'Enggan disentuh lelaki', ibu 3 anak dedah pentingnya wanita jadi bomba


  • 112
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Radin Hamimah (tengah) telah berkhidmat sebagai anggota bomba selama 17 tahun.

KERJAYA sebagai seorang anggota bomba sememangnya bukan satu perkara mudah dengan masyarakat rata-ratanya menyifatkan ia sebagai keputusan 'berani mati' untuk seseorang menceburi bidang tersebut.

Stigma itu bertambah kuat apabila golongan wanita yang dikaitkan dengan kerjaya tersebut, dianggap lemah selain tiada masa depan jika berhasrat menganggotai barisan pertahanan negara.

Namun, tanggapan negatif terbabit disangkal seorang pegawai operasi bomba yang menyifatkan, negara amat memerlukan anggota wanita dalam tugas-tugas menyelamat.

BACA LAGI: [VIDEO] Bomba terpaksa potong pembahagi jalan, lelaki maut tersepit motor terbabas

BACA LAGI: [VIDEO] Bomba guna 'high line technique' selamatkan remaja, kanak-kanak terperangkap atas batu sungai di Nilai

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Batu Pahat, Johor, Radin Hamimah, 37, menggesa agar lebih ramai golongan wanita menyertai anggota bomba kerana khidmat mereka amat diperlukan dalam operasi menyelamat.

Berkongsi pengalaman ketika menjalankan operasi menyelamat kes kemalangan di Batu Pahat, Johor satu ketika dahulu, jelasnya, khidmat wanita amat diperlukan di saat-saat kritikal.

"Saya masih ingat ketika menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit kemalangan, mangsa seorang wanita enggan disentuh pegawai lelaki.

"Dalam situasi sebegitu, masih ada yang menjaga pergaulan sesama lelaki dan perempuan sedangkan keadaan mangsa agak parah ketika kejadian.

"Terpaksa menunggu lama sebelum saya tiba di lokasi kejadian, akhirnya baru mangsa rela diselamatkan kalau tidak kemungkinan besar kami terpaksa hubungi pihak keluarga untuk menyelamatkan mangsa," katanya kepada Majoriti.

6152257970113723575

Radin Hamimah bertugas di BBP Penggaram, Batu Pahat, Johor.

Pada masa sama, Radin yang merupakan seorang ibu kepada tiga cahaya mata itu turut akur dengan cabaran dan kekangan masa yang perlu dihadapi sepanjang 17 tahun bergelar anggota bomba.

Katanya, panggilan kecemasan tidak mengira waktu dan tempoh 24 jam seharian sentiasa memerlukan khidmat bomba dalam tugas-tugas menyelamat bukan sahaja kes kebakaran, malah turut membabitkan insiden kemalangan dan kematian.

"Panggilan kecemasan ada kalanya memerlukan seseorang anggota itu berjauhan dengan keluarga, kalau operasi di hutan misalnya memang ambil masa berminggu-minggu.

"Buat pasangan suami isteri memang agak mencabar lebih-lebih lagi suami saya juga merupakan seorang pegawai polis.

"Tetapi, minat mendalam terhadap kerjaya bomba sudah tertanam sejak di bangku persekolahan, jadi memang saya akan terus berkhidmat dan membantu mereka yang memerlukan," ujarnya.

Menjadikan moto hidup 'saya susah tak apa, jangan orang lain' sebagai pegangan sejak mula menganggotai bomba, Radin amat menggalakkan golongan wanita menceburi badan unit beruniform terutamanya anggota bomba. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram