Demi keselesaan pelanggan, penerbangan Malaysia Airlines, Firefly, Amal dikurangkan sehingga Disember


  • Bizz
  • Sabtu, 24 Ogos 2024

MAG akan mengurangkan rangkaian penerbangannya iaitu Malaysia Airlines, Firefly, dan Amal. — Gambar hiasan

MALAYSIA Aviation Group (MAG) mengumumkan pengurangan rangkaian penerbangannya iaitu Malaysia Airlines, Firefly, dan Amal untuk sementara waktu sehingga Disember 2024.

"Ini adalah untuk memastikan kebolehpercayaan jangka panjang terhadap kumpulan pesawat dan keteguhan operasi kami untuk memastikan pelanggan kami dalam perkhidmatan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal menghadapi gangguan yang minimum dan mempunyai pengalaman terbaik untuk terbang bersama kami," kata Pengarah Urusan, Datuk Kapten Izham Ismail dalam satu kenyataan pada Sabtu.

"Saya secara peribadi memohon maaf atas gangguan yang berlaku semasa perjalanan penumpang dan kesulitan yang timbul," tambahnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Masalah teknikal dipercayai punca 2 pesawat Tentera Udara Indonesia terhempas

BACA LAGI: MAS hampir ditutup,ini 3 isu selain MYAirline pernah jejaskan syarikat penerbangan negara

Izham turut menzahirkan rasa kesal di atas kesukaran dihadapi pelanggan susulan pembatalan penerbangan.

Dalam satu kenyataan berasingan, MAG berkata, gangguan penerbangan pada 16 Ogos lalu disebabkan pelbagai faktor yang menyebabkan banyak penerbangan termasuk perkhidmatan MAS dan Firefly ditunda dan dibatalkan.

Menurutnya, antara faktor berkenaan adalah cuaca; teknikal dan kekurangan tenaga kerja; kekangan rangkaian bekalan; serta normalisasi berterusan operasi aviasi global pasca-pandemik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram