Bekas anggota TLDM lega bisnes konsep ketenteraan berhasil, tak menang tangan penuhi tempahan baju, botol air peluru


  • 112
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

PERNAH berjuang menentang komunis satu ketika dahulu, siapa sangka seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Leftenan Komander, kini bergelar usahawan.

Memiliki bakat terpendam melukis dan mereka bentuk sejak kecil, Mohd Puad Omar, 58, mengembangkan hobinya dengan menjalankan perniagaan barangan cenderahati berkonsepkan ketenteraan.

Jelasnya, idea untuk menjalankan perniagaan itu tercetus selepas perkhidmatannya dalam pasukan pertahanan tamat sekitar tahun 2019.

BACA LAGI: 'Patutnya masuk Henry Gurney atau penjara 2 tahun', ibu Damin Mikhail tak puas hati keputusan mahkamah

BACA LAGI: Video kawad ajar disiplin, UPNM trending lagi di Twitter

"Ketika itu dunia dilanda wabak Covid-19 dan negara kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi saya tak boleh nak ke mana dan hilang mata pencarian.

"Dari situ saya mula melukis di telefon pintar, saja suka-suka mulanya tapi tercetus idea untuk jadikan ia sebagai sumber pendapatan baharu.

"Saya bermula dengan menjual baju bercorak ketenteraan, ada diantaranya memang saya ilhamkan daripada uniform dan logo ketika berkhidmat dahulu, rindu zaman tentera maka saya pun buat jualan secara kecil-kecilan," katanya kepada Majoriti.

photo_2024-08-16_11-34-12

Puad (kanan) ketika mengendalikan gerai jualan pada majlis rasmi pertahanan negara.

Hari silih berganti, perniagaan dijalankan mula meraih perhatian dalam kalangan persatuan bekas tentera hingga dipanggil untuk membuka gerai jualan pada majlis ataupun sambutan rasmi melibatkan pasukan pertahanan negara.

Sanggup berhabis wang untuk membeli sebuah mesin pencetak baju, perniagaan dijalankan kian berkembang selepas kerap menerima tempahan daripada orang awam.

"Siapa sangka rupanya ramai yang meminati baju dan cenderahati berkonsepkan tentera, saya reka dan cetak sendiri baju di rumah sebab sambutan amat menggalakkan.

"Selain daripada baju, botol air berbentuk peluru pun ada saya jual, itu yang paling laris setakat ini sebab jarang orang jumpa.

"Semuanya saya jual secara atas talian dan sebahagiannya boleh didapati pada gerai jualan yang saya sertai," tambahnya.

photo_2024-08-16_11-39-07

Antara barangan cenderahati berkonsepkan tentera yang dijual.

Jelasnya, sejak perniagaannya semakin dikenali, dirinya terasa bagai seorang anggota tentera apabila kerap dihubungi pegawai yang berminat mendapatkan produknya.

Mampu menjadikan ia sebagai salah satu punca pendapatan, Puad tidak menolak untuk membuka sebuah kedai cenderahati jika rezeki benar-benar memihak kepadanya satu hari nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram