KAPAL milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Pendekar telah mengalami kerosakan teruk berikutan kebocoran dan telah tenggelam sepenuhnya di luar pantai Johor.
KD Pendekar dilaporkan karam pada pukul 3.54 petang Ahad (25 Ogos) di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor kata TLDM dalam satu kenyataan.
Dibina oleh Karlskrona Varvet Shipyard di Sweden, kapal ini dirasmikan pada 11 November 1978, sebelum ditugaskan ke dalam armada TLDM pada 27 Julai 1979.
BACA LAGI: Kejadian mendapan tanah di Jalan Masjid India disebabkan faktor geografi — TPM
TLDM turut memaklumkan usaha untuk menyelamatkan kapal melalui operasi salvaj masih dalam proses pelaksanaan sambil memuji tindakan pantas komuniti maritim yang berjaya menyelamatkan kesemua 39 anak kapal.
"Usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya. Tiada kecederaan dilaporkan.
"Mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD Sultan Ismal di Tanjung Pengelih, Johor.
Tambahnya, aset TLDM ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa dan keselamatan persekitaran.
KD Pendekar, terkandas.
Awaiting detailed incident/accident investigation report. pic.twitter.com/cDibWRoZBT
— Kaithi At Sea (@Kay4Kumar) August 25, 2024
Sebelum ini, TLDM memaklumkan kapalnya mengalami kebocoran dan kebanjiran besar ketika kapal berkenaan melaksanakan penugasan operasi.
Kebocoran itu dipercayai berpunca dari kapal terlanggar objek bawah air.
"Kebocoran yang mula dikesan di Bilik Jentera kapal berkenaan merebak dengan cepat dan tidak terkawal. Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya," katanya.
Dalam pada itu, TLDM menasihatkan orang awam untuk tidak menyebarkan maklumat insiden yang tidak sah dan perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui sumber rasmi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram