Tugas isteri hanya lahir dan susukan anak? Mufti tegaskan suami ada hak tentukan kewajiban pasangan


  • Mukmin
  • Khamis, 25 Apr 2024

Pasangan suami isteri perlulah bijak membahagikan tugas dalam rumah tangga bagi mengecapi kebahagian. — Gambar Hiasan

PERKAHWINAN bukan sekadar suatu trend popular yang menjadi ikutan pada musim tertentu, tetapi ia sebuah keputusan bersama bagi melaksanakan tanggungjawab dan peranan besar dalam membina institusi keluarga.

Dalam ajaran Islam, pernikahan bertujuan mewujudkan perasaan damai dan sejahtera sebagaimana firman ALLAH SWT:

ومِن اٰيٰتِهٖٓ ان خلق لكُم مِن انفُسِكُم ازواجا لِتسكُنُوٓا اِليها وجعل بينكُم مودة ورحمة ۗاِن فِي ذٰلِك لاٰيٰتٍ لِقومٍ يتفكرُون

Maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah Ar-Rum:21)

Dalam membina rumah tangga, kesefahaman antara kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri adalah amat penting.

Perkara yang pertama perlu diwujudkan adalah melaksanakan tanggungjawab, menunaikan kewajipan dan hak masing-masing.

Namun baru-baru ini, timbul isu pembahagian tugas dan tanggungjawab antara suami isteri apabila seorang pengguna media sosial berkongsikan senarai tugasan yang perlu dilakukan setiap pasangan.

Dalam senarai itu, golongan isteri hanya perlu melakukan dua tugasan iaitu melahirkan dan menyusukan anak serta patuh kepada pasangan, manakala tugasan lain seperti iaitu mengurus anak, bersihkan rumah, memasak, cuci pinggan dan lain-lain harus dipikul si suami.

BACA LAGI: Mateen Inteam terpaku lihat orang Mesir dengar al-Quran sambil berdiri dalam pengangkutan awam

Perkongsian berkenaan dibidas oleh Pensyarah Kanan Akademik Pengajian Islam Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin yang berasa wanita tidak patut mengabaikan tanggungjawab sebagai rabbatil bait (pengurus rumah tangga).

Dr Mohd Hapiz turut memberi penjelasan berdasarkan memetik surah al-Baqarah:

ولهُن مِثلُ الذِي عليهِن بِالمعرُوفِ ۚ ولِلرِجالِ عليهِن درجة ۗ واللهُ عزِيز حكِيم

Maksudnya: Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), ALLAH Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Baqarah: 228)

Dr Mohd Hapiz turut mengingatkan golongan wanita untuk tidak lupa bahawa nafkah diberikan adalah kerana wanita menjalankan tanggungjawab dalam rumah tangga.

"Jangan kita semua sesekali lupa bahawa nafkah wajib untuk isteri merupakan gantian untuk dia melakukan ihtibas (memencilkan) dirinya di rumah untuk melakukan tugas-tugas sebagai Rabbaitul Bait (pengurus rumah tangga)," tulisnya.

BACA LAGI: Tempuh detik getir kehilangan abang, Kim Foong tetap semangat lawan kanser payudara sampai sembuh

2505484

Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan mengenai tanggungjawab dalam rumah tangga.

Mengulas lanjut isu itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menerangkan bahawa isteri bertanggungjawab untuk mengurus rumah tangga manakala suami mencari nafkah untuk rumah tangga seperti mengikut ajaran Islam.

"Kalau ikutkan ajaran Islam peraturan asal macam ini (suami cari nafkah, isteri urus rumah tangga," katanya.

Namun Wan Salim berkata, situasi itu boleh berubah kerana pasangan suami isteri boleh berunding untuk menetapkan tugas tertentu yang perlu dilaksanakan dalam rumah tangga.

"Suami boleh tetapkan tugas tertentu untuk isteri laksanakan. Kehidupan dalam rumah tangga ini sebenarnya bergantung muafakat antara satu sama lain," katanya.

jwlinxyix05c7epu4vws

Pembahagian tugas dalam rumah tangga boleh dibuat bagi mengurangkan beban antara satu sama lain. — Gambar Hiasan

Wan Salim turut berpendapat persefahaman sangat penting dalam sesuatu hubungan agar kehidupan rumah tangga berjalan dengan lancar.

"Jika ada kasih sayang antara suami isteri sebenarnya pembahagian tugas ini jadi formaliti sahaja. Maknanya tugas isteri suami boleh buat juga, tugas suami pun isteri boleh bantu.

"Jadi tiada masalah jika ada persetujuan bersama. Tugasan yang mahu dilakukan dalam rumah tangga juga boleh tukar-tukar supaya dapat membantu antara satu sama lain. Islam tidak pernah menghalang," katanya kepada Majoriti.

Mengulas mengenai pendapat segelintir wanita yang menganggap tugasan rumah tangga hanyalah tugas suami, Wan Salim berasa sesuatu hubungan yang didirikan perlu ada sikap bertolak ansur di antara keduanya.

"Tugas itu memang kewajiban suami tetapi boleh berunding. Jangan rigid sangat, kalau kita dirikan rumah tangga perlu ada bertolak ansur.

"Sebagai contoh, suami duduk di rumah tengok isteri tengah sibuk buat banyak kerja takkan suami mahu tidur sepanjang masa, bantulah.

"Begitu juga sebaliknya, suami balik dari kerja dah penat takkan isteri hanya tidur sahaja di rumah, bantu-bantulah urus rumah tangga," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram