SULIE Lungkan Abell tidak pernah menyangka perjuangannya melawan ekzema kronik menyebabkan dia mula berkecimpung dalam dunia perniagaan.
Titik perubahan terbesar berlaku apabila dia menyedari keadaan kulitnya menjadi sangat teruk sehingga akhirnya Sulie terpaksa berhenti kerja di sebuah syarikat hartanah.
Wanita berasal dari Kuching, Sarawak itu kemudian memutuskan untuk menceburi bidang pembuatan produk penjagaan kulit menggunakan bahan-bahan semula jadi.
BACA LAGI: Petani, pekebun kecil pun boleh dapat 'duit poket' RM200, cepat-cepat mohon BUDI Agri-Komoditi
Dengan membeli bahan-bahan segar untuk produk penjagaan kulitnya, Sulie (dua dari kiri) berusaha keras untuk membantu petani miskin dari kampungnya.
"Sukar untuk saya mencari satu produk yang boleh digunakan dengan selamat pada kulit sensitif saya.
"Doktor mencadangkan saya cuba guna bahan mentah seperti madu dan lidah buaya pada muka.
"Jadi saya mula melakukan penyelidikan dan mencipta produk penjagaan kulit buatan sendiri menggunakan bahan semula jadi. Anehnya ia berkesan untuk saya," katanya baru-baru ini.
Ketika meneliti ramuan herba aktif untuk digunakan dalam produknya, Sulie menyedari bahawa banyak bahan semula jadi boleh didapati di halaman rumahnya di Kampung Melugu di Simanggang, Sri Aman.
Ujarnya, dia bertemu dengan seorang penternak lebah bernama Nancy sewaktu mencari bahan di sekitar kampung.
"Saya terkejut apabila diberitahu bahawa separuh daripada petani di kampung ini berpendapatan kurang daripada RM200 sebulan.
"Oleh itu, saya mula berfikir bagaimana boleh bantu petani ini. Ia juga memberi inspirasi kepada saya untuk memulakan label penjagaan kulit berasaskan rumah, Sluvi, pada 2018. Tiga huruf pertama (Slu) adalah singkatan daripada inisial nama saya.
"Memandangkan ia adalah perusahaan sosial, huruf 'v' dan 'i' masing-masing mewakili visi dan inisiatif," jelasnya.
Dengan membekalkan beras kepada Sulie, Katie Baka (kanan) mampu mencari wang tambahan untuk keluarganya.
Memperkasakan masyarakat luar bandar
Sluvi merupakan perusahaan sosial bertujuan memperkasakan petani dengan mendapatkan bahan semula jadi daripada mereka bagi menghasilkan produk penjagaan wajah semula jadi yang selamat untuk alam sekitar dan kepada individu yang mempunyai kulit sensitif.
Dengan mendekati petani, Sulie berharap dapat membantu mereka bergerak ke arah mencapai status kebebasan kewangan.
"Meningkatkan pendapatan petani boleh memberi mereka akses yang lebih baik kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan," kata lulusan ijazah dalam jurusan hubungan antarabangsa dari Universiti Bond di Queensland, Australia itu.
Usahawan berkenaan mengakui, pada awalnya tidak mudah untuk meyakinkan petani agar menyertai Sluvi apabila dia mula-mula mendekati mereka pada 2018.
Dengan pendapatan tambahan daripada Sluvi, Lemenya tidak perlu meminjam wang daripada rakan dan saudara mara.
“Saya cuba menghubungi petani melalui mulut ke mulut, media sosial dan panggilan telefon.
"Namun tiada siapa yang kelihatan berminat. Pada masa itu, para petani tidak mempercayai Sluvi.
"Jadi, saya turun padang dan berjumpa mereka secara peribadi. Syukur, saya berjaya mendapatkan tujuh petani,” kongsi wanita Iban itu.
Menurutnya, kumpulan penerima bantuan, yang terdiri daripada golongan ibu tunggal, balu warga emas dan orang dewasa muda yang menganggur memerlukan lebih banyak bantuan atas pelbagai sebab.
Ibu tunggal misalnya, memerlukan wang untuk menyara keluarga manakala golongan dewasa muda memerlukan pekerjaan untuk menyara hidup.
"Selain itu, ia juga dapat mengelakkan masalah sosial seperti ketagihan bahan terlarang atau penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia di Kampung Melugu,” jelas Sulie.
Raih lebih RM2,500 sebulan
Sementara itu, seorang petani, Lemenya Serit, 58, menjadi sebahagian daripada pasukan Sluvi sejak penubuhannya.
Ibu kepada lima cahaya mata itu menganggap usaha menyertai Sluvi sebagai satu langkah yang berani dan hari ini dirinya gembira kerana mengambil keputusan itu.
“Sebelum ini, saya hanya boleh meraih kira kira-kira RM280 setiap bulan. Dengan Sluvi, pendapatan bulanan saya meningkat kepada antara RM900 dan RM1,500.
"Hari ini, saya boleh bawa pulang kira-kira RM2,500 hingga RM3,000 sebulan,” kata Lemenya yang membekalkan santan, halia dan gaharu kepada Sluvi.
Lidah buaya, yang baru dituai daripada petani di Kampung Melugu, adalah salah satu bahan yang digunakan dalam topeng muka Sluvi.
Dengan penambahan pendapatan, dia tidak perlu lagi meminjam wang daripada saudara mara dan rakan-rakan.
Dia malah kini mempunyai wang kecemasan sendiri dan tidak perlu lagi bimbang sekiranya tiada makanan diletakkan di atas meja untuk anak-anak, selain turut berupaya menyimpan untuk pendidikan cucunya.
“Saya berharap dapat meluaskan lagi aktiviti pertanian ini, saya mempunyai beberapa tanah tambahan yang mana saya berhasrat untuk menanam lebah tanpa sengat.
"Lebih banyak lebah bermakna saya boleh membekalkan lebih banyak madu kepada Sluvi. Dengan duit tambahan, saya boleh beli motor baharu,” kongsinya.
Dia berharap kisahnya akan memberi inspirasi kepada petani wanita lain untuk semakin berani dan mencapai kejayaan yang lebih besar.
Akuinya lagi, ketika masih muda, idea bahawa peranan wanita tidak begitu penting seperti lelaki sentiasa diketengahkan.
"Namun sejak bekerjasama dengan Sulie, saya menyedari bahawa wanita juga mempunyai potensi yang besar.
"Kami mampu melakukan banyak perkara, (malah) sesetengah wanita juga berperanan sebagai pencari nafkah buat keluarga mereka.
“Berkat peluang ini, saya telah bertemu ramai petani wanita dalam komuniti saya.
"Kami banyak belajar antara satu sama lain. Bekerja dengan mereka memberi saya motivasi untuk berusaha lebih keras dan mencapai kejayaan yang lebih besar,” tambahnya.
Madu yang diperoleh daripada petani di Kampung Melugu adalah bahan utama dalam sabun bar Sluvi.
Penjagaan kulit yang mampan
Sulie beralih ke platform media sosial seperti YouTube, Pinterest dan Facebook untuk meningkatkan pengetahuannya tentang produk semula jadi buatan tangan.
Dia menjual empat produk iaitu sabun madu, pupur muka beras, pupur muka teh hijau aloe vera dan lulur badan kopi lemon.
Dirinya sudah melakukan lebih 50 ujian produk dengan banyak percubaan dan kesilapan.
"Saya mencuba dan membuat ujian sehingga berjaya menyempurnakan formulasi. Saya mula mengunjungi bazar untuk menguji pasaran dan menawarkan sampel percuma.
“Bagi saya, salah satu ciri jualan Sluvi yang melariskannya ialah produk tersebut bagus untuk orang yang mempunyai kulit sensitif dan menggunakan bahan-bahan sumber tempatan,” kongsi Sulie, yang menghadiri banyak bengkel pembuatan produk penjagaan kulit buatan sendiri.
Untuk memulakan perniagaan pada 2018, dia mendapat geran RM20,000 daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
Pada tahun sama, Sulie muncul sebagai pemenang program Sarawak Shell LiveWIRE, yang menawarkan bengkel dan pembiayaan percuma kepada usahawan muda, seterusnya berjaya mendapatkan geran RM15,000.
Sulie membeli madu lebah tanpa sengat daripada petani tempatan dan menggunakannya dalam produk penjagaan kulitnya.
Sulie melakukan semua formulasinya di sebuah rumah bandar di Oxford Park Avenue di Batu 9, Kuching.
Dapurnya diubah menjadi bengkel kecantikan kecil, yang mana dia dan empat kakitangannya menghasilkan produk.
Petani menghantar hasil keluaran segar mereka dengan bas dan van setiap dua minggu ke Kuching. Ia mengambil masa kira-kira tiga jam untuk keluaran itu sampai ke Sulie.
“Kami sentiasa memastikan kami mengetahui sumber bahan mentah kami demi menjamin kualiti. Untuk mengekalkan kesegaran, kami membuat produk dalam kelompok kecil,” ujarnya.
Usahawan tersebut mengakui mengelak daripada menggunakan petrokimia, sulfat, paraben, pewarna tiruan, pewangi, minyak mineral dan pengawet.
“Menjadi impian saya agar para petani di kawasan luar bandar akan menggunakan pengetahuan mereka mengenai tumbuhan dan herba tempatan yang tumbuh di belakang rumah untuk tujuan yang lebih besar.
"Suatu hari nanti, anak-anak mereka akan membantu ibu bapa masing-masing untuk mengusahakan produk semula jadi yang ditanam di Sarawak dan mempromosikannya kepada dunia,” katanya. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram