Loji IWK Pantai Dalam lokasi harapan terakhir temukan mangsa terjerumus lubang Masjid India


  • 112
  • Selasa, 27 Ogos 2024

Usaha menyelamat mangsa terjatuh lubang tanah jerlus di Masjid India akan diteruskan ke loji rawatan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

PENGGUNAAN teknologi kamera melalui dua teknik iaitu 'push rod' dan 'crawler' dari satu lurang ke satu lurang di hadapan Wisma Yakin, masih gagal mengesan mangsa yang dilaporkan terjatuh ke dalam lokasi tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, kaedah itu digunakan selepas prosedur pancutan pada paip pembetung dan lurang telah dijalankan mulai petang Isnin hingga 6.30 pagi Selasa.

"Operasi 'flushing' berjaya membersihkan serpihan, mengalihkan sebarang halangan.

"Bagaimanapun, pemeriksaan menggunakan tolakan dan kamera 'crawler' dari lurang pertama hingga ke hadapan Wisma Yakin gagal mengesan lokasi mangsa," kata DBKL dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: Kena 'pressure' turunkan hantaran FB, Zuckerberg kesal tak lantang hadapi tekanan Biden-Harris

BACA LAGI: PM Anwar arah DBKL jumpa keluarga mangsa terjerumus lubang gergasi dekat Masjid India

Susulan itu, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Indah Water Konsortium (IWK) dan DBKL, akan meneruskan usaha pencarian terakhir di berhampiran loji rawatan Pantai Dalam.

Operasi itu akan diteruskan dengan pembilasan dan pemeriksaan fizikal di semua kawasan yang boleh diakses untuk mencari mangsa, Vijayalalaksmi, 48.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat diperluaskan ke laluan pejalan kaki di hadapan tapak tanah jerlus dekat Jalan Masjid India.

Pihak berkuasa dalam pada masa sama telah mengarahkan kakitangan media mengosongkan kawasan terbabit kerana kerja operasi yang dijalankan boleh menyebabkan getaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram