SENI bukan sekadar platform untuk menjana sumber pendapatan. Bagi muralis dan ilustrator, Rajimin Kontak, ia adalah talian hayatnya.
Sewaktu penularan wabak Covid-19, seni berperanan sebagai tempat berlindung, membantunya melawan kebimbangan dan memulihkan keseimbangan dalam hidupnya, terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020.
Sebelum pandemik, lelaki berusia 35 tahun itu bekerja sebagai juruvideo dan jurugambar, selain menjadi pelukis mural.
BACA LAGI: Lebih separuh sekolah usang di Sabah siap dipulihkan — Fadhlina
BACA LAGI: Farina sanggup tinggalkan kerjaya wartawan demi pendidikan anak Sabah
Rajimin cinta akan pekerjaannya kerana ia membolehkan dia meluahkan kreativiti dan mempamerkannya kepada dunia.
"Namun semasa PKP, saya sukar memperoleh pendapatan sebagai juruvideo atau jurugambar disebabkan sekatan pergerakan oleh kerajaan.
“Waktu yang sukar itu menyebabkan saya mengalami tekanan yang agak teruk. Saya juga bergelut menghadapi tekanan apabila terpaksa berkurung di dalam rumah, ditambah dengan ketidakstabilan kewangan serta kurang bersosial.
“Semua ini menyumbang pada ketakutan dan perasaan cemas saya,” kata Rajimin, yang kini menetap di Puncak Alam, Shah Alam, Selangor.
Jejaka asal Sabah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Reka Bentuk Grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam tersebut memberitahu, dia memutuskan untuk memanfaatkan kemahiran melukis dan ilustrasinya untuk menjana pendapatan pada ketika itu.
Hasil yang diperoleh digunakan untuk menanggung perbelanjaan dan membayar bil.
“Saya mula melakar dan mencipta karya seni untuk dijual secara dalam talian dan nasib baik ada beberapa syarikat membeli karya tersebut menerusi media sosial.
"Selepas PKP, saya perlahan-lahan mula menerima pekerjaan sebagai artis mural,” katanya yang dilahirkan dan dibesarkan di Lahad Datu, Sabah.
Bagi membantunya mengatasi kebimbangan, dia juga memelihara dua ekor kucing jalanan untuk menemaninya di kala hari sunyi.
Rajimin mengakui, dalam tempoh pandemik, dia terpaksa mendapatkan bantuan kaunseling untuk menghadapi masalah kesihatan mental.
Artis itu memelihara dua ekor kucing jalanan untuk menemaninya di kala hari sunyi.
Malah kaunselor mencadangkannya untuk memelihara haiwan peliharaan bagi mengurangkan kebimbangan.
“Pada masa itu, saya terserempak dengan dua ekor kucing terbiar yang kurang zat di kawasan kejiranan. Saya mengambil dan merawat mereka sehingga sihat, dan akhirnya mereka menjadi teman saya.
“Hanya dengan membelai dan bermain bersama mereka membuatkan saya rasa tenang,” kata Rajimin.
Rajimin adalah antara individu yang bergelut dengan isu kesihatan mental termasuk kebimbangan, kemurungan dan gangguan emosi semasa wabak Covid-19.
Namun syukur, dia berusaha mendapatkan rawatan dengan kadar segera bagi mengatasi kebimbangannya.
“Ramai orang takut berbicara tentang masalah kesihatan mental kerana bimbang dianggap 'pelik’ atau tidak sihat dari segi mental.
"Namun tidak mengapa untuk mendapatkan rawatan jika anda berasa cemas atau tertekan.
"Bercakap dengan kaunselor, meluangkan masa dengan kucing dan memberi tumpuan kepada seni semuanya membantu saya menjadi lebih baik dan yakin," jelasnya yang kini melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam komunikasi visual dan media baharu di UiTM.
Rajimin gemar mencari idea untuk mengubah ruang dinding biasa menjadi karya seni yang lebih berniali.
Bekerja bawah terik mentari
Sejak wabak itu, muralis tersebut telah mencipta lebih 50 mural di seluruh Malaysia.
Karya seninya menghiasi dinding-dinding kafe, taska, galeri seni, klinik veterinar dan bahagian luar bangunan di Kuching, Johor Bharu serta Lembah Klang.
Untuk mural katanya, kebanyakan kerja dihasilkan berdasarkan permintaan pelanggan dan trend semasa.
"Saya suka melukis mural kerana boleh menghidupkan dinding dengan cerita.
“Secara purata, lima hingga tujuh hari diperlukan untuk mencipta mural bersaiz 3 meter (m) x 6m di bahagian luar bangunan.
“Melukis mural berskala besar menuntut pergerakan secara fizikal, misalnya selalu memerlukan masa berdiri yang lama dan bekerja pada perancah (scaffolding) atau tangga.
“Selain itu, bekerja di bawah terik matahari memang meletihkan. Di sebalik cabaran ini, saya suka pekerjaan saya kerana ia membolehkan saya menzahirkan kreativiti dan mempamerkannya kepada dunia,” bicara lelaki itu dengan nada ceria, sambil memberitahu karyanya juga boleh dilihat di laman Instagramnya, rajiminkontak.
Rajimin ingin karya seninya meninggalkan impak berpanjangan buat masyarakat.
Seni mural Rajimin menceritakan aneka kisah berwarna-warni, yang biasanya berkisarkan tentang manusia, corak abstrak, pantun semaian dan juga alam semula jadi.
Antara mural popularnya juga dapat dilihat di Jalan Kiambang di Banting, Selangor.
Rajimin merakamkan intipati warisan pertanian bandar itu, khususnya penanaman nanas dalam seninya. Mural terkecil yang dihasilkannya ialah 1.5m x 2.4m.
"Saya suka idea untuk mengubah ruang dinding biasa menjadi karya seni yang berharga, selain menikmati cabaran bekerja di atas pelbagai permukaan," kongsinya.
Bangun pukul 3 pagi nak ke sekolah
Rajimin perlahan-lahan mencipta nama dalam dunia seni, ada masanya dia tidak menyangka akan berjaya, apatah lagi sedari kecil hidup dalam kemiskinan.
Dibesarkan di kawasan terpencil berhampiran hutan sekitar Lahad Datu, anak bongsu daripada lima beradik itu mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya yang hidup dalam kesusahan.
Ketika itu, mereka sekeluarga tidak mempunyai akses kepada bekalan air atau elektrik.
“Saya tidak mendapat pengalaman di prasekolah dan membesar tanpa jiran. Kami tidak mempunyai tandas yang sesuai di rumah kayu, kami juga menggunakan lampu minyak tanah sebagai cahaya dan mandi guna air perigi.
“Kami sangat miskin sehinggakan makanan harian kami terdiri daripada ubi kayu (tapioka) dan sambal belacan. Makan ikan dan ayam itu dianggap mewah.
“Kami membesar dengan dikelilingi haiwan liar seperti harimau kumbang, gajah dan kancil disebabkan rumah berhampiran Rizab Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu," katanya.
Setiap hari, dia perlu berjalan hampir dua jam hanya untuk sampai ke jalan utama dan dari situlah dia dan adik-beradiknya akan menaiki bas ke sekolah.
“Biasanya saya bangun pada pukul 3 pagi untuk bersiap ke sekolah. Ibu akan teman ke sekolah. Kami keluar rumah pukul 4 pagi, berjalan dalam gelap dengan kegelapan dan jalan rosak untuk sampai ke jalan utama.
“Berjalan kaki ke sekolah sudah menjadi rutin sehingga tamat sekolah menengah,” tutur bekas pelajar seni dari Sekolah Menengah Kebangsaan Silabukan itu.
Pelbagai cabaran yang dihadapi menyebabkan Rajimin, pernah terfikir untuk berhenti sekolah.
“Saya dibesarkan dalam kemiskinan, yang mana pendidikan bukanlah keutamaan.
"Berkali-kali ayah mendesak saya untuk berhenti sekolah bagi membantunya di ladang, tetapi sokongan dan dorongan ibu yang menguatkan azam saya untuk melanjutkan pelajaran.
“Ibu mahu saya menjadi anak pertama dalam keluarga yang bergraduasi. Selepas tamat sekolah menengah, saya melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam reka bentuk grafik di UiTM berdasarkan pencapaian saya mendapat A dalam bidang seni dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kemudian, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang reka bentuk grafik. Ibu sangat bangga kerana saya sedang melanjutkan pelajaran dalam peringkat sarjana sekarang,” kata Rajimin sambil tersenyum lebar.
Ibu bapanya kini menetap di Kampung Long Danau, mengambil masa kira-kira 30 minit pemanduan dari Lahad Datu.
Seni sebagai tukang cerita
Selain seni mural, Rajimin juga menghasilkan ilustrasi monokrom bertujuan memberi penerangan tentang nasib kurang baik kanak-kanak, khususnya dalam menangani cabaran yang mereka hadapi akibat kemiskinan dan akses terhad kepada pendidikan.
“Saya adalah bukti bahawa walaupun seseorang itu hidup serba kekurangan, mereka juga boleh berjaya jika diberi peluang. Saya percaya pada kerja keras dan nasib.
“Hati saya pilu melihat keadaan kanak-kanak Bajau Laut Sabah tanpa kerakyatan yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan dan asas penjagaan kesihatan asas," ujarnya.
Sejak empat tahun lalu, Rajimin berhasil menyebarkan harapan dalam kalangan kanak-kanak kurang bernasib baik di Lahad Datu dan kanak-kanak tanpa kerakyatan dari Pulau Semporna melalui ucapan motivasinya.
Rajimin juga menghasilkan ilustrasi monokrom bagi memberi penerangan tentang nasib kurang baik yang menimpa kanak-kanak khususnya di Sabah.
Tidak pernah terfikir akan bergerak sejauh ini, dirinya begitu bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan.
Dia malah menganggap pencapaian tersebut sebagai amanah dan contoh kepada anak-anak dan komuniti di Lahad Datu, secara amnya.
“Nasihat saya jika diberi peluang untuk belajar dan menimba ilmu, lakukan yang terbaik. Jika gagal, itu bukan penamat kerana kita masing-masing mempunyai peranan yang unik. Pendidikan tinggi bukanlah simbol kejayaan.
"Sebaliknya, lihatlah ia sebagai satu proses untuk mematangkan dan membentuk pemikiran kita," nasihatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram