[VIDEO] Mengamuk tak tentu pasal, polis tahan 3 lelaki tibai pekerja serbaneka di Bentong


  • 112
  • Jumaat, 30 Ogos 2024

Tiga suspek lelaki dirakam mengasari seorang pekerja kedai serbaneka di Bentong, Pahang pada Khamis.

SEORANG pekerja kedai serbaneka dilaporkan cedera akibat diserang tiga lelaki di sebuah kedai serbaneka di Bentong, Pahang pada Khamis.

Kejadian itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham sekali gus mencetuskan kemarahan pelaku yang dirakam menghentak mangsa menggunakan topi keledar.

Insiden itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan dan dikongsikan di laman sosial sejak Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kesemua suspek merupakan warganegara tempatan berusia dalam lingkungan 27 hingga 36 tahun.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga remaja 17 tahun cuba lari pemeriksaan polis di Rawang tiada lesen memandu

BACA LAGI: Kanak-kanak 9 tahun lemas terjatuh longkang di Rawang

Menurutnya, satu laporan polis diterima kira-kira pukul 12.10 pagi, Khamis.

"Hasil siasatan klip itu telah dimuat naik pada aplikasi X pukul 9.57 pagi berdurasi kira-kira 1 minit 46 saat.

"Hasil rakaman CCTV dan maklumat orang awam, pihak polis berjaya membuat tangkapan ke atas mereka kira-kira pukul 1.40 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, dua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes penyalahgunaan dadah.

Jelas Zaiham, kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan awal, pihak polis mendapati punca kejadian adalah kerana perselisihan faham dan pertengkaran mulut selepas dimaklumkan operasi kedai yang hendak ditutup.

"Mangsa iaitu seorang lelaki warganegara tempatan berusia 19 tahun telah diberikan rawatan dan pemeriksaan di Hospital Bentong," tambahnya — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram