[VIDEO] Polis JB guna taktik parkir bas, halang mat motor lolos sekatan jalan raya


  • 112
  • Isnin, 26 Ogos 2024

Tangkap layar sekumpulan penunggang motosikal ditahan polis di jalan pantai Skudai Pantai Lido, Johor Bahru, Johor pada Ahad.

CUBAAN meloloskan diri daripada sekatan jalan raya mengundang padah apabila sekumpulan penunggang motosikal ditahan dalam operasi khas bersepadu membanteras samseng jalanan di jalan pantai Skudai Pantai Lido, Johor Bahru, Johor yang berakhir awal pagi Isnin.

Dua buah bas digunakan polis bagi menghalang kumpulan samseng berkenaan dengan insiden terbabit sempat dirakamkan saksi di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tindakan itu membuahkan hasil apabila 286 individu bersama 257 buah kenderaan telah diperiksa.

BACA LAGI: [VIDEO] Acah nak beli air kelapa, 3 mat motor ragut rantai emas peniaga di Bukit Mertajam

BACA LAGI: [VIDEO] Berang kena tumbuk punca maskot belasah lelaki berkerusi roda sampai berdarah di Melaka

"Daripada jumlah itu, sebanyak 115 motosikal telah disita di bawah seksyen 64, Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 bagi pemeriksaan lanjut" katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, operasi dua hari itu bermula pukul 5 petang hingga 1 pagi membabitkan lebih 100 pegawai dan anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi.

Tambahnya, sebanyak 153 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, ubah suai struktur kenderaan dan pelbagai kesalahan lain.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga mengeluarkan 54 saman kompaun mengikut seksyen akta pengangkutan jalan 1987 atas pelbagai kesalahan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan 46 saman kompaun dan 52 notis arah periksa terhadap penunggang motosikal yang mengeluarkan bunyi melebihi paras ditetapkan.

"Seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun ditahan kerana positif dadah jenis metahamphetamine setelah menjalani ujian saringan air kencing. Kesalahan disiasat di bawah seksyen 15(1)(a) akta dadah berbahaya 1952," tambahnya.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM5,000.00 serta menjalani pengawasan polis selama dua tahun.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan dan lumba haram boleh menghubungi talian IPD Johor Bahru Selatan (JBS) di talian 07-218 2222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram