Lebih separuh sekolah usang di Sabah siap dipulihkan — Fadhlina


  • Primer
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Fadhlina menegaskan projek bernilai lebih RM3 bilion itu penting dalam meningkatkan mutu pembelajaran di Sabah.

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan sebanyak 218 daripada 338 sekolah usang dan daif sekitar Sabah sudah diselesaikan dalam usaha memberikan prasarana terbaik buat pelajar di negeri itu.

Jelasnya, 60 projek sedang dalam proses pembinaan dengan ia dijangka disiapkan dalam masa terdekat sementara 60 lagi masih dalam fasa perancangan.

"Kesemua kerja-kerja penambahbaikan ini melibatkan peruntukan lebih daripada RM3 bilion. Kami berharap projek yang dirancang ini dapat disegerakan untuk memberikan kemudahan kepada anak-anak kita belajar dalam persekitaran yang lebih kondusif.

"Kementerian Pendidikan sentiasa komited memastikan semua isu pendidikan di Sabah dapat ditangani. Kualiti pendidikan di Sabah akan terus ditingkatkan untuk manfaat anak-anak kita," katanya.

Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program Outreach Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Kota Kinabalu di Sekolah Kebangsaan Sembulan, Kota Kinabalu pada Khamis.

BACA LAGI: Dalam tegas ada lembutnya,'No child left behind' antara 4 koleksi kata sakti Fadhlina Sidek

WhatsApp Image 2024-04-19 at 08.49.05

Sekolah usang akan memberi kesan buruk terhadap proses pembelajaran.

BACA LAGI: Video tular diambil di luar konteks, cubaan calar imej — Fadhlina

Mengulas mengenai program itu, dia berkata, program berkenaan penting dalam usaha mencari lebih ramai anak-anak yang tidak mempunyai dokumen bagi memberi peluang kepada mereka bersekolah di SBJK Kota Kinabalu.

"SBJK fokus kepada kanak-kanak yang tanpa dokumen sah sama ada bapa, ibu atau penjaganya warganegara, juga tidak bersekolah dan kita mahu beri peluang pendidikan kepada mereka," katanya.

Tambahnya, SBJK Kota Kinabalu merupakan kesinambungan SBJK Chow Kit, Kuala Lumpur ditubuhkan pada 2013 yang terbukti berjaya memberikan peluang pendidikan antaranya kepada anak-anak tanpa dokumen. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram