SEBUT sahaja tentang scone, kita pasti sudah membayangkan aneka perisa yang dijual di pelbagai premis sekitar Cameron Highlands.
Katanya, scone paling sedap hanya boleh didapati di pusat peranginan popular itu.
Agak jarang kita lihat roti manis dengan aneka perisa, yang dibakar di atas griddle atau lembaran itu dijual di kawasan lain.
BACA LAGI: Penduduk Tanjung Tualang sepakat tukar tanah terbiar jadi ladang salad
Mengambil peluang tersebut, seorang suri rumah, Nurul Farah Nihayat Abidin berpendapat, mengusahakan perniagaan scone di Kota Bharu, Kelantan boleh menjadi satu kelainan buat masyarakat di sana.
Wanita berusia 42 tahun itu turut mengakui, pada awal pembukaan sekitar tahun 2020, bisnes tersebut hanya dijalankan secara suka-suka, selepas mengikut suaminya yang bertugas di Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).
Nurul Farah Nihayat mula mengeluarkan produk baharu iaitu biskut sihat bermula tahun ini.
"Produk pertama saya ialah scone premium buatan sendiri. Kemudian pada Jun 2022, saya mendaftar syarikat sendiri atas nama Nisreena Signature.
"Pada tahun ini kami mula mengeluarkan produk baharu iaitu biskut sihat, yang mana biskut Almond dan biskut Chocolate Chip merupakan dua produk yang paling mendapat sambutan.
"Kami juga ketika ini dalam proses untuk mendapatkan penarafan sebagai Tunas Perusahaan Sosial menerusi program yang dianjurkan oleh Iltizam by Ekuinas dan myHarapan sebagai rakan pelaksana," katanya kepada Majoriti.
Untuk makluman, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan satu tahap penarafan baharu iaitu Tunas Perusahaan Sosial dengan tujuan agar lebih ramai usahawan baharu yang menceburkan diri dalam perusahaan sosial dapat diberi penarafan.
Perusahaan sosial berusaha untuk memaksimumkan keuntungan sambil memaksimumkan faedah kepada masyarakat dan alam sekitar, dengan keuntungan itu digunakan terutamanya untuk membiayai program sosial.
Sambutan terhadap jualan scone dan biskut agak baik, dengan dia juga kini mempunyai pelanggan tetap.
Ramai tak kenal scone
Ditanya faktor ibu kepada tiga cahaya mata itu memilih scone sebagai produk utama dalam perniagaannya, Nurul Farah Nihayat memberitahu, dia berhasrat memudahkan penduduk di negeri negeri Cik Siti Wan Kembang khususnya, menikmati menu tersebut tanpa perlu ke luar negeri.
Mengambil kira realiti bahawa masih ramai rakyat Kelantan tidak tahu tentang scone, menguatkan lagi azamnya untuk melebarkan bisnes berkenaan.
"Di sini (Kelantan), nak jumpa scone selain di kafe agak susah dan sebenarnya ramai lagi orang Kelantan tidak tahu tentang makanan ini, apatah lagi yang menyediakan perkhidmatan tempahan.
"Jadi apabila saya menjual, dalam masa sama saya juga mengajar mereka bagaimana cara makan, potong dan nak sapu jem di bahagian mana, mereka tidak tahu.
"Kebanyakannya menganggap ia unik dan ramai mula berminat untuk mencubanya, malah sekarang kita dah ada pelanggan tetap juga," ujarnya yang turut menghasilkan jem buatan sendiri.
Tambah wanita berasal dari Klang, Selangor itu lagi, idea dan teknik pembuatan roti tersebut dipelajari oleh kakaknya sendiri yang meminati bidang pastri.
Berkongsi tentang proses pembuatan, Nurul Farah Nihayat memberitahu, menghasilkan kek kecil dengan tekstur yang lembut di bahagian dalam dan rangup di luar itu tidak sesukar yang disangka.
"Proses itu nak kata susah, tidaklah terlalu susah, tetapi agak cerewet jugalah.
"Untuk buat (scone) kita kena pastikan keadaan suhu tidak terlalu panas, jadi disebabkan sekarang cuaca agak panas, saya memilih untuk membakarnya pada waktu pagi atau malam.
"Jika tidak, ia berisiko mengganggu proses pembakaran, yang mana mungkin teksturnya akan jadi senget atau kurang menarik," jelasnya sambil memberitahu sambutan diterima ketika ini agak baik, dengan dia juga kini mempunyai pelanggan tetap.
Kelengkapan tak cukup
Meskipun bisnesnya semakin mendapat perhatian, dia yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah kontrak Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Terengganu itu berkata, dirinya berdepan kesukaran untuk mengambil tempahan dalam skala besar buat masa ini.
Ia berlaku disebabkan peralatan yang tidak mencukupi seperti saiz pembakar yang tidak mampu menampung jumlah scone atau biskut dalam kuantiti yang banyak.
"Saya mengaku perkara seperti itu memenatkan saya, adakalanya saya rasa down sebab tidak mampu nak hasilkan produk dengan banyak.
"Namun untuk masa sekarang, saya cekalkan diri dan buat juga selagi mampu," kata lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.
Nurul Farah Nihayat berharap dapat membuka bengkel khas bagi menghasilkan produk bakeri.
Bantu ibu tunggal
Meraih pulangan yang lumayan bukanlah satu-satunya impian Nurul Farah Nihayat, ketika memulakan bisnes tersebut.
Sebaliknya, dia menyimpan hasrat untuk memberi manfaat kepada masyarakat menerusi perniagaan yang diusahakan dengan bantuan suami tercinta.
Bercita-cita untuk menubuhkan sebuah bengkel mini, Nurul Farah Nihayat berharap dapat membantu lebih ramai masyarakat menambah sumber pendapatan.
"Disebabkan sekarang saya terlibat dalam perusahaan sosial, saya memang memasang impian untuk melatih orang ramai menghasilkan produk sendiri.
"Selain bengkel untuk memudahkan pengeluaran produk dalam skala besar, bengkel itu juga dapat membantu masyarakat khususnya golongan wanita di Kelantan mengubah nasib hidup mereka," katanya.
Buat masa ini, ungkap Nurul Farah Nihayat, disebabkan peningkatan permintaan terhadap produk biskut sihat, dia ingin memberi peluang pekerjaan kepada golongan ibu tunggal, B40 dan penganggur untuk bekerja bersamanya secara separuh masa, dengan menggunakan kelengkapan membakar sedia ada di rumah mereka.
Untuk masa akan datang, sekiranya mempunyai bajet yang mencukupi, dia berharap dapat membuka bengkel khas bagi menghasilkan produk bakeri.
"Saya akan mengambil golongan ini bekerja dan beri latihan kepada mereka, di samping menambah baik peralatan sedia ada untuk mengembangkan lagi perniagaan," tuturnya mengakhiri perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram