Usia 70 tahun bukan penghalang, Pak Ngah mula ubah nasib lepas jadi peserta paling 'otai' IPR INTAN


  • Bizz
  • Khamis, 29 Ogos 2024

Usia tidak menjadi penghalang buat Mohamad Azimi (gambar kiri) untuk bergiat serius dalam bidang pertanian.

MENCAPAI usia 70 tahun bukan penghalang untuk Mohamad Azimi Kassim membuat keputusan bergiat lebih serius dalam aktiviti pertanian sekali gus meningkatkan pendapatan diri dan keluarga.

Mohamad Azimi yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Ngah merupakan peserta tertua di bawah Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)-Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) di Putrajaya.

Inisiatif yang digerakkan di bawah Kementerian Ekonomi itu bertujuan bagi membantu membangunkan ekonomi rakyat Malaysia berpendapatan rendah menerusi pertanian.

BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain

BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta

Inisiatif digerakkan di Bawah Kementerian Ekonomi itu bertujuan bagi membantu membangunkan ekonomi rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah menerusi pertanian.

Di Putrajaya, IPR-INTAN telah menukarkan sebuah tanah terbiar berkeluasan 20 ekar untuk ditransformasikan menjadi kawasan pertanian fertigasi cili.

Difahamkan setakat musim pertama iaitu untuk tempoh enam bulan, kawasan tersebut berjaya mengeluarkan sebanyak 40 tan cili yang bernilai RM480,000.

Berkongsi kepada Majoriti, Mohamad Azimi yang merupakan salah seorang peserta IPR-INTAN berkata, selepas bersara pada 2017, dia yang berkhidmat secara kontrak selama 30 tahun dalam bidang penyiaran sememangnya langsung tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap.

Untuk menampung keluarga, anak kelahiran Bagan Datuk, Perak itu berkata, dia melakukan pelbagai kerja sampingan antaranya sebagai penyiar sambilan dan juga pemandu pelancong di sekitar Putrajaya.

6213103457536164213

Hasil tanaman cili yang diperolehi oleh Mohamad Azimi.

Selain daripada itu, disebabkan minatnya terhadap pertanian, dia yang turut dikenali sebagai DJ Azimi turut terlibat secara aktif dengan kebun komuniti diusahakan di kawasan kediamannya di Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9, Putrajaya.

Bagaimanapun, Mohamad Azimi berkata, pendapatannya dalam tempoh tersebut iaitu kira-kira selama tiga tahun masih tidak menentu dan pandemik Covid-19 terus menjejaskan keadaan kewangannya dan keluarga.

Semasa itu, menurutnya, dia agak bernasib baik kerana dibantu oleh isterinya yang masih bekerja sebagai guru tadika dan anak sulungnya yang sudah bekerja.

"Bila pandemik datang, saya memang langsung tiada pendapatan. Tapi disebabkan pada waktu itu kita dalam kumpulan B40, ada bantuan yang diperolehi.

"Kemudian daripada segi makanan, Alhamdulillah ada tanaman yang boleh diambil daripada kebun komuniti diusahakan untuk dibawa pulang ke dapur.

"Selain itu, isteri waktu itu masih bekerja dan anak pun ada yang dah bekerja. kami keluarga bolehlah survive," ujarnya yang merupakan bapa kepada tiga orang anak.

Dengan mengambil iktibar situasi tersebut, Mohd Azimi berkata, dia tidak berfikir panjang untuk membuat keputusan menyertai inisiatif IPR-INTAN sebaik ia dibuka untuk permohonan pada pertengahan tahun lalu.

453015774_8767924296569000_2220574424544715810_n

IPR-INTAN menukarkan sebuah tanah terbiar berkeluasan 20 ekar (8.09 hektar) menjadi kawasan pertanian fertigasi cili. — Facebook/Daus Feerdaus

Selepas permohonannya diterima, menurut Mohamad Azimi, dia mula menjalankan aktiviti pertanian untuk musim pertama di bawah program tersebut pada September 2023.

Di bawah inisiatif tersebut, kesemua peserta diberikan panduan oleh pakar mengenai segala kemahiran teknikal diperlukan bermula daripada proses semaian hingga menuai.

Meskipun sudah berusia, Mohamad Azimi berkata, dia tidak menganggap itu sebagai cabaran untuknya mempelajari kemahiran baharu.

"Kita kena melihat daripada sudut pandangan positif. Kalau kita ingat benda ni susah tak boleh sebab dah pencen, memang tak bolehlah.

"Tapi bagi Pak Ngah, kita manusia memang tak boleh berhenti daripada terus belajar dan terus bekerja. Jadi kena sentiasa positif, proaktif dan produktif. Itu amalan pak ngah," ujarnya.

Pada masa sama, Mohamad Azimi mengakui bahawa proses untuk menguasai kemahiran pertanian diperlukan itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Namun, dia berpandangan perkara itu tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seseorang itu mempunyai minat dan disiplin yang tinggi.

"Memang ada perkara yang orang kata rumit sebab kita belajar daripada segi teori, praktikal, data dan fakta. Sekarang juga dah masuk digital dan dalam talian.

"Tapi bagi Pak Ngah semua ini masih okey cumanya kita kena cepat tangkap dan terus berlatih.

"Yang susahnya adalah kalau kita main-main dan tak serius," ujarnya.

387101252_887651029396927_7413123480293645632_n

Peserta turut diberikan pemahaman dari segi teori di samping aktiviti praktikal di ladang. — Facebook/RafiziRamli

Sementara itu, Mohamad Azimi mengakui petani di bawah program IPR-INTAN turut berdepan beberapa cabaran antaranya isu banjir dan cuaca buruk yang merosakkan tanaman.

Namun, dengan bantuan daripada guru yang ditugaskan membantu, Mohamad Azimi berkata, dia bersyukur kerana berjaya melepasi sasaran tuaian hasil ditetapkan.

Pada musim pertama, Mohamad Azimi berjaya memperoleh hasil sebanyak 2.4 tan cili bersamaan dengan RM24,000 bagi tempoh enam bulan.

Di bawah program tersebut, setiap peserta ditugaskan menjaga satu plot tanah seluas kira-kira setengah ekar yang memuatkan 2,000 polibeg pokok cili.

Pada waktu ini, ladang tersebut yang berkeluasan 20 ekar (8.09 hektar) diusahakan seramai 20 peserta yang berusia antara 21 hingga 70 tahun.

Kesemua peserta juga akan diselia dan dipandu oleh guru teknikal daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram