Operasi SAR di Jalan Masjid India terlampau berisiko, bomba sambung cari mangsa tanah jerlus di IWK Pantai Dalam


  • 112
  • Jumaat, 30 Ogos 2024

Keputusan menghentikan kaedah penyelaman untuk mencari mangsa jerlus itu dibuat ekoran terdapat halangan yang keras dan ruang sempit.

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur menggunakan kaedah penyelaman terpaksa dihentikan kerana terlalu berisiko.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, keputusan itu dibuat ekoran terdapat halangan yang keras, ruang sempit dan keadaan arus air di saluran kumbahan itu selepas menghantar pasukan penyelam awal pagi Jumaat.

Bagaimanapun menurutnya, pencarian akan diteruskan di loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.

BACA LAGI: Loji IWK Pantai Dalam lokasi harapan terakhir temukan mangsa terjerumus lubang Masjid India

BACA LAGI: PM Anwar arah DBKL jumpa keluarga mangsa terjerumus lubang gergasi dekat Masjid India

WhatsApp Image 2024-08-30 at 14.10.44

Pasukan penyelam mendapati tiada ruang untuk meneruskan penyelaman.

"Selepas berbincang secara taktikal dan berdasarkan maklum balas daripada dua penyelam yang masuk ke dalam (saluran), saya dapat rumuskan ia terlampau berisiko untuk kita meneruskan usaha secara penyelaman dan juga secara fizikal untuk mengesan mangsa.

"JBPM akan mencadangkan kaedah alternatif kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada mesyuarat petang ini bagi menentukan hala tuju usaha SAR," katanya.

Sejurus tiba di loji kumbahan IWK Pantai Dalam pada pukul 8.40 pagi, pasukan SAR yang terdiri daripada JBPM serta petugas IWK dilihat berbincang mengenai perancangan operasi mereka.

Sementara itu, memetik laporan Berita Harian. Nor Hisham ketika menceritakan detik cemas aktiviti penyelaman itu berkata, dua penyelam JBPM dan syarikat kumbahan melakukan selaman pada pukul 4 pagi, Jumaat.

Ujarnya, selepas memasuki saluran kumbahan kira-kira 18 meter dari lokasi kejadian, penyelam mendapati tiada ruang untuk meneruskan penyelaman, malah pasukan penyelam terpaksa meniarap untuk memasuki lokasi pencarian.

2

Mangsa (dalam bulatan) beberapa saat sebelum terjatuh ke dalam tanah jerlus di hadapan Masjid India.

Jelas beliau lagi, aktiviti penyelaman juga dihentikan berikutan peningkatan air di saluran.

"Apabila kita hantar pasukan penyelam pagi itu, saya pun 'speechless' (tak terkata), berdebar sebab kita tengok tempat mereka masuk itu lebih kurang dalam dua kaki, mula meniarap dan merangkak.

"Kita cukup risau apabila mereka tersekat, ada 'piston effect' (kesan omboh) daripada air membuatkan mereka tak boleh mengundur, kita terus berkomunikasi dengan penyelam melalui telekomunikasi bawah air supaya dia selesa.

"Sebenarnya ia terlampau berisiko di lokasi 18 meter, ada bongkah yang tak boleh lalu, (penyelam) cuba terajang pun ia tak bergerak. Kalau dia pergi juga, dia mungkin boleh pergi sebab ditolak arus tetapi nak balik dari lubang itu kemungkinan kalah dengan 'piston effect', jadi sangat bahaya," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram