Kapal KD Pendekar sudah berusia hampir 50 tahun, banyak lagi kapal yang sudah tua, dedah Menteri Pertahanan


  • Primer
  • Isnin, 26 Ogos 2024

KD Pendekar tenggelam sepenuhnya selepas terlanggar objek bawah air pada Ahad.

KAPAL Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang tenggelam sepenuhnya pada Ahad di kedudukan dua batu nautika tenggara Tanjung Penyusop, Johor telah berkhidmat selama hampir 50 tahun, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, pihak kementerian akan menjalankan pemeriksaan ke atas satu pertiga daripada armada, sambil menambah bahawa TLDM kini mempunyai antara 10 hingga 15 kapal yang berusia lebih 40 tahun.

Bagaimanapun katanya, punca kapal KD Pendekar karam bukan kerana usia kapal berkenaan dengan pihaknya masih menunggu laporan siasatan berhubung kejadian itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Kapal KD Pendekar terkandas di perairan Johor akibat bocor, TLDM fokus laksana operasi salvaj

BACA LAGI: KD Pendekar tenggelam sepenuhnya, alami kebocoran terlanggar objek bawah air di Johor

"Siasatan telah pun dimulakan untuk memahami punca tenggelamnya KD Pendekar, tetapi juga penting untuk diperhatikan bahawa kapal-kapal ini memang sudah lama, telah beroperasi jika tidak silap sejak 1979. Itu hampir 50 tahun.

"Sebab itu kerajaan pada masa ini melakukan usaha besar untuk memastikan kapal baharu yang kita bina siap mengikut jadual, di samping meneruskan perolehan kapal baharu.

"Kami tidak menafikan umur kapal kami sudah sangat tua, tetapi itu bukan isunya. Punca ia karam kerana berlanggar dengan objek dan perkara itu kini masih sedang disiasat. Apa yang penting tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya.

Mohamed Khaled (kiri) ketika mengadakan lawatan kerja ke Program Pemindahan Ilmu Lebah Sedili anjuran UMT di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil, Kota Tinggi pada Isnin. — The Star

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Program Pemindahan Ilmu Lebah Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil, Kota Tinggi, Johor pada Isnin.

Mohamed Khaled turut berkongsi bahawa kementerian juga dalam proses membina Kapal Tempur Littoral (LCS) dan mendapatkan Kapal Misi Littoral (LMS) dari Turkiye.

"LCS pertama akan beroperasi menjelang 2026. Kami mempunyai lima kapal LCS dan insya-ALLAH sebuah akan dihantar setiap tahun. Bagi LMS pula, ia dijangka akan dihantar pada Oktober, November dan Disember 2027," katanya.

Terdahulu, TLDM menerusi satu kenyataan berkata, kapal KD Pendekar karam di luar pantai Johor selepas dimasuki air akibat kebocoran.

KD Pendekar itu karam dua batu nautika tenggara Tanjung Penyusop pukul 3.54 petang Ahad ketika dalam penugasan operasi.

Kebocoran yang dipercayai berpunca daripada perlanggaran dengan objek dalam air, mula dikesan di dalam bilik enjin.

KD Pendekar merupakan kapal serang laju kelas Handalan yang dilancarkan pada 11 November 1978 dan ditauliahkan ke dalam armada pada 27 Julai 1979. — The Star/REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram