SABAN tahun pastinya penggemar durian atau lebih mesra digelar 'hantu durian' ternanti-nantikan kedatangan musim buah tersebut.
Sukar didapati seperti buah-buahan lain, musim durian kebiasaannya akan bermula sekitar Julai sehingga September setiap tahun dan masyarakat dari serata tanah air bagai yang tidak dapat menahan bau raja buah bagaikan terpanggil-panggil untuk singgah ke gerai yang menawarkan pelbagai harga raja buah itu.
Di Sabah, sektor tanaman dijangka mendapat pembekal baharu yang serba berkebolehan bukan sahaja hasil durian, malah pelbagai buah-buahan serta sayur-sayuran tempatan lain.
BACA LAGI: PKP pencetus inspirasi 'wanita jambu' raih RM10,000 sebulan
BACA LAGI: [VIDEO] Berebut tapak jualan punca 'Durian Gengster' bergaduh di Sarikei
Mengimpikan peluang untuk menembusi pasaran agro di negeri berkenaan, Sekolah Henry Gurney Keningau kini dalam perancangan untuk menjadi pembekal durian terbesar di negeri itu.
Penolong Penguasa Penjara Sekolah Henry Gurney Keningau, Jamaludin Jamil, 50, berkata, sekolah yang menempatkan banduan lelaki itu akan menjadi pusat agro buah-buahan terbesar di Sabah dan Malaysia satu hari nanti.
"Kami mensasarkan durian pada peringkat awal kerana ketika ini memiliki lebih kurang 70 ekar tanah yang diusahakan di sini.
"Sebanyak 800 pokok durian Musang King telah diusahakan sejak 2022 dan kini ia dijangka membuahkan hasil tidak lama lagi.
"Banduan di sini sentiasa diberikan ilmu dan kelas pertanian khususnya bagi tanaman buah-buahan dan sayuran. Mempunyai hobi dan minat yang sama, rata-ratanya juga sangat gemarkan durian maka mudah untuk mereka menceburkan diri dalam bidang itu jika dibebaskan satu hari nanti," katanya kepada Majoriti.
Kelas pertanian disediakan buat banduan di Sekolah Henry Gurney Keningau.
Dalam pada itu, Jamaludin turut mensasarkan dusun durian itu dijadikan sebagai salah satu lokasi tumpuan di Sabah bagi membuka mata masyarakat terhadap hasil tanaman banduan.
Jelasnya, projek dusun durian dijalankan mampu mengubah persepsi orang ramai yang masih memandang serong terhadap banduan.
"Ia merupakan salah satu objektif utama kami untuk membuka mata masyarakat terhadap banduan di sini, mereka bukan sekadar tahanan malah memiliki bakat dan ilmu pertanian yang sangat tinggi.
"Boleh berkhidmat kepada masyarakat satu hari nanti, sepanjang mereka ditahan, ilmu dan latihan diberikan lebih dari mencukupi dan semuanya untuk kebaikan negara.
"Di samping menaikkan nama dan prestasi Henry Gurney Keningau, saya yakin kami mampu menembusi pasaran durian dan buah-buahan di Sabah tidak lama lagi," katanya.
Terbaharu, Henry Gurney Keningau menerima kunjungan daripada Jabatan Penerangan Sabah menerusi program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang baru-baru ini.
Pihak terbabit diberi penghormatan untuk menanam sebanyak 67 anak pokok durian Musang King dan Black Thorn sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-67di ladang agro seliaan sekolah terbabit.
Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang disertai pihak Jabatan Penerangan Sabah di Sekolah Henry Gurney Keningau pada Khamis.
Berdasarkan senario musim durian di Malaysia, ia dijangka berterusan sehingga Oktober depan.
Musim durian kali ini berlaku secara berperingkat mengikut negeri di mana selepas Perak dan Pulau Pinang, kini durian Johor mula gugur dan diikuti Pahang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram