KAPAL perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Pendekar dilapor terkandas di pantai tenggara Johor pada Ahad selepas mengalami kebocoran.
Menerusi hantaran di Facebook, TLDM memaklumkan kapal tersebut mengalami kebocoran dan dimasuki air pada pukul 12 tengah hari ketika sedang melaksanakan penugasan operasi.
Kebocoran tersebut dipercayai berpunca dari kapal terlanggar objek bawah air.
BACA LAGI: Alami menopaus tapi masih ada darah keluar, waspada anda mungkin ada simptom kanser rahim
BACA LAGI: Mpox: Tiada pelan segera untuk vaksinasi — Timbalan Menteri Kesihatan
"Kebocoran yang mula dikesan di Bilik Jentera kapal telah merebak dengan cepat dan tidak terkawal.
"Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.
"Fokus utama TLDM sekarang adalah untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan dengan itu, TLDM memaklumkan bahawa mereka akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenalpasti punca kejadian.
“TLDM merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden ini iaitu Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim yang berada di persekitaran.
Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu.
"Sila rujuk sumber rasmi TLDM untuk perkembangan terkini dan maklumat sebenar,” katanya.
Difahamkan, susulan kejadian itu, semua anak kapal dipindahkan sebagai langkah keselamatan dan KD Pendekar kini ditambat di kapal dagang berhampiran.
Menurut laman sesawang Pusat Strategi Maritim TLDM (PUSMAS), KD Pendekar yang merupakan kapal perang jenis pembinasa laju, telah dibina oleh Karlskrona Varvet Shipyard di Sweden dan dilancarkan pada 11 Nov 1978 sebelum ditauliahkan pada 27 Julai 1979.
Pada awalnya, ia diletakkan dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju (Misil) Kedua sebelum diserap ke Skuadron Kapal Pembinasa Laju Pertama di bawah Flotila Ronda.
KD Pendekar berukuran panjang 43.62 meter dan lebar 7.1 meter. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram