Pernah gagal dalam bisnes pek makanan, anak jati Ipoh bangkit terokai bidang gubahan bunga, agrikomoditi


  • Bizz
  • Sabtu, 31 Ogos 2024

Nur Aniza turut menasihatkan agar kaum wanita di luar sana khususnya di Perak untuk tidak gentar mencari peluang dalam bidang perniagaan.

DIUJI dengan kegagalan dalam perniagaan sama sekali tidak mematahkan semangat Nur Aniza Alias untuk terus menerokai dunia penuh risiko itu.

Enggan menyalahkan takdir, anak kelahiran Ipoh, Perak berusia 38 tahun itu menganggap gagal mengekalkan jualan pek makanan yang diusahakan bersama suami adalah sebahagian daripada ujian hidupnya.

Membuka bicara, Nur Aniza berkata, dia mula didedahkan dengan alam perniagaan sejak menginjak usia lapan tahun selepas sering mengikut bapanya berniaga sayur-sayuran di sebuah pasar dekat Kampung Manjoi, Ipoh.

BACA LAGI: Usia 70 tahun bukan penghalang, Pak Ngah mula ubah nasib lepas jadi peserta paling 'otai' IPR INTAN

BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta

novaniz2

Nur Aniza (tiga dari kanan) ketika menerima Bantuan Koperasi Negeri Perak pada tahun 2024.

Sehinggalah ke alam universiti, lulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan, Pemasaran Global dari Management and Science University (MSU) itu mengakui, perasaan untuk mendalami dunia perniagaan semakin membuak-buak.

Ketika melanjutkan pelajaran di universiti itu, usahawan berkenaan tidak melepaskan peluang untuk menyertai program kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menambah baik kemahiran dan mengenal pasti bentuk pemasaran pada ketika itu.

"Dari situ saya terokai pelbagai jenis bisnes seperti sektor makanan dan minuman (F&B), pembuatan sabun dan beberapa yang lain kerana ingin mengetahui permintaan pasaran ketika itu," katanya kepada Majoriti.

Tidak terhenti di situ, pada penghujung 2014, Nur Aniza memutuskan untuk menjalankan perniagaan pek makanan sedia dimasak untuk dieksport ke luar negara di bawah jenama Rapid Cuisine, bersama pasangannya, Justin Ngoyi, 43.

"Idea untk menghasilkan produk ini tercetus apabila melihat kesibukan ibu bekerja, ditambah dengan kecenderungan rakyat Malaysia untuk menjelajah ke luar negara.

"Jurulatih di bawah bimbingan MARA banyak mengajar kami tentang penjenamaan, jadi Alhamdulillah dari situ kami dapat menerokai industri halal, termasuk membawa produk ini ke pasaran global menerusi bantuan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)," kongsinya.

WhatsApp Image 2024-08-30 at 12.52.43

Nur Aniza (kiri) pernah mengusahakan bisnes pek makanan, Rapid Cuisine pada tahun 2014.

Suami tersangkut di Afrika

Bagaimanapun, ibu kepada lima cahaya mata itu terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi apabila perniagaan pek makanan yang diusahakannya terpaksa dihentikan pada tahun 2018 atas faktor kekangan masa, ditambah dirinya juga ketika baru sahaja melahirkan anak bongsu.

Lebih parah, disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia pada penghujung 2019, suaminya yang ketika itu berada di Afrika atas urusan kerja tidak dibenarkan pulang ke Malaysia susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Situasi itu menyebabkan usahawan tersebut sukar meneruskan bisnesnya, apatah lagi tumpuan juga perlu diberikan buat kelima-lima anaknya, yang kini berusia antara enam hingga 13 tahun.

"Saya terkejut suami tidak boleh pulang dan saya kena jaga lima anak bersendirian.

"Suami hanya dibenarkan pulang dua tahun kemudian, namun disebabkan ada urusan kerja yang perlu diselesaikan, dia kembali ke Malaysia pada Julai lalu.

"Ketika itu kami hanya berhubung melalui panggilan telefon dan video menerusi aplikasi WhatsApp sahaja.

"Saya memang tertekan dan mengalami kebimbangan yang sangat teruk, tidur pun tak lena," ujarnya sambil memberitahu bahawa Justin yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta, pergi ke Afrika tiga bulan sebelum penularan Covid-19.

WhatsApp Image 2024-08-30 at 13.07.26 (1)

Nur Aniza turut berkecimpung dalam bidang pertanian seperti menanam jagung sebagai salah satu sumber pendapatannya.

Berbekalkan niat untuk membesarkan anak-anak dalam tempoh sukar itu, Nur Aniza menguatkan semangatnya untuk berhijrah ke Shah Alam, Selangor bersendirian pada tahun 2021, selepas kerajaan melonggarkan syarat-syarat PKP.

Apakan daya, anak-anak terpaksa dititipkan seketika di bawah jagaan ibu bapa, dengan bantuan pembantu rumah yang diupah untuk membantu menjaga keperluan seharian mereka.

Di Shah Alam, dia berkhidmat sebagai konsultan dalam bidang peranti perubatan.

"Namun selepas lebih setahun, saya terpaksa berhenti kerja dan pulang semula ke Ipoh kerana anak-anak semakin membesar dan perlukan ibu di sisi.

"Ketika itu juga timbul masalah melibatkan pembantu rumah, sehingga terpaksa bertukar ganti sebanyak empat kali," katanya.

novaniz

Kebun Novaniz Nursery yang berlokasi di Bota itu sudah diusahakan mereka hampir dua tahun.

Kembali berniaga

Nur Aniza kemudian nekad untuk kembali mencari peluang dalam bidang perniagaan, yang baginya mampu mendatangkan sumber pendapatan, di samping mempunyai masa lebih fleksibel untuk menguruskan anak-anak.

Cerita anak kedua daripada empat beradik itu lagi, minat terhadap dunia masakan mendorongnya menjalankan bisnes pembuatan pastri dan gubahan bunga pada tahun 2023.

"Namun yang paling utama tentulah disebabkan kita ini kaum wanita memang perlu ada duit sendiri.

"Apa-apa yang jadi, contoh macam kes saya, terpaksa berpisah dengan suami disebabkan urusan kerja dan sebagainya, kita sebagai wanita atau isteri mesti ada pelan kecemasan jika nak teruskan hidup dengan baik.

"Jadi dengan bisnes, saya sedar ada banyak peluang yang boleh diterokai," jelasnya dengan penuh semangat.

WhatsApp Image 2024-08-30 at 13.07.26

Selain pelbagai jenis pokok, usahawan itu turut menjual baja dibantu anak-anak dan keluarganya.

Bercerita lanjut, Nur Aniza berkata, selain itu, dia sekeluarga turut mula berkecimpung dalam bidang pertanian dan penternakan.

Kebun Novaniz Nursery yang berlokasi di Bota itu sudah diusahakan mereka hampir dua tahun.

"Selain menternak ayam, ikan keli dan menanam jagung, kami turut membekalkan baja kepada pihak lain dengan kaedah menanam anak pokok," katanya yang turut menyertai kursus kelolaan Jabatan Pertanian Negeri Perak untuk menimba ilmu dalam sektor agrikomoditi.

Dalam pada itu, usahawan berkenaan turut menasihatkan agar kaum wanita di luar sana khususnya di Perak untuk tidak gentar mencari peluang dalam bidang perniagaan bagi menambah baik taraf hidup mereka.

Apatah lagi katanya, kerajaan negeri menerusi beberapa agensi terlibat sering memberi peruntukan dalam usaha membantu golongan tersebut memulakan dan mengembangkan bisnes.

"Peluang seperti geran dan peruntukan dana yang diberikan oleh agensi di Perak sebenarnya sangat banyak, cuma kita kena banyak belajar dan bertanya.

"Selama ini saya ingat bisnes lebih memberi kelebihan kepada lelaki, tetapi sebenarnya peluang kepada wanita juga tidak kurang hebatnya.

"Yang penting jangan takut untuk mula," ujarnya sebelum menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram