[VIDEO] Pemandu Perodua Viva hitam ‘menghilang’ lepas jadi punca kemalangan maut penunggang 'superbike' di JB


  • Tular
  • Sabtu, 06 Jul 2024

Tangkap layar video kemalangan maut di Jalan Yahya Aldatar, Johor Bahru, Johor, pada Sabtu.

SATU kemalangan maut dilaporkan berlaku membabitkan motosikal berkuasa tinggi bersama sebuah kereta yang membelok secara tiba-tiba dari lorong kanan untuk keluar ke susur kiri jalan dalam kejadian di Jalan Yahya Aldatar, Johor Bahru, Johor, pada Sabtu.

Kejadian tersebut dirakam oleh kamera papan pemuka kenderaan yang berada di lokasi.

BACA LAGI: Kemasukan matrikulasi: Penekanan berlebihan terhadap meritokrasi berpotensi tingkat jurang sosioekonomi

BACA LAGI: Aktivis politik kena panggil polis dan MCMC, Tian Chua kritik kebebasan bersuara makin terancam sekarang

Sebelum kejadian, kereta berkenaan pada awalnya dilihat dipandu di laluan kanan jalan berkenaan yang terdiri daripada empat lorong.

Bagaimanapun, kenderaan terbabit kemudiannya secara tiba-tiba membelok untuk ke arah susur keluar kiri laluan berkenaan.

Pada masa sama, motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang mangsa dilihat sedang bergerak dari arah kiri lorong dan tidak sempat mengelak sebelum kedua-duanya bertembung.

Berdasarkan klip terbabit, penunggang berkenaan yang dipercayai maut dalam kejadian tersebut dilihat terpelanting ke tepi jalan raya selepas berlanggar dengan kereta jenis Perodua Viva berwarna hitam.

Menerusi maklumat awal diperolehi, kereta terlibat dalam kemalangan itu didakwa melarikan diri dari lokasi kejadian.

"Pemiliknya (kereta Perodua Viva melarikan diri, harap dapat membantu saya mencari pemiliknya kerana nombor plat kereta tidak jelas. Harap semua netizen dapat membantu," tulis pengguna Facebook yang memuat naik video berkenaan.

Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram