"PUKUL 2 pagi datang ED (Jabatan Kecemasan) sebab demam dah dua hari, kau rasa?"
Ciapan seorang doktor bernama Luqman Yamin menerusi laman X (Twitter) miliknya pada Ahad lalu meraih perhatian warga maya.
Menggunakan nama akaun @luqmannyamiin, Dr Luqman berkata, segelintir rakyat Malaysia didakwa sering menyalahgunakan Jabatan Kecemasan dan Trauma untuk mendapatkan rawatan bagi kes yang diklasifikasikan sebagai tidak serius.
BACA LAGI: Subsidi diesel bersasar bermula di Semenanjung, PM Anwar beri 'list awal' senarai kenderaan manfaat
Orang kita suka abuse jabatan kecemasan. Macam buffet free for all.
Kita boleh je track pt datang ED berapa kali. Ada yang sebulan dah 5 kali datang ED.
Demam datang ED, selsema datang ED, gatal lutut datang ED, sakit perut datang ED.
Taktau ke maksud KECEMASAN?? https://t.co/SdsOdvEDvH
— DMA (Demi Mu Alya) Luqman Yamin (@luqmannyamiin) August 24, 2024
Berdasarkan pengalamannya, dia turut mengenal pasti ada antara pesakit yang datang ke jabatan berkenaan sebanyak lima kali dalam tempoh sebulan.
"Orang kita suka salah guna Jabatan Kecemasan, macam bufet free for all.
"Kita boleh sahaja kesan pesakit datang jabatan ini berapa kali. Demam, selesema, gatal lutut, sakit perut (semua) datang ED, tak tahu ke maksud kecemasan?" soalnya.
Ujarnya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah menyediakan garis panduan bagi mengenal pasti simptom dan jenis penyakit yang seharusnya menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Dr Luqman menjelaskan, batuk, selesema biasa, sakit kepala biasa, mata merah, ruam kulit, sakit perut ringan, muntah biasa, cirit-cirit biasa adalah antara sakit yang tidak memerlukan orang ramai untuk terus mendaftar di Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Sebaliknya, mereka boleh sahaja dirawat di klinik kesihatan atau klinik swasta berdekatan.
KKM sudah menyediakan garis panduan bagi mengenal pasti jenis penyakit yang diklasifikasikan sebagai kecemasan.
"Demam tidurlah di rumah, esok pagi pergi klinik tapi sebab benda percuma. Orang datang macam bufet lah.
"Bila kena tunggu lama, bukak pintu bilik konsultasi (dan tanya) 'lama lagi ke', lama lagilah, ada 10 orang lain yang demam nak tengok," katanya.
Bagaimanapun, ciapan itu menimbulkan pertikaian dalam kalangan warga maya dengan kebanyakannya mengkritik pandangan doktor berkenaan.
Antaranya, seorang pengendali akaun dengan nama @iambenfirdaus berkata, kebiasaannya yang datang ke Jabatan Kecemasan dan Trauma pada lewat malam mungkin sudah tidak dapat menanggung kesakitan yang dialami selepas berjam-jam.
"Kalau yang datang ED malam-malam buta kebanyakannya yang sudah cuba bertahan dari siang dan menyerah kalah pada malam hari.
"Kami pesakit tiada ilmu perubatan macam doktor yang boleh diagnos keadaan diri sendiri. Tidak boleh pukul sama rata macam itu," tulisnya.
Kebanyakan pesakit tidak mempunyai pengetahuan tentang penyakit yang dihadapi mereka.
Menurut @desire_mez, kekangan dari segi jarak juga boleh menjadi punca kepada isu kesesakan di hospital.
"Yang datang itu sebab daripada keluarga susah. Nak pergi klinik tapi jauh dari rumah kerana tiada kenderaan untuk ke sana atau orang tua yang dah biasa pegi hospital sebab dekat.
"Tak adanya orang sengaja nak beratur tiga hingga empat jam semata-mata nak tunggu rawatan hospital," katanya.
Sementara itu, @Shenmarc menganggap bahawa tindakan pesakit datang ke jabatan tersebut adalah satu langkah tepat kerana kebanyakannya tidak mempunyai pengetahuan tentang penyakit yang dihadapi mereka.
"Maaf, tetapi mereka buat perkara yang betul. Kebanyakan orang tak sedar tentang tanda amaran dan semua demam adalah denggi sehingga dibuktikan sebaliknya.
"Berapa ramai pesakit yang dibawa masuk dengan simptom 'ringan' yang pada akhirnya dimasukkan ke dalam wad akibat penyakit yang serius tanpa mereka sedari," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram