Suami isteri tak pernah menyesal tinggalkan dunia korporat demi bisnes baju kurung moden


  • Bizz
  • Selasa, 27 Ogos 2024

Mengendalikan perniagaan lebih mendatangkan kepuasan buat Diana (tengah) dan Mohamad Emir (kiri).

CINTANYA terhadap baju kurung Kedah dan kebaya membuatkan Siti Nurdiana Kamalul Ariffin, 31, nekad menerokai dunia perniagaan bersama suami tercinta.

Bermula dengan menyertai kursus e-dagang dan pemasaran dalam talian, wanita tersebut kemudian melancarkan perniagaannya pada Julai 2021 bersama suami, Mohamad Emir Mohamad Fauzi, 31, yang juga merupakan bekas kakitangan di sebuah bank di ibu negara.

Mengetengahkan keanggunan koleksi busana Melayu tradisional, Bayu Somerset dilancarkan pada Julai 2021 bersama suami, Mohamad Emir Mohamad Fauzi, 31, yang juga merupakan bekas kakitangan di sebuah bank di ibu negara.

BACA LAGI: Terpaksa berhenti kerja jaga anak, saintis lebar sayap terokai bidang kosmetik

BACA LAGI: Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa

Meskipun baru menginjak usia empat tahun, jenama pakaian meningkat naik itu sudah mencipta nama bukan sahaja dalam pasaran tempatan, bahkan ke luar negara sehingga United Kingdom (UK) dan Australia.

Bercerita mengenai pakaian keluaran Bayu Somerset, Diana berkata, koleksinya mengetengahkan konsep keselesaan, jenis fabrik ditambah corak yang ringkas.

Jenama tersebut bukan hanya tampil dengan tawaran harga mampu milik, tetapi juga tampak eksklusif.

Mengetengahkan keanggunan koleksi busana Melayu tradisional, jenama lokai tersebut menampilkan variasi koleksi premium dengan harga mampu milik.

Ditanya makna di sebalik nama Bayu Somerset itu sendiri, Diana berkata, Bayu membawa maksud ketenangan dan keselesaan, manakala Somerset diambil sempena sebuah daerah di UK, lokasi kegemaran Diana ketika dia melanjutkan pelajaran di sana.

"Di Bayu Somerset, kami fokus pada jualan pakaian tradisional namun ke arah kemodenan, dengan cara mengeluarkan paten yang lebih moden ke pasaran.

"Melihat kepada pasaran lima tahun lalu, fesyen di Malaysia mungkin agak bersifat sederhana, menggunakan warna yang selamat seperti putih atau monokrom.

"Mereka kurang gemar mengenakan pakaian dengan warna yang lebih menyerlah.

"Di sinilah kami bawakan satu pembaharuan dan agak mengejutkan kerana ia diterima dengan sangat baik oleh pengguna terutamanya masyarakat urban," katanya kepada Majoriti.

Snapinsta.app_455957368_866040698285065_5908554136127818853_n_1080

Bayu Somerset mengetengahkan keanggunan koleksi busana Melayu tradisional.

Kedua-dua Diana dan Mohamad Emir berkongsi minat yang sama, iaitu melihat bagaimana evolusi fesyen berkembang di Malaysia.

Menurut Diana, sebelum memulakan bisnes, mereka terlebih dahulu membuat kajian dan penelitian dari segi pemasaran dan trend pembelian orang ramai terhadap pakaian tradisional pada zaman ini.

Diana mengakui wujud perbezaan agak ketara antara tahap kemampuan pembeli dengan kuantiti pakaian.

"Kebiasaannya kita lihat, kalau baju kurung itu cantik dan berkualiti tinggi, harganya pasti mahal.

"Sebaliknya jika harga rendah, kualitinya mesti tidak sesuai kehendak.

"Jadi di sini kami cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan harga mengikut kesesuaian semua pembeli," ujarnya sambil memberitahu Bayu Somerset pernah berkolaborasi dengan salah satu rangkaian kafe popular di Malaysia bersempena Hari Raya Aidiladha pada Mei lalu.

Snapinsta.app_453784532_798402125815831_868828253387244071_n_1080

Jenam lokal itu kini menjadi sebahagian daripada perkembangan evolusi fesyen di Malaysia.

Bisnes lebih puas

Ditanya faktor menguatkan azam untuk terjun daripada dunia korporat ke alam perniagaan, Diana berkata, berkhidmat di bank menyeronokkan kerana ia mendedahkan mereka dengan begitu banyak pengalaman.

Namun tidak dapat dinafikan, mengendalikan perniagaan sebenarnya lebih mendatangkan kepuasan buat pasangan suami isteri itu.

"Kita lebih banyak membantu orang dari segi menyediakan ruang pekerjaan, mengubah gaya hidup seseorang dengan pakaian dan sebagainya.

"Kami turut menyumbang kepada evolusi fesyen Malaysia, jadi saya rasa lebih puas," ujarnya yang mengakui tidak pernah menyesal dengan keputusan diambil sejak tahun 2021 itu.

Pengalaman dalam bidang korporat banyak membantunya terutama dalam proses pembuatan keputusan, apatah lagi banyak risiko tidak terduga boleh berlaku dalam dunia bisnes.

Snapinsta.app_456228255_544718967901455_574964799571600331_n_1080

Diana dan suaminya merancang untuk memperluas jenama tersebut ke pasaran Asean yang mempunyai potensi besar untuk berkembang.

Sementara itu, berkongsi tentang cabaran dihadapi, Mohamad Emir mengakui sama seperti usahawan lain, mereka turut berdepan ekosistem pemasaran yang tidak menentu.

"Misalnya, bagaimana kita nak tarik pelanggan untuk membeli produk kita, seterusnya jana keuntungan di luar musim perayaan?

"Sebab ada sesetengah jenama yang hanya muncul semasa musim raya, lepas itu 'senyap'.

"Untuk itu, kami akan cuba melancarkan produk baharu sekurang-kurangnya dua kali sebulan, supaya jenama ini akan kekal relevan sepanjang masa.

"Kita juga ada pasukan yang sangat hebat, seramai 53 kakitangan juga siap sedia membantu menaikkan nama Bayu Somerset. Selain itu, kami juga merancang untuk memperluas jenama ini ke pasaran Asean yang dilihat mempunyai potensi besar untuk berkembang" tuturnya sambil memaklumkan, kini butiknya beroperasi di enam lokasi, iaitu di kompleks beli-belah KL East Mall, Elmina Lakeside Mall, Sunway Putra Mall, Setia City Mall, Aeon Mall Shah Alam dan Sogo. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram