktikal, sekali gus menyediakan graduan untuk muncul sebagai inovator dan pemimpin masa depan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram