Runsing fikir soal jodoh? Ketahui 4 tip cari pasangan di aplikasi agar tak tersilap langkah


  • Massa
  • Khamis, 28 Dis 2023

Banyak aplikasi mencari jodoh dapat digunakan untuk mencari pasangan hidup.

SESETENGAH individu pastinya runsing memikirkan soal jodoh apatah lagi selepas melihat rata-rata kenalan rapat sudah mendirikan rumah tangga. Perubahan zaman memudahkan pencarian cinta kini yang dapat dibuat menerusi media sosial.

Tidak seperti zaman dahulu, menggambarkan cinta adalah melalui surat yang disapukan minyak wangi, bedak, bunga ros, namun kini cinta boleh diungkapkan menerusi media sosial.

Aplikasi seperti Tinder, Litmatch, BaitulJannah, Omichat dan banyak lagi merupakan platform untuk memilih pasangan hidup mereka. Jadi, apakah antara tip yang dapat membantu golongan yang baru sahaja mengenali aplikasi cari jodoh ini untuk memburu pasangan mereka tanpa tersilap langkah?

1. Kenali Diri Sendiri dan Pasangan

'Tak kenal maka tak cinta', itulah peribahasa yang seringkali digunakan oleh masyarakat terutamanya apabila berkaitan dengan pasangan.

Sebelum mengenali pasangan yang dipilih, kita seharusnya peka dengan mengenali diri sendiri terlebih dahulu.

Dalam kata lain, sayangi diri sendiri sebelum menyayangi orang lain.

Dengan cara ini, kita akan mengetahui bagaimanakah ciri-ciri pasangan yang kita idam dan ingin miliki.

Mungkin rupa paras yang hitam manis, bertubuh tinggi lampai ataupun putih lepak dan berbadan sasa yang menjadi idaman.

169839-10_31_577462-696x522

Media sosial memudahkan sesetengah individu pada zaman sekarang mencari jodoh.

Bagi personaliti pula, mungkin kita lebih tertarik dengan perwatakan manja, ataupun lemah lembut seseorang itu ketika bercakap.

Mengenali pasangan kita bukanlah semata–mata dengan cara berjumpa setiap hari, namun menelefon dan bertanya khabar juga dapat mengukuhkan lagi sesebuah hubungan.

Dalam konteks ini, melalui aplikasi mencari jodoh, lelaki dan wanita boleh berkenalan dalam aplikasi itu sendiri sama ada melalui mesej, ataupun menelefon pasangan sendiri.

Mereka boleh berkenalan antara satu sama lain dengan cara berkongsi pendapat mengenai hal-hal semasa seperti isu rumah tangga, isu kewangan dan pengalaman masing-masing agar apabila sudah tiba masa untuk bertemu dan bersemuka, perasaan gugup dan malu akan berkurangan.

2. Memilih Platform yang Sah

Seperti yang dijelaskan di atas, Litmatch, TillJannah, Tinder, Omi merupakan antara aplikasi yang menarik dan sah untuk dijadikan platform mencari jodoh.

Pada hakikatnya, ramai golongan lanjut usia yang mempunyai pemikiran mengenai pencarian jodoh di alam maya dan mempersoalkan hasilnya.

Akan tetapi, kajian telah mencatatkan lebih kurang sebanyak 20,000 perkahwinan yang dapat dijalinkan melalui aplikasi TillJannah.

maxresdefault

Banyak pasangan yang menggunakan aplikasi TillJannah berakhir dengan perkahwinan.

TillJannah membawa konsep yang agak sama dengan BaitulMuslim.com dimana aplikasi ini masih mengekalkan ciri-ciri islamik seperti pengguna tidak dibenarkan untuk berbual perkara yang tidak sepatutnya dan juga mempunyai orang tengah ketika melakukan perbualan.

Seperti aplikasi BaitulMuslim.com, ia tidak membenarkan pengguna melihat wajah pengguna lain sebelum melakukan pembayaran premium.

Hal ini dapat menjamin privasi antara dua belah pihak tersebut dan dapat mengelakkan daripada berlakunya penipuan semasa tempoh perkenalan.

Tetapi perlu diingatkan, pilihlah aplikasi yang terbaik sesuai dengan keinginan masing-masing.

3. Berani Mengambil Langkah untuk Bertemu

Tiada gunanya bertahun-bertahun mengenali hati budi pasangan masing-masing, namun masih gentar untuk pergi kepada langkah seterusnya yang mana memberi kebaikan kepada dua-dua belah pihak.

Bermula daripada perkenalan di aplikasi mencari jodoh, seterusnya kepada pertemuan kepada ibu bapa, seterusnya siapa tahu terus ke jenjang pelamin.

Apabila menggunakan aplikasi mencari jodoh sebagai medium mengenali pasangan, kita sememangnya tidak mudah untuk memberikan kepercayaan kepada seseorang yang masih dianggap sebagai orang asing.

photo_2023-12-28_11-16-08

Tidak salah bertemu seseorang jika memiliki perancangan untuk melanjutkan hubungan ke jenjang pelamin.

Namun, kepercayaan tersebut boleh dipupuk sepanjang tempoh perkenalan yang mana secara tidak langsung akan membawa kepada langkah yang lebih serius iaitu bertemu.

Sesetengah insan yang memiliki sifat malu atau dikenali sebagai introvert, berkemungkinan malu dengan bakal pasangan mereka.

Dengan cara bertemu, perasaan lebih percaya kepada pasangan masing-masing akan lebih kukuh seterusnya dapat mengelakkan perasaan ragu-ragu dengan mereka.

Apabila seseorang itu takut untuk bertemu, ini membuktikan bahawa dia tidak serius dalam sesuatu hubungan.

Kita tidak boleh terlalu percaya dengan kata-kata dalam aplikasi cari jodoh kerana sudah semestinya mereka akan menceritakan yang wangi, bunga dan merdu sahaja.

Oleh kerana itu, pentingnya berjumpa supaya dapat benar-benar mengenali pasangan dan berasa lebih yakin tanpa sebarang penipuan daripada terlalu bergantung dalam aplikasi mencari jodoh.

4.Jangan Terlalu Gelojoh dan Terburu-Buru

Mengenali seseorang memerlukan masa, tenaga, bahkan juga perasaan sabar apabila tidak mencapai expectation dan kegagalan dalam bercinta.

Dalam mengenali seseorang, sifat terburu-buru seharusnya dielakkan kerana tidak membawa sebarang kebaikan malah penuh dengan kerugian.

Sesetengah manusia mempunyai kisah silam tersendiri dalam hubungan lampau mereka yang menyebabkan timbulnya fobia dalam bercinta untuk mengenali orang lain kerana takut disakiti untuk yang kesekian kalinya.

d9b87529e7a96dd17d5008d9c2408725

Bertemu pasangan dapat mengenal hati budi masing-masing.

Hal ini menyebabkan, dua insan yang ingin mengenali antara satu sama lain perlulah membuat keputusan dengan tenang dan tidak gelojoh untuk ke peringkat seterusnya dalam sesuatu hubungan.

Paling penting, tidak bertuhankan hawa nafsu apabila saling mengenali terutamanya dalam aplikasi mencari jodoh.

Sebagai contoh, setiap perkenalan melalui aplikasi ini perlulah selangkah demi selangkah tanpa terburu-buru.

Hal ini kerana, sifat terburu-buru boleh menyebabkan seseorang tersilap langkah kerana tidak sepenuhnya mengenali seseorang lebih-lebih lagi dalam aplikasi mencari jodoh.

Bagaimanapun, segala hal yang dibuat hanyalah sebagai perancangan tetapi Tuhan yang menentukan. Tidak semua pengakhiran yang kita ingini akan berakhir dengan jangkaan masing-masing.

Sebagai pengguna alam maya yang semakin canggih teknologinya, kita mestilah cakna dalam menilai sesuatu perkara itu sama ada mampu mendatangkan kebaikan atau keburukan kepada diri sendiri di masa akan datang. — Majoriti

Nur Anes Nadhira Mohd Jamil, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram