[VIDEO] Nahas 3 kenderaan, 2 beradik perempuan rentung lepas dirempuh pemandu dipercayai mabuk di KK


  • 112
  • Jumaat, 30 Ogos 2024

Tangkap layar insiden kemalangan mengakibatkan dua mangsa maut di KKIA Sabah pada Jumaat.

SATU kemalangan dilaporkan berlaku membabitkan tiga kenderaan di lampu isyarat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah pada Jumaat.

Hasil siasatan polis mendapati, kedua-dua mangsa rentung merupakan adik beradik perempuan berusia lingkungan 20-an.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.35 pagi dengan kemalangan terbabit membabitkan kereta jenis Toyota Hilux, Perodua Axia dan Perodua Viva.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu Perodua Viva hitam ‘menghilang’ lepas jadi punca kemalangan maut penunggang 'superbike' di JB

BACA LAGI: Aktivis politik kena panggil polis dan MCMC, Tian Chua kritik kebebasan bersuara makin terancam sekarang

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu memandu dari arah Tanjung Aru menuju ke arah Putatan, Sabah.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, di lorong kanan Toyota Hilux telah melanggar bahagian Perodua Axia yang dinaiki dua wanita terbabit sehingga menyebabkan kereta itu berpusing masuk ke lorong tengah lalu melanggar bahagian tepi kanan sebuah lagi kereta jenis Perodua Viva.

"Akibat kejadian itu, Perodua Axia terbabas ke bahu jalan berdekatan jejantas lalu terbakar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, kedua-dua mangsa di dalam kereta Perodua Axia dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu,

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas," katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan komen saksi di media sosial mendakwa, salah seorang pemandu terlibat nahas terbabit dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram